Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada melihat satu video, di mana seekor ikan buntal yang masih hidup dituang air panas supaya perutnya nanti akan pecah lalu keluarlah telur-telurnya bagi memastikan kesegarannya. Apakah pendapat ustaz berkenaan hal ini, tidakkah ia termasuk dalam perbuatan menzalimi haiwan? Pautan kepada video berkenaan seperti berikut: https://www.facebook.com/watch/?mibextid=JOZb8W&v=1528333701398130&rdid=TFQrrTeUAnRJxzni  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, berkenaan dengan memakan ikan buntal ini, kami pernah membahaskannya dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #3042: Memakan Ikan Buntal (Pufferfish).[1] Ringkasnya, kami berpendapat bahawa ikan buntal adalah haram dimakan disebabkan oleh toksin atau racun yang terkandung di dalam badannya, yang memudaratkan serta membahayakan pemakannya — iaitu manusia. Perkara ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Namun, jika toksin atau racun dalam ikan buntal itu dapat dibuang atau dihilangkan, maka hukum memakannya kembali kepada hukum asal hidupan air iaitu harus dimakan seperti ikan-ikan buntal atau fugu yang dikendalikan dan disediakan oleh chef-chef yang mempunyai lesen chef fugu dan seumpamanya.

Keduanya, pada asasnya, sebagai umat Islam kita dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk, termasuklah haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

(Surah al-Nahl: 90)

Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/447)

Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

(Surah al-Taubah: 128)

Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

Maksudnya:Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).

(Surah al-Ma’idah: 13)

Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123)

Bahkan ketika hendak menyembelih haiwan pun kita disuruh untuk berbuat baik kepada haiwan itu dengan mematikannya dengan cara yang terbaik iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam dan tidak memperlihatkannya ketika disembelih kepada haiwan yang lain. Rasulullah SAW ada bersabda mengenai perkara ini:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Hadith ini secara jelas menunjukkan kepada kewajipan berlaku ihsan kepada setiap makhluk, termasuklah juga kepada haiwan kerana pada saat ia hendak disembelih pun, kita dituntut untuk berlaku ihsan kepada haiwan tersebut. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127)

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, ada disebutkan di dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa seseorang yang mendapatkan ikan yang masih hidup, maka dia tidak boleh terus untuk memakannya — yakni secara hidup-hidup — sehinggalah ikan itu mati atau dimatikan terlebih dahulu. Begitu juga makruh hukumnya memanggang ikan tersebut hidup-hidup kerana perbuatan itu telah menyeksanya tanpa keperluan. Hal ini kerana ikan ialah hidupan yang cepat mati, maka boleh ditunggu sehingga ia mati terlebih dahulu — sebelum dimasak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/131)

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa sekiranya ditelan ikan yang masih hidup atau ikan yang masih hidup itu dipotong separuh daripadanya, kemudian dimakan. Maka dalam hal ini, terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih hukumnya adalah makruh dan bukannya haram. Manakala pendapat yang kedua ialah haram dan ini merupakan pendapat al-Ghazali. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/73)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa perbuatan menjirus air panas ke atas ikan yang masih hidup dihukumkan sebagai makruh. Ini kerana ia dilihat seperti menyeksa dan menyakitinya, sedangkan kita (orang Islam) dituntut supaya bersikap ihsan terhadap haiwan. Maka, termasuklah dalam perbuatan ihsan itu, tidak menyeksanya dengan cara menjirus air panas ke atasnya atau memasaknya ketika ia masih hidup. Apatah lagi, ikan dan hidupan air lain sangat mudah untuk dimatikan kerana kebiasaannya haiwan yang tinggal di air tidak dapat hidup lama di atas darat (setelah berpisah dengan air).

Begitu juga, perbuatan menjirus air panas atau memasak haiwan ketika ia masih lagi hidup langsung tidak mencerminkan akhlak sebagai seorang Islam yang dekat dengan sifat rahmat — yakni bersikap belas kasihan dan berkasih sayang — sesama makhluk sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam itu sendiri. Hal ini kerana perbuatan menjirus air panas atau memasaknya secara hidup-hidup itu merupakan sejuzuk daripada perbuatan menyeksa haiwan. Kami akhiri dengan hadith ini sebagai iktibar buat kita semua, di mana Baginda SAW ada bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Nota Hujung:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/3042-memakan-ikan-buntal-pufferfish/. Diakses pada 24 Julai 2024.

Leave a Reply