Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah membaca asmaul husna ketika solat untuk menambahkan khusyuk?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Al-Asma’ al-Husna (الأَسْمَاءُ الْحُسْنَى) atau “nama-nama yang baik” merupakan himpunan 99 nama-nama Allah SWT, yang kemudiannya telah dikumpulkan oleh para ulama bagi memudahkan masyarakat Islam untuk mengingatinya. Istilah al-Asma’ al-Husna ini sememangnya warid di dalam al-Quran, sebagaimana firman-Nya:

اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ

Maksudnya: “Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagi-Nyalah segala nama yang baik.”

(Surah Taha: 8)

Jumlah nama-nama Allah SWT sebanyak 99 nama ini juga thabit dalam hadith Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا، مِائَةً إِلَّا وَاحِدًا، مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang mengingatinya maka dia akan memasuki Syurga.”

Riwayat al-Bukhari (7392) dan Muslim (2677)

Di Malaysia sendiri, kita telah sekian lama dibesarkan dengan alunan nasyid al-Asma’ al-Husna yang dibawakan oleh kumpulan Hijjaz dahulu. Kami melihat ini sebagai satu usaha yang amat baik bagi memperkenalkan kepada generasi-generasi akan datang akan nama-nama Allah SWT, tuhan sekalian alam.

Sebelum kami menjawab persoalan saudara, suka untuk kami tekankan bahawa solat itu merupakan ibadah yang telah ditetapkan baginya zikir-zikir yang tertentu, dan seseorang itu tidak boleh sesuka hati menokok tambah ucapan lain seperti perbualan dan sebagainya selain dari zikir kepada Allah SWT. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Mu‘awiyah bin al-Hakam al-Sulami, katanya:

إِنَّ هَذِهِ الصَّلَاةَ لَا يَصْلُحُ فِيهَا شَيْءٌ مِنْ كَلَامِ النَّاسِ، إِنَّمَا هُيَ التَّسْبِيحُ وَالتَّكْبِيرُ وَقِرَاءَةُ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu tidak boleh ada padanya apa-apa pun dari percakapan manusia. Sesungguhnya solat itu adalah tasbih, takbir dan membaca al-Quran.”

Riwayat Muslim (537)

Bacaan-bacaan dalam solat, bermula dari bacaan al-Fatihah, zikir ketika, rukuk, iktidal, sujud dan seterusnya, kesemua ini telah diperincikan oleh para fuqaha’ dalam kitab-kitab Solat. Adapun membaca al-Asma’ al-Husna semasa solat, maka kami cuba untuk memberikan pencerahan mengikut konteks-konteks:

  • Membaca salah satu dari al-Asma’ al-Husna sebagai adab untuk mula berdoa:

Kita dianjurkan untuk memperbanyakkan doa di dalam solat, terutamanya semasa dalam keadaan sujud.

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Maksudnya: “Keadaan yang paling dekat bagi seorang hamba dengan tuhannya ketika dia sedang sujud, maka perbanyakkanlah berdoa.”

Riwayat Muslim (482)

Rasulullah SAW juga mengajarkan kepada umat Islam untuk mengakhiri solat dengan berdoa kepada Allah SWT sebelum memberikan salam yang pertama. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, katanya: Kami solat bersama Nabi SAW, kami mengucapkan:

السَّلاَمُ عَلَى اللهِ مِنْ عِبَادِهِ، السَّلاَمُ عَلَى فُلاَنٍ وَفُلاَنٍ

(Salam ke atas Allah daripada para hamba-Nya, salam ke atas Fulan dan Fulan). Lantas Nabi SAW bersabda:

لَا تَقُولُوا السَّلاَمُ عَلَى اللهِ، فَإِنَّ اللهَ هُوَ السَّلَامُ، وَلَكِنْ قُولُوا: “التَّحِيَّاتُ لِلَّـهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ”، فَإِنَّكُمْ إِذَا قُلْتُمْ  ذلِكَ أَصَابَ كُلَّ عَبْدٍ فِي السَّمَاءِ أَوْ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، “أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ”، ثُمَّ يَتَخَيَّرُ مِنَ الدُّعَاءِ أَعْجَبَهُ إِلَيْهِ، فَيَدْعُو

Maksudnya: “Janganlah kamu mengucapkan “Salam ke atas Allah” kerana sesungguhnya Allah itu bersifat al-Salam (Maha Sejahtera). Akan tetapi ucapkanlah:

التَّحِيَّاتُ لِلَّـهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ

(Segala ucapan penghormatan milik Allah, demikian juga amal ibadah dan kebajikan hanya untuk Allah. Semoga kesejahteraan  ke atas engkau wahai Nabi, demikian pula rahmat serta hidayah-Nya. Semoga keselamatan tetap ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh). Sesungguhnya apabila kamu mengucapkannya, maka mencakupi semua hamba Allah yang soleh yang berada di langit, atau yang berada di antara langit dan bumi.

Dan ucapkan:

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

(Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad adalah hamba Allah dan utusan Nya). Setelah itu, dia  boleh memilih doa yang dia sukai, kemudian berdoa dengannya.”

Riwayat al-Bukhari (835) dan Muslim (402)

Doa-doa dan pengharapan kita kepada Allah SWT boleh ditujukan pada tempat-tempat tersebut, dimulai dengan puji-pujian kepada-Nya dengan mana-mana al-Asma’ al-Husna yang bersesuaian. Allah SWT berfirman:

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا

Maksudnya: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya.”

(Surah al-A‘raf: 180)

  • Membaca nasyid al-Asma’ al-Husna dari awal sehingga tamat:

Sekiranya yang dimaksudkan saudara adalah membaca al-Asma’ al-Husna dari awal sehingga tamat sebagaimana yang diketahui dalam nasyid, dan bacaan tersebut bukan dengan tujuan untuk permulaan berdoa, maka kami melihat ia lebih mirip dengan percakapan manusia yang tidak sesuai untuk dibacakan dalam solat.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami kongsikan. Semoga kita semua dapat beramal sesuai dengan ketetapan syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply