#655 Usia Ahli Syurga

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Berapakah usia penghuni syurga apabila mereka berada dalam syurga? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkara seperti ini termasuk dalam perkara ghaibiyyat yang kita dengar daripada al-Quran dan al-Sunnah. Perkara ini pernah dijawab oleh Rasulullah SAW sebagaimana riwayat daripada Mu‘az bin Jabal bahawa Baginda bersabda:

يدخلُ أهلُ الجنَّةِ الجنَّةَ جُرْدًا مُرْدًا مُكحَّلِينَ أبناءَ ثلاثينَ أو ثلاثٍ وثلاثينَ سنةً

Maksudnya:Ahli syurga akan masuk ke dalam syurga dalam keadaan Jurdan (yang tidak berbulu di badan), Murdan (yang tidak berjanggut), hitam kelopak matanya (seperti bercelak), muda remaja berusia 30 atau 33 tahun.”

Riwayat al-Tirmizi (2545) dan Ahmad (22106)

Ahli syurga pasti akan masuk syurga dalam keadaan muda dan remaja. Mereka ini seolah-olah bercelak dan usia mereka ialah sekitar 33 tahun. Hal ini adalah seperti mana yang disebutkan oleh Dr. Maher Ahmad Sufi dalam Jinan al-Khulq bahawa ahli syurga usia mereka adalah sekitar 33 tahun. Umur ini dipilih oleh Allah bagi para hamba-Nya yang beriman apabila mereka memasuki syurga kerana umur seperti ini manusia berada dalam kesempurnaan kekuatan badan, semangat, kekuatan akal, kekuatan pemikiran, dan kekuatan daya tahan. Inilah yang dinyatakan dan disebut bahawa usia ini merupakan usia puncak bagi kehidupan umat Muhammad SAW yang dinyatakan dalam hadith. (Lihat Jinan al-Khulq, hlm. 224-225)

Selain itu, Ibn Qayyim al-Jauziyyah juga ada menyebutkan bahawa hikmah diberi usia 33 tahun adalah sangat jelas kerana usia tersebut merupakan puncak dan keadaan paling sempurna dalam merasakan kenikmatan. Hal ini disebabkan oleh pada usia tersebut kekuatan dan alat-alat untuk merasai kenikmatan adalah paling sempurna. Dengan gabungan dua perkara ini, kesempurnaan kenikmatan dan kekuatan dalam menikmatinya dapat diperolehi. (Lihat Hadi al-Arwah, hlm. 154)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam

Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *