Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apa hukum suatu syarikat tidak membayar elaun kepada pelajar praktikal, sedangkan mereka menggunakannya untuk melakukan pelbagai kerja?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Latihan industri, amali atau praktikal, kesemuanya merujuk kepada satu perkara yang sama. Berdasarkan kepada surat edaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia bertarikh 6 September 2019, praktikal ini merujuk kepada penempatan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam atau swasta di mana-mana Kementerian, Jabatan, atau Agensi di dalam negara bagi tujuan menjalankan latihan amali dalam jangka masa yang ditetapkan sebagai syarat bergraduat sebelum dianugerahkan Diploma atau Ijazah Sarjana Muda.[1]
Amat penting untuk kami bawakan terlebih dahulu definisi ini agar anak-anak muda terutamanya yang masih berada di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dapat faham dengan baik tentang hakikat latihan industri. Hal yang demikian kerana, pada akhir-akhir ini, ramai anak muda yang bangkit menyuarakan suara hati mereka tentang layanan syarikat-syarikat yang mengambil pelajar praktikal, dan juga pertikaian berkaitan elaun khusus buat mereka. Oleh itu, sebelum kami membicarakan tentang hukum suatu syarikat tidak membayar elaun kepada pelajar praktikal, kami ingin saudara untuk sama-sama meneliti, apakah hak-hak yang sewajarnya diberikan kepada pelajar praktikal?
Pelajar Praktikal dan Akta Kerja 1955
Membincangkan berkenaan hak pelajar praktikal, seringkali dibangkitkan agar syarikat menyediakan elaun dengan kadar yang menyamai gaji minimum pekerja, iaitu sebanyak RM 1500 sepertimana yang dinyatakan oleh Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Malaysia.[2] Sebarang ketetapan dalam pekerjaan perlu berdasarkan kepada Akta Kerja 1955. Menurut seksyen 2 (1) dalam Akta Kerja 1955, pekerja adalah individu yang menandatangani kontrak perkhidmatan bersama majikan.[3] Adapun praktikal, mereka tidak tergolong dalam kalangan mereka yang dilindungi di bawah akta ini kerana mereka tidak menandatangani kontrak perkhidmatan. Apabila seseorang itu tidak dilindungi oleh Akta Pekerja 1955, ini bermakna dia tidak akan mendapat gaji minimum yang telah ditetapkan oleh Perintah Gaji Minimum 2022 sebanyak RM 1500 sebulan. Penempatan latihan industri bagi pelajar ini pula bergantung kepada penerimaan sesebuah syarikat tersebut, sama ada bersetuju untuk membekalkan tempat latihan kepada pelajar tersebut atau tidak bersetuju.
Bagi memastikan tidak berlaku sebarang penindasan terhadap para pelajar yang menjalani latihan industri, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah mengeluarkan satu surat perintah kepada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, di bawah Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Isu-isu Belia Bil 1/2019. Mereka menetapkan bahawa kadar elaun minimum bagi pelajar yang menjalani latihan industri di sektor awam adalah sebanyak RM 5.00 per jam. Pembayaran ini juga diikat dengan beberapa ketetapan yang berikut:
- Kadar pembayaran ini hanya terhad kepada maksimum 90 hari (3 bulan) sahaja, dan ini hanya terpakai sekiranya latihan industri tersebut menjadi salah satu syarat untuk menamatkan pengajian.
- Pelajar tidak dibayar elaun lebih masa (OT).
- Bayaran elaun hanya diberikan mengikut hari bekerja sahaja.
- Elaun dari syarikat tempat latihan ini akan membatalkan Elaun Latihan Amali yang diterima oleh pelajar tajaan Kerajaan.[4]
Inisiatif yang diambil oleh pihak Kerajaan ini amatlah baik menurut pandangan kami. Hal ini bagi menginsafi keperluan minima mereka selaku manusia biasa yang turut mempunyai keperluan asas untuk dipenuhi, seperti makan, minum dan juga sedikit wang saku untuk keperluan pengangkutan ke tempat latihan. Isu elaun pelajar praktikal yang menjalani latihan industri ini sebenarnya telah kami huraikan dalam artikel kami yang bertajuk: “Bayaran Pelajar Praktikal.” Kami simpulkan dari artikel tersebut, segala perkara berbalik kepada perjanjian serta persetujuan yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak, iaitu pelajar dan juga syarikat yang menyediakan latihan industri tersebut.
Rasulullah SAW bersabda sebagaimana dalam hadith Abu Hurairah R.A:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: “Orang Islam itu terikat dengan syarat-syaratnya (perjanjian).”
Riwayat Abu Daud (3594), al-Tirmizi (1352), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11761), al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (30) dan al-Daraqutni (96).
Hukum Tidak Membayar Elaun Pelajar Praktikal
Selepas kita memahami dengan baik perbincangan di atas, maka kami katakan bahawa hukum pembayaran elaun kepada pelajar praktikal ini adalah tertakluk kepada perjanjian yang telah disepakati. Sekiranya syarikat menjanjikan pemberian elaun khusus kepada pelajar tersebut, maka hukum memberikan elaun tersebut adalah wajib. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah segala janji.”
(Surah al-Ma’idah: 1)
Akan tetapi, sekiranya syarikat tersebut tidak menjanjikan sebarang elaun kepada pelajar, maka tidak menjadi suatu kesalahan sekiranya pelajar tersebut tidak diberikan elaun. Bahkan, ia kembali kepada budi bicara syarikat tersebut atas dasar insani untuk memberikan sebentuk saguhati sebagai imbal balas terhadap sumbangan buah fikiran dan juga tenaga yang dikongsikan oleh pelajar praktikal tersebut. Dalam pada itu, syarikat juga perlu bertimbang rasa dalam memberikan tugasan kepada pelajar tersebut sesuai dengan kemampuan. Jika tugasan tersebut berada di luar kemampuan mereka, berikan tunjuk ajar yang baik dengan bimbingan yang penuh berhemah buat mereka, kerana itulah tujuan sebenar latihan industri ini ditetapkan sebagai syarat asas bergraduasi, sebagai persediaan buat para pelajar untuk menghadapi alam pekerjaan sebenar.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Zar R.A, Rasulullah SAW bersabda:
وَلاَ تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ
Maksudnya: “Janganlah kamu membebankan mereka (hamba), dan jika kamu memberikan tugas kepada mereka, bantulah mereka.”
Riwayat al-Bukhari (30)
Ini merupakan tuntutan untuk berlaku ihsan terhadap mereka serta kelembutan hati, dan termasuk dalam konteks ini sesiapa sahaja yang diberikan upah untuk bekerja dan selainnya. Kita juga dapat fahami bahawa Islam larang dari memandang remeh terhadap orang lain atau menghina mereka. Ini juga sejajar dengan perintah amar ma‘ruf dan nahi mungkar yang dituntut untuk kita pelihara. (Lihat Fath al-Bari, 5/175)
Beginilah serba ringkas yang dapat kami jelaskan, semoga ia dapat menjadi pencerahan kepada semua belia serta mana-mana syarikat yang terlibat dalam menjayakan latihan industri ini. Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://docs.jpa.gov.my/docs/se/2019/faq_se06092019.pdf. Diakses pada 11 Jun 2024.
[2] Lihat https://minimumwages.mohr.gov.my/index.php/ms/soalan-lazim-4. Diakses pada 11 Jun 2024.
[3] Lihat https://jtksm.mohr.gov.my/sites/default/files/2023-11/Akta%20Kerja%201955%20%28Akta%20265%29.pdf. Diakses pada 11 Jun 2024.
[4] Lihat https://docs.jpa.gov.my/docs/se/2019/se06092019.pdf. Diakses pada 11 Jun 2024.