Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah keutamaan di antara solat tahiyatul masjid dengan solat qobliyah sekiranya pada masa kita masuk ke dalam masjid dan azan dilaungkan. Bolehkah kita menggabungkan kedua-dua solat tersebut ? Dato Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat Tahiyyatul Masjid

Solat Tahiyatul Masjid ialah solat sunat dua rakaat yang dilakukan ketika memasuki masjid sebagai memuliakan masjid. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/215)

Justeru, yang dimaksudkan dengan tahiyatul masjid ialah solat yang dilakukan untuk menghormati masjid. Ia dilakukan apabila seseorang memasuki masjid dan sebelum ia duduk. Daripada Abu Qatadah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

Maksudnya: “Apabila seseorang di kalangan kamu memasuki masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk.”

Riwayat al-Bukhari (444), Muslim (714), Abu Dawud (467), Ibn Majah (1013) dan al-Tirmizi (316)

Imam al-San’ani di dalam penjelasannya terhadap hadith ini, beliau menyebut bahawa hadith ini merupakan satu larangan untuk duduk ketika masuk ke dalam masjid sebelum menunaikan solat dua rakaat. (Lihat Subul Al-Salam Syarh Bulugh Al-Maram Min Adillah Al-Ahkam, 2/62)

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa para ulama sepakat bahawa solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/52)

Solat Rawatib dan Kedudukannya

Solat sunat rawatib adalah solat-solat sunat yang didirikan sebelum ataupun sesudah solat fardhu lima waktu. Hikmah pensyariatannya ialah bagi menyempurnakan segala kekurangan sewaktu mengerjakan solat fardhu, seperti tidak khusyuk atau tidak mentadabbur ayat-ayat yang dibaca. (Lihat al-Iqna’, 1/115; Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 1/413-414).

Berdasarkan takrifan yang disebutkan di atas, solat rawatib adalah solat yang terikat dengan solat fardhu sama ada ia dilakukan sebelum solat fardhu iaitu yang dinamakan sebagai solat qabliyyah atau dilakukan setelah solat fardhu iaitu yang disebut sebagai solat ba’diyah.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصَّلاَةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلاَةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Seafdhal-afdhal solat selepas solat fardhu adalah solat pada pertengahan malam.”

Riwayat Muslim (1163)

Imam Ibn Rajab al-Hanbali apabila mensyarahkan hadith di atas berkata: Iaitu maksudnya (sebaik-baik solat) selepas solat fardhu dan yang mengikutinya dari solat solat sunat rawatib. Sesungguhnya solat rawatib sebelum dan selepas solat fardhu adalah lebih afdhal dari qiyamullail di sisi jumhur para ulama kerana keterikatannya dengan solat solat fardhu. (Lihat Lata’if al Ma’arif, 1/34).

Solat rawatib sebelum solat fardhu dikenali sebagai solat sunat qabliyah, manakala solat rawatib yang setelah solat fardhu pula dikenali sebagai solat ba’diyah. Solat sunat rawatib ini pula terbahagi kepada mu’akkad (ditekankan) dan ghairu mu’akkad (tidak ditekankan.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kami berpendapat bahawa dalam keadaan di mana seseorang memasuki masjid pada masa azan sedang dikumandangkan, maka dalam situasi ini, niat solat sunat rawatib dan tahiyatul masjid boleh digabungkan. Ini kerana solat sunat rawatib mengambil alih tempat solat tahiyatul masjid, oleh itu, disyariatkan untuk menggabungkan kedua-dua niat tersebut. Ini bermakna bagi sesiapa yang memasuki masjid dan mengerjakan solat sunat rawatib, dia tidak perlu lagi mengerjakan solat tahiyatul masjid. Namun, jika dia mempunyai masa yang cukup sebelum mengerjakan solat fardhu, maka adalah lebih baik untuk mengerjakan kedua-dua solat tersebut secara berasingan kerana ia lebih baik dari segi ganjaran amalannya.

Dalam isu ini Syeikh Abd Rahman al-Sa’di menyatakan bahawa: Antara nikmat Allah dan kemudahan-Nya adalah bahawa satu amalan boleh mengambil alih beberapa amalan. Jika seseorang masuk ke dalam masjid pada waktu solat sunat Rawatib dan menunaikan dua rakaat, dengan niat untuk solat sunat Rawatib dan solat Tahiyatul Masjid, dia akan mendapat ganjaran untuk kedua-duanya. (Lihat al-Qawaid wa al-Usul al-Jami‘ah, hlm.168)

Disebutkan dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/325) bahawa: Para ulama kami berkata, jika seseorang memulakan solat dengan niat untuk solat fardhu dan solat Tahiyatul Masjid, solatnya sah dan dia akan mendapat ganjaran kedua-duanya iaitu fardhu dan Tahiyatul Masjid, kerana Tahiyatul Masjid boleh diperoleh melalui solat fardhu, jadi tidak mengapa menyebut niatnya dengan jelas mengikut keadaan.

Dapat difahami melalui pandangan ini seseorang boleh mengerjakan solat fardhu dan diniatkan sekali solat Tahiyatul Masjid, maka memadai baginya Solat Tahiyatul Masjid tersebut dan dia mendapat kedua-dua ganjaran solat tersebut. Ini bermakna, niat Solat Tahiyatul Masjid boleh digabungkan dengan solat Fardhu, begitu juga dengan solat-solat sunat yang lain seperti solat sunat rawatib.

Justeru, apabila seseorang memasuki masjid dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengerjakan solat Tahiyatul Masjid, maka dia boleh menggabungkan niat antara solat sunat Tahiyatul Masjid dan solat sunat Rawatib. Namun, jika ada masa yang mencukupi, maka adalah lebih baik untuk melaksanakannya secara berasingan bagi mendapatkan ganjaran pahala yang lebih besar.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

 

Wallahu a’lam.

Leave a Reply