Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sujud sahwi perlu disertai dengan bacaan tasyahud? Mohon pencerahan. Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pengertian sahwi dari segi bahasa ialah lupa atau lalai akan sesuatu. Manakala yang dimaksudkan dengan sahwi di sini ialah kecacatan solat yang dilakukan seseorang ketika mendirikan solat sama ada disengajakan atau terlupa. Oleh itu, sujud ini yang dilakukan di penghujung solat akan menjadi penutup kepada kecacatan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/171)
Bagi menjawab persoalan di atas, sujud sahwi tidak perlu disertai dengan bacaan tasyahud. Imam al-Bukhari ada menyebutkan dalam kitabnya, bawah bab ‘Mereka yang Tidak Bertasyahud pada Dua Sujud Sahwi’ bahawa:
وَسَلَّمَ أَنَسٌ، وَالحَسَنُ وَلَمْ يَتَشَهَّدَا وَقَالَ قَتَادَةُ: لاَ يَتَشَهَّدُ
Maksudnya: “Anas dan al-Hasan memberi salam tanpa membaca tasyahud. Begitu juga Qatadah mengatakan: ‘Tidak perlu membaca tasyahud.’”
Kemudian, beliau membawakan hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصَرَفَ مِنَ اثْنَتَيْنِ، فَقَالَ لَهُ ذُو اليَدَيْنِ: أَقَصُرَتِ الصَّلاَةُ، أَمْ نَسِيتَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَصَدَقَ ذُو اليَدَيْنِ؟» فَقَالَ النَّاسُ: نَعَمْ، فَقَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى اثْنَتَيْنِ أُخْرَيَيْنِ، ثُمَّ سَلَّمَ، ثُمَّ كَبَّرَ، فَسَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ أَوْ أَطْوَلَ، ثُمَّ رَفَعَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menyelesaikan solatnya setelah dua rakaat. Maka Zu al-Yadain berkata kepadanya: ‘Adakah solat sudah dipendekkan atau tuan lupa, wahai Rasulullah SAW?’ Lalu Rasulullah SAW bertanya: ‘Adakah benar apa yang dikatakan oleh Zu al-Yadain?’ Maka orang ramai berkata: ‘Ya, benar.’ Kemudian Rasulullah SAW berdiri lalu solat dua rakaat lagi kemudian memberi salam. Selanjutnya Baginda mengangkat takbir, lalu sujud seperti sujudnya (ketika solat) atau lebih lama. Kemudian Baginda bangkit’.”
Riwayat al-Bukhari (1228)
Begitu juga Imam al-Bukhari ada menyebutkan, Sulaiman bin Harb menyampaikan kepada kami, Hammad menyampaikan kepada kami, daripada Salamah bin ‘Alqamah, dia berkata: Aku berkata kepada Muhammad: “Adakah pada dua sujud sahwi terdapat tasyahhud?” Beliau berkata: “Tiada disebutkan dalam hadith Abu Hurairah R.A.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/68)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H