Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terdengar tentang golongan yang disebut sebagai al-Wasiliyyah. Boleh Dato terangkan, siapakah mereka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

(Surah Yusuf: 108)

Imam al-Syaukani menjelaskan: Ayat ini menjadi dalil bahawa setiap orang yang mengikuti jalan Rasulullah SAW maka wajar ke atasnya menjadi ikutan dalam menyeru kepada Allah iaitu kepada beriman dengan Allah, mengesakanNya dan beramal dengan syariatNya. (Lihat Fath al-Qadir, 3/443)

Menjawab persoalan di atas, secara umumnya, al-Wasiliyyah adalah merupakan salah satu pecahan daripada kelompok Muktazilah. Al-Wasiliyyah adalah merujuk kepada pengikut Abu Huzaifah Wasil bin ‘Ata’ al-Ghazal atau al-Ghazzal. Dia pernah menjadi murid dan pengikut al-Hasan al-Basri, namun menganut mazhab Mu’tazilah setelah dia membaca buku-buku falsafah dan terpengaruh dengannya.

Ketika al-Hasan al-Basri ditanya mengenai kedudukan pelaku dosa besar, adakah ia jatuh kufur? Sedang beliau berfikir untuk menjawabnya, Wasil bin ‘Ata’ tiba-tiba menjawab dengan mengatakan pelaku dosa besar itu tidak mukmin secara mutlak, tidak juga kafir secara mutlak. Tetapi ia berada antara dua kedudukan, bukan mukmin dan bukan kafir. Lalu Wasil telah mengasingkan dirinya pada salah satu tiang masjid sambil mempertahankan pendiriannya. Al-Hasan al-Basri kemudian mengatakan Wasil telah mengasingkan diri daripada kita (اعْتَزَلَ وَاصِل عَنَّا). Turut bersetuju dengan pendapatnya adalah ‘Amru bin ‘Ubayd. Setelah itu pengikut Wasil dan ‘Ubayd dikenali sebagai Mu’tazilah. (Lihat al-Milal wa al-Nihal, 1/42; Syarh al-Usul al-Khamsah, 138)

Antara fahamannya ialah:

  • Orang yang mengerjakan dosa besar, hukumnya tidak Islam dan tidak kafir tetapi kekal juga di dalam Neraka.
  • Menafikan sifat ‘llm, Qudrah, Iradah, dan Hayah bagi Allah kerana kata mereka, itu bukannya sifat tetapi zat, dengan mengatakan Allah itu ‘Alim (yang mengetahui), Qadir (yang berkuasa), Murid (yang berkehendak), dan Hayy (yang hidup).
  • Perbuatan baik dan jahat itu daripada hamba, bukannya daripada Allah.
  • Mereka yang terlibat dalam Peperangan al-Jamal dan Siffin atau salah satu daripada kedua-dua belah pihak itu hukumnya fasiq. Oleh itu, mereka tidak menerima Saidina Ali, Talhah, dan al-Zubair RA untuk menjadi saksi. (Lihat Sejarah Mazhab Aqidah dan Firqah Umat Islam, 139)

Sesungguhnya, Rasulullah SAW pernah bersabda dalam beberapa hadith: Antaranya daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفَرَّقَتِ النَّصَارَى عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً

Maksudnya: “Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan.”

Riwayat Abu Daud (4596)

Justeru, marilah kita menempatkan diri kita menjadi golongan yang dianggap selamat. Antaranya adalah dengan mengikut al-Quran, Nabi SAW, para sahabat sepertimana dalam hadith daripada Kathir bin Abdillah bin ‘Amr bin Auf, daripada bapanya, daripada datuknya (Auf R.A), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: “Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”

Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (3)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply