Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Assalamualaikum tuan guru, apakah cara yang terbaik untuk saya selesaikan masalah sejadah dekat masjid 4 helai yang terkena air kencing arwah ayah saya, dan saya buat balik untuk tujuan mencucinya, tapi dari tahun 2017 hingga hari ni saya tidak pulangkan balik sejadah berkenaan kerana rasa tidak tergamak nak hantar semula sebab bekas air kencing, tapi niat untuk beli baru. Mohon diberi pendapat dan penjelasan hukum.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas. Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44; Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 35)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan air kencing orang dewasa termasuk dalam najis Mutawassitah (sederhana). Ia merupakan najis yang pertengahan iaitu najis selain anjing dan babi dan kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan dan minum kecuali susu ibu. Najis Mutawasittah ini terbahagi kepada dua:
Ainiyyah: Najis yang padanya warna, bau dan rasa. Maka najis seperti ini perlulah dihilangkan warna, bau dan rasanya.
Hukmiyyah: Najis yang padanya tidak terdapat warna, bau dan rasa. Cukup sekadar melalukan air ke atasnya.
Maka, dalam isu anda, cara membersihkan air kencing adalah dengan melalukan air ke atasnya dan menghilangkan ain najis dan sifat-sifatnya (bau, warna dan rasa). Setelah itu, ia sudah dihukum suci dan perlu dipulangkan ke masjid 4 helai sejadah tersebut kerana ia telah bersih dan suci dari najis. Hal ini kerana barang waqaf tidak boleh digunakan untuk di rumah.
Namun, sekiranya anda ingin menggantikan 4 helai sejadah itu kepada yang baru, maka dibolehkan dengan niat sebagai ganti kepada 4 helai sejadah yang telah diwaqafkan.
Semoga dengan penjelasan ini memberi kita kefahaman dalam memahami agama Islam dengan lebih baik. Amin.
Wallahualam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”