Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Hukum membaca surah al-Waqi‘ah dan al-Mulk ketika dalam haid secara hafazan tanpa melihat mushaf atau al-Quran? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan menjelaskan terlebih dahulu makna haid dari sudut bahasa dan syarak. Haid dari segi bahasa bermaksud mengalir. Dikatakan bahawa, “حَاضَ الوَادِي” apabila lembah mengalir. Manakala dari segi syarak pula haid diertikan sebagai:
دَمُ جِبِلَّةٍ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ
Maksudnya: “Darah kebiasaan yang keluar dari bahagian paling hujung di dalam rahim seorang perempuan secara sihat.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161).
Sebenarnya, kami telah berulang kali menjawab soalan seumpama ini. Secara umumnya, dalam masalah wanita membaca al-Quran ketika haid, terdapat dua pandangan ulama:
Pertama: Haram.
Ini merupakan pendapat kebanyakan fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Quran ketika dalam haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadith daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
لاَ تَقْرَأُ الحَــائِضُ وَلاَ الجُــنُبُ شَــْـيئاً مِنَ القُرأَنِ
Maksudnya: “Tidak dibolehkan wanita di dalam haid dan yang berjunub membaca sedikit pun daripada al-Quran.”
Riwayat al-Tirmizi (131) dan Ibn Majah (596)[1]
Kedua: Harus.
Ini adalah pendapat ulama Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih mengatakan bahawa dibolehkan untuk memegang al-Quran bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar. Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana tempoh berlangsungnya hari-hari haid itu adalah cukup lama. Maka, jika mereka dilarang daripada membaca al-Quran, dibimbangi bahawa mereka akan melupakan al-Quran. Sedangkan berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid. Ia juga memberi kemudahan kepada madrasah Tahfiz al-Quran untuk meneruskan pengajarannya sehingga para huffaz tidak melupakan hafazannya disebabkan terhenti bacaan kerana haid dan nifas.
Inilah juga pendapat tokoh ulama silam seperti Imam al-Bukhari, al-Tabari, Ibn Munzir, Dawud al-Zahiri, al-Sya‘bi, pendapat Imam al-Syafi‘i dalam qaul qadimnya dan kebanyakan ulama masa kini seperti Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin dan lain-lain. (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 1/461).
Malah dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga dibolehkan untuk membaca al-Quran sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Majmu‘ al-Fatawa: “Membaca al-Quran bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Quran dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Akan tetapi jika dia yakin bahawa tidak melupakan bacaan al-Quran tersebut maka tak perlulah dia membacanya.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 1/636).
Begitu juga Syeikh Soleh Abd al-Sami‘ al-Abi menyatakan, tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Quran tanpa menyentuh Quran. (Lihat Jawahir al-Iklil, 1/32)
Antara pandangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 14 Syawal 1437 bersamaan 19 Julai 2016 telah membuat keputusan seperti berikut:
“Hukum wanita haid membaca al-Quran menurut qaul muktamad dalam mazhab Syafi‘i ialah haram sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi. Walau bagaimanapun, adat budaya pada zaman sekarang dalam mempelajari al-Quran sudah berbeza jika dibandingkan dengan zaman dahulu yang mana salah satu kemajuannya adalah ianya telah menjadi satu bidang yang diiktiraf di peringkat Negara dan juga antarabangsa.
Justeru, pandangan ulama kontemporari seperti mantan syeikh al-Azhar, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq dan selainnya yang mengharuskan pelajar wanita yang dalam keadaan haid untuk menghafaz al-Quran dan membacanya atas faktor peperiksaan atau ujian adalah lebih sesuai untuk dijadikan hukum berdasarkan kepada kaedah darurat atau masyaqqah dan juga maslahah kerana waktu peperiksaan adalah terhad dan terbatas. Keharusan dalam masalah ini juga boleh disandarkan kepada qaul qadim Imam Syafi‘i yang menyatakan bahawa wanita yang sedang dalam haid harus membaca al-Quran.[2]
Kesimpulan
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa membaca surah al-Waqi‘ah dan al-Mulk ketika dalam haid secara hafazan tanpa melihat mushaf atau al-Quran adalah dibolehkan berdasarkan sebab-sebab yang telah diterangkan, dengan diniatkan ia sebagai zikir.
Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada mantan Mufti Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz menyatakan, pendapat yang benar menurut pandangan para ulama adalah tidak ada masalah bagi wanita haid dan nifas untuk membaca apa yang mereka hafal daripada al-Quran. Tidak ada masalah juga bagi wanita haid dan nifas untuk membaca ayat al-Kursi ketika tidur, dan tidak ada masalah bagi mereka untuk membaca sebanyak yang mereka mampu daripada al-Quran pada semua waktu dengan ikhlas dari hati. Inilah yang benar dan ini adalah yang asalnya. Oleh sebab itu, Nabi SAW memerintahkan Aisyah R.Anha ketika beliau haid semasa Haji Wada‘ untuk melakukan apa yang dilakukan oleh para haji, kecuali tidak melakukan tawaf di sekitar Kaabah hingga beliau bersuci, dan beliau tidak dilarang membaca al-Quran.[3]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”
Nota Hujung:
[1] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Awasim wa al-Qawasim (4/32) menyatakan dalam sanad hadith ini terdapat Ismail bin Ayyasy yang meriwayatkan selain daripada ahli negerinya dan hadith ini terdapat dua jalur dan kedua-duanya dhaif.
[2] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15939. Diakses pada 11 Jun 2024.
[3] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/7055/حكم–قراءة–الحاىض–والنفساء–والجنب–للقران–الكريم. Diakses pada 11 Jun 2024.