Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Anak berbuka puasa di Kuala Lumpur lupa yang dia di Kuala Lumpur, sedang dia orang Singapura. Adakah batal puasanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, waktu berbuka atau iftar itu adalah apabila tibanya waktu malam — iaitu matahari terbenam. Hal ini jelas seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ

Maksudnya: “Apabila malam telah tiba dari arah ini, dan siang telah berlalu dari arah ini serta matahari telah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.

Riwayat al-Bukhari (1954) dan Muslim (1100)

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa selesai dan sempurnanya puasa itu dengan terbenamnya matahari seperti mana yang disepakati oleh seluruh kaum Muslimin. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/304).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidaklah batal puasa anak saudari kerana dia berbuka puasa di Kuala Lumpur kerana dia memang berada di Kuala Lumpur. Bukanlah bermakna waktu berbuka puasa itu mengikut orang itu berasal/lahir  dari mana. Maka, puasa anak saudari adalah sah dan tidak perlu untuk diganti.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Leave a Reply