Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, benarkah sahabat nabi bernama Ka‘ab bin Malik tidak menyertai peperangan tabuk? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ka‘ab Bin Malik
Beliau adalah Ibn Abi Ka‘ab Amru bin al-Qain bin Ka‘ab bin Suwaid bin Ghanam bin Ka‘ab bin Salamah al-Ansari al-Khazraji al-‘Aqabi al-Uhudi, penyair Rasulullah SAW dan sahabatnya. Beliau adalah salah seorang dari tiga orang yang tidak mengikuti dalam peperangan bersama Rasulullah (Peperangan Tabuk) lalu Allah menerima taubat mereka.
Beliau meriwayatkan beberapa hadith yang mencapai tiga puluh, dengan tiga daripadanya disepakati oleh Bukhari dan Muslim, dan satu diriwayatkan oleh Bukhari serta dua oleh Muslim.
Anaknya yang meriwayatkan daripadanya adalah: Abdullah, Ubaidullah, Abdurrahman, Muhammad, Ma‘bad bin Ka‘ab, dan Jabir, Ibn ‘Abbas, Abu Umamah, Umar bin al-Hakam, Umar bin Kathir bin Aflah dan lain-lain, serta cucunya Abdurrahman bin Abdullah.
Dikatakan bahawa kunyahnya (gelaran) pada zaman jahiliah adalah Abu Bashir. Ibn Abi Hatim berkata: Ka‘ab adalah dari kalangan Ahli Suffah, beliau kehilangan penglihatan pada zaman pemerintahan Muawiyah. Urwah menyebutkan bahawa beliau merupakan salah seorang daripada tujuh puluh orang yang menyaksikan Perjanjian Aqabah.
Sadaqah bin Sabiq meriwayatkan daripada Ibn Ishaq bahawa Rasulullah SAW mempersaudarakan antara Talhah bin Ubaidullah dan Ka‘ab bin Malik. Dikatakan juga bahawa baginda mempersaudarakan antara Ka‘ab dan Zubair. (Lihat Siyar ‘Alam al-Nubala’, 2/523)
Ka‘ab berkata: Ketika kami berundur pada hari Uhud, akulah orang pertama yang mengenali Rasulullah SAW dan memberitahu orang-orang beriman bahawa baginda masih hidup dan dalam keadaan sihat walafiat, sementara aku berada di lembah. Maka Rasulullah SAW memanggil Ka‘ab dengan perisainya yang berwarna kuning, lalu Ka‘ab memakainya dan bertempur dengan hebat pada hari itu sehingga dia terluka sebanyak tujuh belas luka. (Lihat Siyar ‘Alam al-Nubala’, 4/123)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa benar, sahabat Rasulullah SAW Ka‘ab Bin Malik adalah salah seorang daripada mereka yang tidak menyertai Peperangan Tabuk bersama Rasulullah SAW . Hal ini dikisahkan melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ka‘ab bin Malik bahawa beliau berkata:
لَمْ أَتَخَلَّفْ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزْوَةٍ غَزَاهَا إِلَّا فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ، غَيْرَ أَنِّي تَخَلَّفْتُ عَنْ غَزْوَةِ بَدْرٍ، وَلَمْ يُعَاتَبْ أَحَدٌ تَخَلَّفَ عَنْهَا، إِنَّمَا خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرِيدُ عِيرَ قُرَيْشٍ، حَتَّى جَمَعَ اللَّهُ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ عَدُوِّهِمْ عَلَى غَيْرِ مِيعَادٍ
Maksudnya: “Aku tidak pernah untuk tidak ikut Rasullullah SAW berperang kecuali Perang Tabuk, meskipun aku tidak ikut juga dalam Perang Badar, (tetapi ketika itu perang badar tidak wajib diikuti). Rasullullah sendiri tidak pernah mencela(mengkritik) orang yang tidak ikut Perang Badar. Itu kerana sebenarnya Rasullullah SAW keluar hanya untuk menghalang kafilah dagang kaum Quraisy (bukan untuk berperang), kemudian Allah mempertemukan antara kaum muslimin dan musuh kaum tersebut (hingga terjadinya Perang) tanpa dirancang.”
Riwayat Bukhari (3951)
Syeikh Ibn Baz menyatakan bahawa: Ini adalah kisah Ka‘ab bin Malik al-Ansari dan dua sahabatnya, Hilal bin Umayyah dan Mararah bin al-Rabi‘, yang tidak turut serta dalam Perang Tabuk tanpa uzur syar‘i. Pada tahun kesembilan Hijrah, Nabi SAW mengumumkan kepada orang ramai mengenai perangnya melawan Rom dan bahawa baginda akan menuju ke Rom. Perang tersebut berlaku pada musim panas yang sangat terik, ketika buah-buahan telah masak dan bayang-bayang telah sejuk. Nabi SAW mengumumkan kepada orang ramai mengenai perkara tersebut dan memerintahkan mereka untuk bersiap sedia. Itulah peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab. Sebilangan besar orang, kira-kira tiga puluh ribu atau lebih, bersiap untuk berperang bersamanya melawan Rom di Syam. Ka‘ab bin Malik dan dua sahabatnya tidak turut serta dalam perang tanpa uzur Syar’i. Nabi SAW mengumumkan perang kepada semua kelompok. Namun, Ka‘ab dan dua sahabatnya terus menunda-nunda sehingga mereka ketinggalan tidak menyertai perang tersebut tanpa uzur Syar‘i .
Nabi SAW menetap di Tabuk sehingga Allah memerintahkannya dan mengizinkannya untuk kembali disebabkan beberapa sebab yang memerlukan demikian, maka baginda kembali tanpa berhadapan dengan musuh dan tanpa bertempur dengan Rom. Ketika Ka‘ab dan dua sahabatnya mendengar bahawa Nabi SAW akan pulang, mereka mengalami kesulitan dan tekanan yang besar tentang apa yang akan mereka katakan dan bagaimana mereka akan memberikan alasan. Kemudian Allah memberi mereka taufik untuk berkata benar. Adapun orang-orang Badwi yang tidak menyertainya, mereka memberikan alasan palsu, maka Rasulullah SAW menerima alasan mereka secara zahirnya dan Allah menurunkan ancaman yang keras kepada mereka sebagaimana firman Allah SWT:
يَحْلِفُونَ لَكُمْ لِتَرْضَوْا عَنْهُمْ ۖ فَإِن تَرْضَوْا عَنْهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَرْضَىٰ عَنِ الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ
Maksudnya: “Mereka bersumpah kepada kamu supaya kamu reda akan mereka; oleh itu jika kamu reda akan mereka, maka sesungguhnya Allah tidak reda akan kaum yang fasik.”
(Surah al-Taubah:96)
Ketiga-tiga mereka ini berkata benar, dan mereka tidak turut serta tanpa alasan yang sah, maka Nabi SAW memerintahkan supaya mereka dijauhi, lalu mereka dijauhi. Para sahabat menjauhi mereka kerana mereka tidak turut serta dalam peperangan tanpa adanya uzur syar‘i. Mereka dijauhi selama lima puluh malam dan bumi yang luas terasa sempit bagi mereka, dan keadaan menjadi sangat sukar bagi mereka kerana tiada seorang pun yang bercakap dengan mereka, termasuk Rasulullah SAW dan yang lainnya. Kemudian Allah SWT mengetahui kejujuran taubat mereka dan penyesalan mereka, maka Allah menurunkan penerimaan taubat mereka dari atas tujuh petala langit dengan firmannya:
وَعَلَى الثَّلَاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّىٰ إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَن لَّا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلَّا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ﴿١١٨﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ
Maksudnya: “Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. (118) Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.”
(Surah al-Taubah:118-119)
Maka Allah menerima taubat mereka kerana kejujuran mereka dalam taubat dan kejujuran mereka dalam memberikan alasan yang mereka nyatakan.[1]
Justeru berdasarkan kisah ini jelaslah kepada kita bahawa Ka’ab bin Malik, salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, adalah antara mereka yang tidak turut serta dalam Perang Tabuk. Walaupun begitu, mereka telah melakukan taubat kepada Allah SWT kerana dosa mereka yang tidak mematuhi arahan Nabi Muhammad SAW untuk keluar berjihad. Taubat mereka telah diterima oleh Allah SWT, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 118 Surah al-Taubat.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://binbaz.org.sa/audios/2122/10-%D9% Diakses pada 17 Julai 2024