Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah amalan sunat apabila berlakunya gerhana?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Selain solat sunat gerhana, terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan ketika berlakunya gerhana sebagaimana hadith riwayat Abdullah bin Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ، فَادْعُوا اللَّهَ، وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya matahari dan bulan itu ialah dua tanda daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, tidaklah keduanya bergerhana kerana matinya seseorang dan tidak pula kerana hidupnya, jika kalian melihat gerhana, maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, laksanakanlah solat dan bersedekahlah.”

Riwayat al-Bukhari (3202)

Antara amalan lain yang boleh dilakukan ketika berlakunya peristiwa gerhana ialah:

  • Melakukan dua khutbah selepas melaksanakan solat sunat gerhana,
  • Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT dengan memohon keselamatan dan menolak bala bencana
  • Beristighfar
  • Bersedekah
  • Banyakkan bermunajat
  • Bertakbir dan berzikir
  • Mengelakkan diri daripada mempercayai sebarang khurafat, tahayul dan iktikad yang salah mengenai kejadian gerhana.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply