Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada terbaca berkenaan sejenis makanan yang dipanggil Hákarl, yang berasaskan daging jerung Greenland, yang merupakan makanan tradisi orang Iceland. Soalan saya, adakah ia halal dimakan kerana saya dengar daging jerung Greenland bertoksik? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menjelaskan secara ringkas jerung Greenland (Greenland shark) terlebih dahulu. Jerung Greenland (Somniosus microcephalus), famili jerung tidur (sleeper shark) Somniosidae [order Squaliformes, yang juga termasuk famili ikan anjing (dogfish), Squalidae] iaitu vertebrata yang paling lama hidup diketahui. Spesies ini terutamanya ditemui di persekitaran air sejuk Lautan Artik dan Atlantik Utara, dari Teluk Baffin ke arah timur ke Laut Barents, tetapi julatnya juga memanjang ke selatan ke Laut Utara dan perairan bersebelahan dengan Pantai Timur Amerika Syarikat. Jerung ini bersaiz besar, dengan muncung bulat, sirip kecil berbanding saiz badannya, dan warna kelabu hingga coklat, jerung Greenland adalah serupa dengan ikan anjing berduri (Squalus acanthias), melainkan mereka tidak mempunyai tulang belakang di hadapan sirip dorsal kedua dan biasanya yang berada di sirip dorsal pertama.

undefined

Gambar di atas: Jerung Greenland (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Greenland_shark#/media/File:Greenland_shark_profile.jpg)

Jerung Greenland adalah salah satu daripada ikan rawan terbesar. Ia boleh mencapai panjang 7 meter (23 kaki) dan berat 1,025 kg (2,260 paun) apabila dewasa sepenuhnya, tetapi kebanyakannya antara 2 dan 4 meter (6.5 dan 13 kaki). Walau bagaimanapun, sedikit yang diketahui tentang bagaimana spesies itu membiak. Jerung Greenland betina dianggap mencapai kematangan seksual apabila mereka melepasi tanda 4 meter (13 kaki) panjang, yang mengambil masa kira-kira 150 tahun untuk dicapai. Mereka adalah ovoviviparous (iaitu, telur dikekalkan di dalam badan sehingga ia menetas) dan menghasilkan purata 10 anak pada satu-satu masa. Jenis, jumlah dan tempoh penjagaan induk yang diterima oleh anak jerung ini tidak diketahui, tetapi saintis membuat spekulasi bahawa, seperti spesies jerung lain, jerung Greenland adalah mampu berdikari sejak dari lahir. Tiada vertebrata lain yang diketahui mempunyai jangka hayat selama/sepanjang spesies ini; pentarikhan radiokarbon isotop dalam nukleus kanta mata jerung menunjukkan bahawa jerung Greenland tertua mungkin berumur lebih dari 500 tahun.

Jerung Greenland jarang ditemui oleh manusia. Mereka dianggap lebih suka persekitaran yang lebih sejuk dan lebih dalam tetapi boleh ditemui di mana-mana antara permukaan laut dan kedalaman 2,200 meter (kira-kira 7,200 kaki). Jerung Greenland bergerak perlahan, biasanya berenang pada kadar kurang daripada 3 km (kira-kira 1.9 batu) sejam. Mereka adalah karnivor, dan diet mereka selalunya terdiri daripada beberapa jenis ikan, termasuk jerung yang lebih kecil, belut, flounder, dan sculpin. Selain itu, Krustasea, burung laut dan bangkai — serta mamalia darat (seperti kuda dan rusa) yang mungkin jatuh melalui ais — telah ditemui dalam analisis perut spesies jerung tersebut. Jerung Greenland tidak dianggap berbahaya kepada manusia, sebahagiannya kerana mereka tinggal di kawasan di mana orang biasanya tidak berenang; satu-satunya laporan yang diketahui tentang kemungkinan serangan oleh jerung Greenland terhadap seseorang bermula pada tahun 1859.

undefined

Gambar di atas: Daging jerung Greenland atau dipanggil juga sebagai kæstur hákarl (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Greenland_shark#/media/File:Hakarl_near_Bjarnah%C3%B6fn_in_Iceland.JPG)

Jerung Greenland dianggap sebagai spesies yang hampir terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (International Union for Conservation of Nature). Walaupun daging jerung Greenland boleh dimakan, ia adalah toksik melainkan dibersihkan dengan betul dan dikeringkan atau direbus berulang kali sebelum dimakan.[1] Dalam erti kata lain, daging jerung Greenland yang tidak dirawat adalah toksik kepada manusia. Dagingnya mengandungi tahap tinggi trimethylamine oxide (TMAO), yang terurai menjadi sebatian trimethylamine (TMA) beracun semasa penghadaman, menurut kajian 1991 yang diterbitkan dalam jurnal Toxicon. TMA boleh menyebabkan masalah usus yang teruk dan menghasilkan kesan yang serupa dengan pengambilan alkohol yang berlebihan.

Daging jerung Greenland hanya boleh dimakan apabila ia dikeringkan. Daging kering itu diberi makan kepada anjing kereta luncur (sled dog) di kawasan utara seperti Greenland, menurut Muzium Sejarah Semula Jadi Florida. Daging itu juga ditapai dan dimakan oleh penduduk di Iceland, di mana makanan itu, dipanggil hákarl, dianggap sebagai makanan istimewa.[2] Menurut The Patriots, bagi membolehkan untuk daging jerung itu dimakan, ia akan direbus banyak kali, dikeringkan atau diawet selama beberapa bulan, kemudian kæstur hákarl terhasil iaitu makanan tradisi orang Iceland. Jika ingin memakannya, daging itu ditanam dalam tanah selama 6-8 minggu, kemudian daging itu dikeluarkan dan digantung untuk mengeringkan selama beberapa bulan lagi.[3]

Hukum memakan daging jerung Greenland atau Hákarl

Berkenaan hal ini, pada asasnya, haiwan air dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548).

Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 96 seperti yang telah disebutkan di atas. Begitu juga, riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang diketahui jerung Greenland tergolong dalam jenis atau spesies jerung. Menurut al-Damiri, Syeikh Jamaluddin al-Asnawi berfatwa berkenaan halalnya untuk memakan jerung. Pendapat ini jugalah yang jelas disebutkan oleh Syeikh Muhibbuddin al-Tabari, yang mensyarahkan kitab al-Tanbih, ketika membahaskan mengenai buaya. Kemudian beliau telah samar-samar berkenaan pengharaman buaya tersebut. Sedangkan berkenaan kehalalan jerung ini pula menunjukkan bahawa tidak ada khilaf mengenainya.

Selain itu, dalam Nihayah Ibn al-Athir jelas disebutkan berkenaan kehalalannya. Akan tetapi Ibn Abbas R.Anhuma ada menyebutkan bahawa:

إِنَّهُ يَأْكُلُ وَلَا يُؤْكَلُ

Maksudnya:Sesungguhnya ia (jerung itu) memakan dan tidak dimakan.”

Boleh jadi maksudnya adalah ia memakan haiwan-haiwan laut dan tidak ada satu pun daripada haiwan laut tersebut yang mampu untuk memakannya. Umumnya kalam jumhur ulama, nas Imam al-Syafi‘i,dan ayat al-Quran al-‘Aziz menunjukkan kepada keharusan untuk memakan jerung kerana ia termasuk dalam jenis ikan, dan ia tidak dapat hidup melainkan hanya dalam air. Malah Imam al-Nawawi sendiri telah menyebutkan dalam Syarh al-Muhazzab bahawa pendapat yang sahih adalah semua haiwan yang hidup di dalam laut adalah halal, dan memahami haiwan yang dikecualikan oleh para ashab (ulama mazhab Syafi‘i) sebagai haiwan yang hidup bukan di dalam air. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/337).

Oleh yang demikian, pada asalnya, daging ikan jerung Greendland adalah halal dimakan kerana ia termasuk dalam jenis hidupan air. Sekalipun begitu, jerung Greenland juga terbukti sebagai haiwan yang mempunyai toksik atau racun yang boleh memudaratkan pemakannya. Maka, hukum daging jerung Greenland berubah daripada hukum asalnya iaitu harus dimakan menjadi haram dimakan disebabkan oleh mudarat dan bahayanya kepada manusia — pemakannya. Firman Allah:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).

Begitu juga Imam al-Baghawi dalam menjelaskan ayat ini menyebut bahawa setiap perkara yang membawa kepada kebinasaan dalam agama mahupun dunia, maka ia termasuk dalam makna ayat ini.  (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/367). Tambahan lagi, menurut Syeikh Sayyid Tantawi, maksud “التَّهْلُكَةِ” ialah kehancuran dan kematian atau apa jua yang boleh membawa kepadanya. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 329).

Akan tetapi jika toksik atau racun dalam ikan jerung Greenland itu dapat dibuang atau dihilangkan, maka hukum memakannya kembali kepada hukum asal hidupan air iaitu harus dimakan. Pada asasnya, ‘illah (sebab) bagi ketidakharusan atau haram memakan ikan buntal adalah kerana ia mempunyai toksik atau racun dalam badannya yang membahayakan pemakannya. Justeru, jika ‘illah itu hilang, maka hilanglah larangan daripada memakan haiwan tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah:

إِذَا زَالَتِ العِلَّةُ زَالَ الحُكْمُ

Maksudnya:Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”

Hal ini adalah sebagaimana dilaporkan bahawa daging jerung Greenland boleh dimakan, jika toksik dalam dagingnya dapat dihilangkan melalui proses pembersihan yang betul dan dikeringkan atau direbus berulang kali sebelum dimakan sebagaimana yang kami sudah jelaskan di atas. Bahkan daging jerung Greenland yang telah diproses bagi menghilangkan toksiknya dianggap sebagai makanan tradisi dan istimewa di Iceland yang dipanggil sebagai  hákarl.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa daging jerung Greenland atau hákarl adalah haram dimakan disebabkan oleh toksik atau racun yang terkandung di dalam dagingnya, yang memudaratkan serta membahayakan pemakannya — iaitu manusia. Perkara ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Namun, jika toksik atau racun dalam jerung Greenland itu dapat dibuang atau dihilangkan oleh mereka yang mahir mengendalikannya, maka hukum memakannya kembali kepada hukum asal hidupan air iaitu harus dimakan.

Kami juga menasihatkan kepada semua, jika terdapat keraguan atau tidak pasti sama ada ada daging jerung Greenland itu selamat dimakan ataupun tidak, atau dikendalikan oleh mereka yang berkeahlian ataupun tidak, maka ia kembali kepada hukum asal ikan jerung Greenland itu sendiri iaitu haram dimakan dan hendaklah dielakkan daripada memakannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.britannica.com/animal/Greenland-shark. Diakses pada 17 Mei 2024.

[2] Lihat https://www.livescience.com/greenland-shark#. Diakses pada 17 Mei 2024.

[3] Lihat https://thepatriots.asia/jerung-greenland-jerung-gergasi-paling-lama-hidup-di-dunia/. Diakses pada 17 Mei 2024.

Leave a Reply