Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, Jika terlanjur dengan pasangan belum kahwin dan didapati mengandung 3 bulan lalu pasangan itu berkahwin secara sah. Adakah selepas lahir pasangan itu kena akad nikah sekali lagi? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa pernikahan yang dilakukan ketika wanita sedang hamil anak luar nikah adalah sah di sisi mazhab Syafi‘i. Yang demikian juga adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ

Maksudnya: “Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu (yakni yang diharamkan dalam ayat sebelumnya).”

(Surah al-Nisa’: 24)

Abu Bakar al-Jazairi menyatakan: dihalalkan bagi kamu selain daripada itu, iaitu selain yang diharamkan disebabkan oleh pertalian darah, penyusuan, dan persemendaan, dengan syarat seseorang itu tidak menikahi lebih dari empat (orang wanita). (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/460-461 )

Begitu juga diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:

لاَ يُحَرِّمُ الْحَرَامُ الْحَلاَلَ

Maksudnya: “Perkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal.”

Riwayat Ibn Majah (2015)

Menurut al-Sindi: Hadith ini menunjukkan bahawa perkara haram tidak mengharamkan yang halal. Ini mungkin bermaksud bahawa keharaman persemendaan tidak berlaku dengan cara yang haram, dan mungkin juga bermaksud: bahawa wanita yang telah berzina itu menjadi halal baginya jika dia menikahinya. (Lihat Syarh Sunan Ibn Majah, oleh al-Harari, 11/502 )

Terdapat riwayat bahawa seorang lelaki pernah memiliki anak lelaki. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki seorang anak perempuan, lalu anak kepada lelaki dan anak kepada perempuan itu berzina. Maka Saidina Umar al-Khattab R.A bertanya kepada mereka hal itu, lalu mereka mengakuinya dan Umar R.A menyebat kedua-duanya. Umar R.A bercadang untuk mengahwinkan mereka berdua tetapi tidak dipersetujui oleh anak lelaki tersebut, dan Umar R.A tidak menganggap hal itu menyebabkan ‘iddah. Perkara itu tidak diingkari oleh para sahabat, lalu perkara tersebut jadilah ijmak. Zina itu persetubuhan yang tidak melayakkan nasab keturunan, atau begitu juga hamil akibat zina, justeru ia tidak menghalang sahnya nikah pada waktu mengandung. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/241-242)

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21-22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah. Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya:

  • tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu,
  • tidak dapat pusaka daripadanya,
  • tidak menjadi mahram kepadanya
  • dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.

(Lihat  Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Fatwa Munakahat, hlm. 47)

Justeru berkaitan dengan isu ini, kami katakan bahawa seseorang yang telah berkahwin dengan perempuan hamil anak luar nikah tidak memerlukan untuk melakukan akad yang baru setelah kelahiran anak tersebut. Ini kerana perkahwinan yang dilakukan ketika  hamil itu adalah sah dan tidak terbatal  di sisi syarak. Walaupun begitu anak tersebut tidak boleh dibinkan kepada ayah biologinya kerana tidak sah taraf di sisi syarak menurut pandangan jumhur.

Di sini juga kami menasihati agar sesiapa yang telah terlanjur melakukan zina hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha agar Allah SWT mengampunkan segala dosa yang lalu.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan:74)

Wallahua‘lam

Leave a Reply