Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita disunatkan untuk pergi dan balik pada hari Raya ke tempat solat pada jalan yang berlainan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan beberapa adab dan amalan sunat yang boleh diamalkan selaras dengan panduan sunnah Rasulullah SAW dalam menyambut hari raya, antaranya:

  • Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru atau cantik. Hal ini sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya. Daripada Jabir RA katanya:

كَانَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بُرْدٌ يَلْبَسُهَا فِي الْعِيدَيْنِ وَالْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW mempunyai satu jubah yang Baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.”

Riwayat al-Baihaqi (5985) dan Ibn Khuzaimah (3/246). Imam al-Nawawi menyatakan di dalam al-Khulasah (2/820) bahawa hadith ini dhaif.

Demikian juga al-Baihaqi ada juga meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibn Umar R.Anhuma sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.

  • Sunat menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan solat hari raya Aidilfitri. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا.

Maksudnya:Sesungguhnya  Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar… dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.”

Riwayat al-Bukhari (953)

Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mengulas hadith ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa. Ianya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah SWT (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” (Lihat Fath al-Bari, 2/446).

  • Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Hal ini berdasarkan hadith Wasilah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, katanya: Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya, seraya mengucapkan kepada Baginda: تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), lalu Baginda menjawab: Ya, تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu).
  • Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya. Bagi imam solat hari raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Menjawab persoalan di atas, benar. Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ.

Maksudnya: “Nabi SAW (apabila pulang daripada solat) pada hari raya Baginda melalui jalan lain (bukan jalan yang sama ketika pergi untuk solat).”

Riwayat al-Bukhari (986)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Al-Tirmizi menyatakan bahawa sebahagian ulama menggunakan hadis ini sebagai dalil yang menunjukkan disunatkan bagi seorang imam untuk melalui jalan yang berlainan semasa pulang dari solat Hari Raya. Imam al-Syafi’i dalam kitabnya, al-Umm, menyatakan bahawa disunatkan bagi seorang imam dan makmum untuk melalui jalan yang berbeza – berbanding jalan yang dilalui semasa pergi – ketika pulang dari solat Hari Raya. Demikian juga pendapat majoriti pengikut mazhab al-Syafi’i. Al-Rafi’ii menyatakan, “Dalam kitab al-Wajiz, dijelaskan bahawa tindakan tersebut hanya disunatkan bagi Imam.” (Lihat Fath al-Bari, 2/472)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply