Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada terlihat sejenis burung laut yang berkaki biru yang dipanggil sebagai blue-footed booby. Soalannya, adakah ia halal untuk dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menjelaskan secara ringkas berkenaan burung tersebut terlebih dahulu. Booby, mana-mana daripada enam atau tujuh spesies burung laut tropika besar yang membentuk keluarga Sulidae (order Pelecaniformes atau Suliformes). Panjangnya berbeza-beza dari kira-kira 65 hingga 85 cm (25–35 inci). Booby berkaki merah (Sula sula) dan booby bertopeng, atau berwajah biru (S. dactylatra) tersebar luas di lautan Atlantik, Pasifik dan India. Booby berkaki biru (S. nebouxii) terdapat di Pasifik dari selatan California ke utara Peru dan di Kepulauan Galápagos. Paruh boobies panjang, badannya berbentuk cerut, dan sayapnya panjang, sempit dan bersudut. Mereka terbang tinggi di atas lautan mencari kumpulan ikan dan sotong. Apabila mangsa dilihat, mereka terjun ke dalam air dengan pantas dan menegak.[1]

undefined

Gambar di atas: Burung Booby Berkaki Biru (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Blue-footed_booby#/media/File:Blue-footed-booby.jpg)

Booby berkaki biru (Sula nebouxii) ialah burung marin yang berasal dari kawasan subtropika dan tropika di timur Lautan Pasifik. Ia adalah salah satu daripada enam spesies genus Sula – dikenali sebagai booby. Ia mudah dikenali dengan kaki biru terangnya yang tersendiri, yang merupakan sifat yang dipilih secara seksual dan hasil diet mereka. Jantan mempamerkan kaki mereka dalam upacara mengawan yang rumit dengan mengangkatnya ke atas dan ke bawah sambil melangkah di hadapan betina. Betina lebih besar sedikit daripada jantan dan boleh berukuran sehingga 90 cm (35 in) panjang dengan lebar sayap sehingga 1.5 m (5 kaki).

Habitat pembiakan semula jadi booby berkaki biru adalah pulau tropika dan subtropika Lautan Pasifik. Ia boleh ditemui dari Teluk California selatan di sepanjang pantai barat Amerika Tengah dan Selatan ke Peru. Kira-kira separuh daripada semua pasangan pembiakan bersarang di Kepulauan Galápagos. Makanan terutamanya terdiri daripada ikan seperti ikan sardin, ikan bilis, makarel dan ikan terbang, yang diperolehi dengan cara menyelam dan kadang-kadang berenang di bawah air untuk mencari mangsanya. Selain itu, ia juga memakan sotong. Mereka memburu ikan dengan cara menyelam ke dalam lautan selepas terjun dari ketinggian yang tinggi dengan menghalakan badan mereka ke bawah seperti anak panah. Mereka juga boleh berenang di bawah air untuk mengejar mangsanya. Ia kadangkala memburu secara bersendirian, tetapi biasanya ia memburu secara berkumpulan.[2]

Hukum burung booby berkaki biru

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di sana terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Selain itu, sebagaimana yang kita ketahui juga bahawa burung booby berkaki biru ini tergolong dalam jenis atau kategori burung air/laut. Secara umumnya, ulama mazhab Syafi‘i berpendapat, semua jenis burung air adalah halal untuk dimakan kecuali burung bangau — kerana terdapat perbezaan pendapat mengenainya — sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Rafi‘i. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33; al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 9/555)

Tambahan lagi Imam al-Ghazali ada menyebutkan bahawa semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan dan begitu juga seluruh haiwan air yang lain kecuali haiwan yang ada bandingannya dengan haiwan di darat yang haram kerana dalam hal ini terdapat dua pendapat mengenainya — iaitu sama ada halal atau haram. (Lihat al-Wasit fi al-Mazhab, 7/163)

Penjelasan mengenai burung bangau bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #325 Memakan Burung Bangau.[3]

Justeru, begitulah juga hukumnya ke atas daging burung booby berkaki biru iaitu halal dimakan kerana ia adalah sebagaimana hukum burung-burung air yang lain. Tambahan lagi, burung booby berkaki biru tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku kuat dan boleh melukakan sebagaimana yang dilarang oleh Nabi SAW. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

 نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934); Abu Dawud (3803)

Sebaliknya, burung ini memburu ikan dengan cara menyelam ke dalam lautan selepas terjun dari ketinggian yang tinggi dengan menghalakan badan mereka ke bawah seperti anak panah atau berenang di bawah air untuk mengejar mangsanya.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, burung booby berkaki biru termasuk dalam kategori haiwan yang tidak terdapat nas syarak yang jelas mengenai pengharamannya mahupun kehalalannya. Justeru, kami berpendapat bahawa burung booby berkaki biru adalah halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana tidak terdapatnya dalil yang menunjukkan hukum sebaliknya, serta tidak memudaratkan pemakannya. Selain itu, ia juga tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Walaupun begitu, kita amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia, apakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memburunya kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi. Jika tiada, maka dibolehkan untuk mendapatkan dan makan burung tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.britannica.com/animal/blue-footed-booby. Diakses pada 11 Jun 2024.

[2] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Blue-footed_booby. Diakses pada 11 Jun 2024.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/325-memakan-burung-bangau/. Diakses pada 11 Jun 2024.

Leave a Reply