Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan daripada Persatuan Pesakit Kanak-Kanak Jarang Jumpa. Persatuan Pesakit Kanak-Kanak Jarang Jumpa Malaysia ada buat satu crowd funding untuk tujuan rawatan perubatan 13 kanak-kanak pesakit Spinal Muscle arthopy yang kritikal. Jumlah yang diperlukan untuk 13 kanak-kanak ini bernilai 1 Juta. Akan tetapi persatuan ini hanya dapat kumpulkan sebanyak 80k sahaja, sedangkan harga setiap rawatan perubatan bernilai 70k. Jadi hanya seorang sahaja kanak-kanak berjaya mendapatkan rawatan perubatan tersebut. Soalannya, ada baki lagi 10k, lebihan itu tidak cukup untuk kanak-kanak seterusnya. Jadi, bolehkah Persatuan Pesakit Kanak-Kanak Jarang Jumpa hendak bagi 10k pada Hospital PPUM untuk keperluan pesakit kanak-kanak kritikal di sana? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa,

(Surah al-Ma’idah: 3)

Al-Tabari menyatakan: Sesungguhnya wahai orang-orang yang beriman, hendaklah tolong-menolong satu sama lain dalam kebajikan.  Kebajikan itu ialah melaksanakan apa yang diperintahkan Allah untuk dilakukan dan ‘taqwa’, pula ialah menjauhi apa yang diperintahkan Allah untuk dijauhi dan meninggalkan perbuatan dosa. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/490)

Dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, duit-duit sumbangan yang diberikan oleh seseorang itu hendaklah diuruskan atau disalurkan kepada sudut-sudut yang telah ditetapkan atau diniatkan oleh orang yang menderma.

Sebagai contohnya, apabila seorang yang menyumbangkan wang dermanya kepada tabung-tabung khas untuk tujuan rawatan pesakit Spinal Muscle arthopy yang kritikal, maka duit tersebut hanyalah digunakan kepada tujuan tersebut sahaja dan bukannya kepada tujuan-tujuan lain yang tidak berkaitan dengan niat penyumbang (penderma).

Berkenaan hal ini, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari ada menyebutkan, sekiranya seseorang itu memberikan beberapa dirham kepadanya dan berkata: “Belilah buat diri kamu serban dengan wang ini atau bawalah serban ini ke dalam tempat mandi,” atau (ucapan) seumpamanya, maka menjadi tuntutan kepada orang yang diberikan wang itu untuk melakukan perkara tersebut bagi meraikan tujuan individu yang menyumbangkan wang tersebut kepadanya.

Namun, jika seseorang (yang memberi duit) bertujuan untuk (orang yang diberikan wang tersebut) menutup kepalanya dengan serban dan membersihkannya, dengan cara membawanya masuk ke dalam bilik air, berdasarkan apa yang dia lihat daripada orang tersebut dari sudut kepala terdedah (tidak tertutup) dan juga kekusutan serta kotoran yang terdapat pada badan orang tersebut. Sekiranya tidak, iaitu jika dia tidak menyertakan tujuannya (yakni dia hanya memaksudkan sebagai niat sedekah umum), seperti dia menyebut (gunakanlah wang) dalam bentuk penuh keluasan yang mengikut adat kebiasaan, maka tidak ditentukan wang tersebut untuk diguna pada perkara (yang ditetapkan itu). Bahkan dia (yang menerima wang) memilikinya atau boleh dia menggunakan wang tersebut sebagaimana yang dia kehendaki. (Lihat Asna al-Matalib, 2/479-480)

Oleh yang demikian, jika dikaitkan dengan isu di atas, dapatlah difahami bahawa sekiranya penderma yang memberikan sumbangan wang bagi crowd funding untuk tujuan rawatan perubatan 13 orang kanak-kanak pesakit Spinal Muscle arthopy yang kritikal, maka hendaklah duit tersebut hanya digunakan sebagaimana yang dinyatakan tujuannya dan bukannya kepada kegunaan-kegunaan yang lain.

Bahkan di sana terdapat riwayat daripada ‘Amr bin ‘Auf al-Muzani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

Maksudnya: “Dan kaum muslimin itu harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati, kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram.

Riwayat al-Tirmizi (1352) dan Ibn Majah (2353)

Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadith ini, berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 10/26).

Namun sekiranya crowd funding itu tidaklah mengkhususkan hanya untuk rawatan pesakit kritikal tertentu, sebaliknya diumumkan kepada pesakit-pesakit kritikal, maka tidak menjadi masalah untuk menggunakannya bagi menampung kos rawatan perubatan kepada siapa sahaja pesakit kritikal yang memerlukannya selama mana ia masih berada di dalam makna atau ruang lingkup tujuan kutipan duit sumbangan tersebut.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa baki 10k lebihan daripada kutipan sumbangan untuk tujuan rawatan perubatan 13 orang kanak-kanak pesakit Spinal Muscle arthopy yang kritikal, tidak boleh digunakan untuk tujuan lain selain daripada tujuannya yang asal, meskipun ia adalah untuk kegunaan yang hampir sama — iaitu keperluan pesakit kanak-kanak kritikal. Namun, jika kutipan derma itu tujuannya diumumkan untuk merawat pesakit kanak-kanak kritikal tanpa mengkhususkan kepada sakit-sakit yang tertentu mahupun pesakit-pesakit tertentu, maka tidak menjadi masalah bagi memindahkannya atau menggunakannya kepada siapa sahaja pesakit kritikal yang memerlukannya selama mana ia masih berada di dalam makna atau ruang lingkup tujuan kutipan duit sumbangan tersebut.

Kami cadangkan sekiranya benar, lebihan 10k tersebut sangat diperlukan untuk digunakan kepada pesakit kanak-kanak kritikal yang lain, maka pihak yang menganjurkan “crowd funding” tersebut iaitu Persatuan Pesakit Kanak-Kanak Jarang Jumpa Malaysia boleh memaklumkan kepada pihak penderma akan perkara tersebut bagi mendapatkan persetujuan mereka. Jika mereka bersetuju, maka bolehlah untuk memberikannya kepada Hospital PPUM untuk keperluan pesakit kanak-kanak kritikal di sana.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” 

Leave a Reply