Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah terdapat larangan berjalan dengan hanya sebelah selipar Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Surah al-Ahzab: 21)
Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”
Riwayat Ahmad (8952), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.
Islam dikenali sebagai agama yang sempurna kerana ia membimbing manusia dalam segala aspek kehidupan, dari yang paling kecil hinggalah kepada yang terbesar. Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga digambarkan sebagai individu yang luar biasa, kerana Baginda telah menyampaikan wahyu-wahyu Allah dan ajaran agama kepada umatnya dengan sempurna.
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa seorang muslim itu adalah dilarang menggunakan sebelah selipar ketika berjalan kaki dan larangan tersebut membawa kepada makruh. Ini kerana ia menyelisihi dan mencemarkan adab kesopanan seorang muslim bahkan sebahagian ulama berpandangan yang demikian merupakan cara syaitan berjalan .
Selain itu juga, memakai satu selipar sahaja boleh mendedahkan sebelah kaki lagi kepada bahaya yang mungkin menimpa baik disebabkan oleh duri, panas atau faktor-faktor yang lain. Oleh yang demikian, pentingnya memakai selipar pada kedua-dua belah kaki bagi melindunginya daripada sebarang bahaya.
Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا يَمْشِ أحَدُكُمْ في نَعْلٍ واحِدَةٍ، لِيُنْعِلْهُما جَمِيعًا، أوْ لِيَخْلَعْهُما جَمِيعًا
Maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kamu berjalan dengan hanya satu sandal, sama ada pakailah kedua-duanya, atau tanggalkan kedua-duanya.”
Riwayat al-Bukhari (5855) dan Muslim (2097)
Hadith ini menunjukkan bahawa seorang Muslim dilarang berjalan dengan hanya satu sandal atau khuf. Sebaliknya, dia harus memakai kedua-duanya atau menanggalkan kedua-duanya. Walaupun larangan ini secara zahirnya menunjukkan pengharaman, namun menurut pandangan kebanyakan ulama, ia dikategorikan sebagai makruh tanzih, dan ada yang menyatakan bahawa terdapat ijmak (kesepakatan) dalam hal ini. (Lihat Minhah al- ‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/62)
Para ulama berselisih pendapat mengenai sebab larangan ini. Ada yang mengatakan bahawa larangan tersebut kerana sandal dicipta untuk melindungi kaki dari benda-benda di tanah seperti duri, batu, atau panas. Jika hanya satu kaki yang memakai sandal, orang yang berjalan perlu berhati-hati dengan satu kaki sementara kaki yang lain tidak. Ia akan mengganggu kestabilan cara berjalan dan berpotensi menyebabkan terjatuh. Ada juga yang berpendapat bahawa larangan ini berkaitan dengan keadilan antara anggota badan. Selain itu, ada yang mengatakan bahawa larangan ini untuk menghindari perhatian yang tidak diingini dan supaya tidak dilihat sebagai tidak waras atau lemah pemikiran. Ada juga yang mengatakan bahawa ini adalah cara berjalan syaitan. (Lihat Minhah al- ‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/63)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa: Makruh berjalan dengan hanya satu sandal atau khuf atau pelapik, tanpa alasan yang dibenarkan. Para ulama menjelaskan bahawa sebab larangan ini adalah kerana ia dianggap sebagai penyimpangan dan tidak sesuai dengan adab serta mencemarkan kesopanan. Selain itu, apabila memakai satu sandal, ia menyebabkan ketidakseimbangan, menjadikannya sukar untuk berjalan, dan mungkin menyebabkan terjatuh. Jika tali sandal atau seumpamanya terputus, hendaklah menanggalkan kedua-duanya dan tidak berjalan dengan hanya satu sandal sehingga ia diperbaiki dan dipakai kembali. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘Ala Muslim, 14/75)
Justeru berdasarkan hadith ini, jelaslah kepada kita bahawa syarak mengajarkan adab dan kesopanan dalam berpakai, khususnya dalam cara memakai selipar atau khuf. Ia menunjukkan bahawa kita harus menjaga penampilan dan tidak melakukan perkara yang dianggap tidak wajar selain mentaati perintah Rasulullah SAW. Selain itu juga, syarak amat mementingkan seseorang itu melindungi diri dari segala yang boleh membawa kemudaratan bahaya pada diri.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam