Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah melangsungkan perkahwinan pada bulan Ramadhan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya:Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin. Kami kemukakan di sini beberapa nas fadhilat dan kelebihan berkahwin:

Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَزَوَّجُوا الْوَلُودَ الْوَدُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمْ الأُمَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Kahwinilah wanita yang subur dan penyayang, sesungguhnya aku berbangga dengan umat yang ramai pada hari Kiamat.”

Riwayat Abu Dawud (2050), Ahmad (13594), Ibn Hibban (4028). Ibn Hibban di dalam al-Maqasid al-Hasanah (198) menyatakan bahawa hadith ini sahih.

Syeikh Zakariyya al-Ansari berkata: “Penyayang serta kesuburan seorang perempuan dapat diketahui dengan melihat saudara dan kerabatnya yang senasab. (Lihat Asna al-Matalib, 3/197)

Allah SWT berfirman:

وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ

Maksudnya: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya

(Surah al-Nur: 31)

Al-Baghawi di dalam tafsirnya menyebut: kekayaan di sini bermaksud kecukupan. Dikatakan juga, tempat berkumpulnya rezeki iaitu rezeki suami dan rezeki isteri. Saidina Umar berkata: “ Aku pelik dengan orang yang mencari kekayaan selain daripada nikah, sedangkan Allah SWT berfirman, Sekiranya mereka itu merupakan orang faqir, Allah akan memberikan kecukupan kepada mereka dari kelebihan-Nya”. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/410)

Ibn Kathir menyatakan beberapa pandangan di dalam tafsirnya: Ibn Abbas R.Anhuma berkata: ‘’Allah memberikan targhib (anjuran) kepada mereka terhadap pernikahan. Dan dia memerintahkan agar berkahwin kepada lelaki-lelaki yang merdeka ataupun lelaki-lelaki dari kalangan hamba. Serta Dia menjanjikan al-Ghina (kecukupan) ke atas perkara tersebut’’. (Lihat Tafsir al-Quran Al-Azim, 6/51-52)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya: Apabila datang kepada kamu seseorang yang kamu redha akan akhlak dan juga agamanya, maka kahwinkanlah dia (dengan anak-anak perempuan kamu). Sekiranya kamu tidak melakukannya, akan terjadilah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan yang teruk.

Riwayat al-Tirmizi (1084) dan Ibn Majah (1967). Hadith ini dinilai hasan berdasarkan kitab Sahih Ibn Majah (1614)

Syeikh Abd al-Rahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa sebab terjadinya fitnah dan kerosakan kerana jika kamu tidak menikahkan anak perempuanmu kecuali kepada orang yang mempunyai harta atau pangkat sahaja, maka akan kekal ramai perempuan-perempuan yang tidak akan berkahwin dan akan ramai lelaki yang hidup tanpa isteri, dan akhirnya akan banyak terjadi fitnah perzinaan. Aib tersebut juga boleh menimpa para wali pernikahan sehingga menimbulkan fitnah dan kerosakan, iaitu terputusnya nasab, kurangnya kesolehan dan kurangnya sifat iffah (menjauhkan diri daripada perkara yang hina). (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/173)

Dalam menjawab soalan ini, kami katakan bahawa tidak ada larangan dalam syariat mengenai pernikahan pada bulan Ramadhan disebabkan oleh Ramadhan itu sendiri, atau pada bulan-bulan lain. Malah akad nikah dibenarkan untuk dijalankan pada mana-mana bulan mahupun hari dalam setahun, termasuklah pada bulan Ramadhan. Akan tetapi orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan dilarang makan, minum dan melakukan hubungan intim suami isteri bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Jika dia mampu mengawal dirinya dan tidak khuatir akan melakukan sesuatu yang merosakkan puasanya, maka tidak ada halangan ke atasnya untuk berkahwin pada bulan Ramadhan.

Secara zahirnya, orang yang ingin memulakan kehidupan berkeluarga pada bulan Ramadhan biasanya tidak mampu menahan diri daripada isterinya yang baharu sepanjang hari. Oleh itu, terdapat kebimbangan bahawa dia mungkin terjebak dalam perkara yang dilarang dan melanggar kesucian bulan yang mulia ini, sehingga jatuh ke dalam dosa besar, dengan kewajipan menggantikan puasa dan membayar kafarah yang berat, iaitu membebaskan hamba, jika tidak dapat maka dia hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut, dan jika dia tidak mampu melaksanakannya maka dia hendaklah memberi makan enam puluh orang miskin.

Oleh itu, kami juga mengambil kesempatan untuk menasihati mereka yang ingin berkahwin pada bulan Ramadhan, di mana jika tidak ada sebarang masalah untuk menangguhkannya sehingga selepas bulan Ramadhan atau bulan Syawal mahupun bulan-bulan lain, maka sebaiknya dilakukannya. Apatah lagi di sana terdapat sebahagian ulama yang berpendapat, sunat untuk melangsungkan pernikahan pada bulan Syawal berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah R.Anha, di mana beliau berkata:

تَزَوَّجَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَوَّالٍ وَبَنَى بِي فِي شَوَّالٍ فَأَيُّ نِسَاءِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَحْظَى عِنْدَهُ مِنِّي

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengahwiniku pada bulan Syawal dan Rasulullah bersama denganku juga pada Syawal. Isteri Rasulullah mana yang lebih beruntung di sisi Rasulullah SAW daripada ku?

Riwayat Muslim (1423)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini mengandungi dalil yang menunjukkan kepada galakan/sunat berkahwin dan bersama (melakukan hubungan intim suami isteri) pada bulan Syawal kerana terdapat nas yang jelas daripada para ashab kami berkenaan galakannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/209).

Namun, sekiranya tidak dapat lagi untuk menangguhkannya, maka tidak mengapa dan ia tidak menjadi satu kesalahan untuk meneruskan perkahwinan tersebut pada bulan Ramadhan. Akan tetapi penuhilah masa siang hari Ramadhan dengan menyibukkan diri dengan ibadah, membaca al-Quran dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Leave a Reply