Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum jika seseorang berwukuf pada 10 Zulhijjah atau pada hari Raya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali ‘Imran: 97)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Wukuf di Arafah termasuk dalam rukun haji yang utama. Dengan sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:

الْحَجُّ عَرَفَةُ، مَنْ جَاءَ لَيْلَةَ جَمْعٍ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ فَقَدْ أَدْرَكَ الْحَجَّ

Maksudnya: “Haji adalah ‘Arafah. Sesiapa yang datang di ‘Arafah pada hari Nahr malam sebelum fajar terbit, maka dia dikira melakukan haji.”

Riwayat Abu Daud (1949); al-Nasa’i (3016); al-Tirmizi (889); Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Zad al-Ma‘ad (2/218) menilai sanadnya sebagai sahih. Begitu juga Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (8/95) menilainya sebagai sahih.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, sesiapa yang berihram untuk melaksanakan ibadat haji dan beliau tidak sempat berwukuf di Arafah, dengan sebab tersalah kira yang sebenarnya dia telah terlewat sehari dan dia telah berwukuf pada hari Raya. Maka hajinya tidak memadai dan hendaklah dia melaksanakan haji pada tahun berikutnya. Hal ini berdasarkan kepada sebuah riwayat athar daripada sahabat:

أَنَّ هَبَّارَ بْنَ الْأَسْوَدِ جَاءَ يَوْمَ النَّحْرِ وَعُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ يَنْحَرُ هَدْيَهُ، فَقَالَ : يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، أَخْطَأْنَا الْعِدَّةَ، كُنَّا نَرَى أَنَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمُ عَرَفَةَ، فَقَالَ عُمَرُ : اذْهَبْ إِلَى مَكَّةَ فَطُفْ أَنْتَ وَمَنْ مَعَكَ، وَانْحَرُوا هَدْيًا، إِنْ كَانَ مَعَكُمْ، ثُمَّ احْلِقُوا أَوْ قَصِّرُوا، وَارْجِعُوا، فَإِذَا كَانَ عَامٌ قَابِلٌ فَحُجُّوا وَأَهْدُوا، فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعَ.

Maksudnya: “Habbar bin al Aswad datang pada hari penyembelihan, sementara Umar bin al Khatthab waktu itu sedang menyembelih haiwan sembelihannya. Habbar berkata, “Wahai Amirul Mukminin, kami salah menghitung, kami kira hari ini adalah hari Arafah?” [Umar] berkata, “Pergilah kamu ke Makkah bersama orang-orang yang ikut denganmu, dan lakukanlah tawaf. Lalu sembelihlah sembelihan jika kamu membawanya. Cukur atau pendekkanlah rambut, setelah itu pulanglah. Jika tahun depan kamu menemui musim haji lagi, maka berhaji dan sembelihlah sembelihan. Bagi yang tidak mendapatkannya, maka hendaknya dia berpuasa tiga hari ketika haji dan tujuh hari jika telah kembali.”

Riwayat Imam Malik (1429). Isnadnya sahih sepertimana dinyatakan dalam Irwa’ al-Ghalil (4/260)

Justeru, sayugia seseorang itu pastikan berwukuf pada hari yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan di tempat tersebut seperti sekarang ini, pemerintahnya kerajaan Arab Saudi yang menentukan hari Arafah berdasarkan anak bulan Zulhijjah. Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply