Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah melalukan mop yang basah ke atas tempat najis hukmi (mutawassitah) mengangkat hukum najis pada tempat tersebut? Terima kasih Dato’ dan team.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, najis terbahagi kepada tiga kategori, iaitu najis mukhaffafah, najis mutawassitah, dan najis mughallazah. Najis mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya. Najis mukhaffafah pula ialah air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun. Manakala najis mutawassitah ialah apa yang selain daripada kedua-dua jenis najis yang telah disebutkan seperti seperti air kencing, najis haiwan, darah dan lain-lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41).

Setiap jenis najis tersebut berbeza cara membersihkannya. Mengenai najis mutawassitah, Habib Hasan al-Kaff menyebutkan, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiyyah ialah najis yang tidak kelihatan secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau, rasa dan warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau, rasa atau warna. Cara membersihkannya adalah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut — yakni bau, rasa dan warna. Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi disunatkan untuk membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.

Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Jika masih lagi belum hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan-bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حَالَةُ التَّعَسُّرِ). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135).

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa contoh najis hukmiyyah adalah seperti air kencing yang telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. Maka, cara membersihkannya, cukup dengan hanya mengalirkan air padanya sekali. Adapun ‘ainiyyah, maka wajib dihilangkan sifat-sifatnya yang terdiri daripada bau, rasa dan warna, melainkan ada kesukaran bagi menghilangkan salah satu antara dua sifat iaitu sama ada warna atau bau. Maka, dalam hal ini tidak wajib menghilangkannya, bahkan ia telah pun dikira sebagai suci. Akan tetapi, sekiranya terhimpun kedua-duanya sekali (bau dan warna) pada tempat tersebut, maka wajib untuk dihilangkan kedua-dua sifat tersebut kerana ia adalah bukti yang kuat bahawa ‘ain najis itu masih ada seperti mana ciri atau sifat yang ditunjukkan oleh rasa. (Lihat Fath al-Wahhab, 1/25; Kasyifah al-Saja, hlm. 182-184).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa  melalukan mop yang basah ke atas tempat najis hukmi (mutawassitah) belum lagi memadai untuk mengangkat najis hukmi tersebut selagi mana tidak dialirkan air padanya sebagaimana yang kami nyatakan di atas.

Justeru, bagi mensucikannya cukup dengan hanya mengalirkan air padanya. Sekiranya kuantiti air sedikit, hendaklah air yang dilalukan ke atas najis dan bukan sebaliknya seperti mana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri dalam hasyiahnya. (Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim Baijuri, 1/199). Kemudian, barulah boleh menggunakan mop untuk mengelap, memindahkan dan mengeringkan kawasan yang dituang air tersebut.

Tambahan lagi, al-Khatib al-Syirbini ada menyebutkan, mengikut pendapat yang azhar, dihukumkan sebagai bersih air sisa basuhan sedikit yang terpisah daripada (pakaian/tempat yang dibasuh) jika tiada perubahan padanya dan tempat yang dibasuh telah bersih. Ini kerana sisa-sisa lembapan tempat yang dibasuh adalah sebahagian sisa air yang terpisah. Jika sisa air yang terpisah itu bernajis pasti tempat yang dibasuh itu demikian juga keadaannya (yakni masih bernajis). Oleh itu, sisa basuhan tersebut adalah bersih (tahir) tetapi tidak lagi membersihkan (untuk kegunaan seterusnya) kerana telah digunakan bagi menghilangkan kotoran (khabath). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/242).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”

Leave a Reply