Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah dibenarkan bagi bapa saya memberi saya sejumlah wang untuk membayar hutang yang tertanggung kepada saya supaya saya tidak disaman oleh pemiutang, dan adakah bapa saya berdosa kerana tidak memberi jumlah yang sama kepada adik-beradik saya yang lain atas dasar keadilan antara anak-anak? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.”

(Surah al-Nahl: 90)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 447)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”

Riwayat Ibn Majah (2413), al-Tirmizi (1079), Ahmad (9677) dan al-Baihaqi (6891). Hadith ini dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (1079)

Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadis ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa pada asalnya seorang bapa hendaklah berlaku adil dalam pemberian kepada anak-anak dan tidak membeza-bezakan mereka. Ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

اتَّقٌوا اللهَ، وَاعْدِلوُا فِي أَوْلَادِكُمْ

Maksudnya: “Bertakwalah kalian kepada Allah dan berbuat adillah pada anak-anak kalian.”

Riwayat Bukhari(2587) dan Muslim (1623)

Nas-nas hadith di atas menunjukkan pentingnya ibu bapa untuk berlaku adil terhadap anak-anak, sama ada dalam memberi perhatian atau memberikan sesuatu kepada mereka. Sekiranya tidak berlaku adil maka ia dihukumkan sebagai makruh disisi al-Syafie dan haram disisi Hanbali. (Lihat Taisir Jami’ al-Soghir,1/27)

Namun, dalam sesetengah keadaan ibu atau bapa berhak untuk membantu anaknya yang berada dalam kesusahan demi untuk kemaslahatan mereka seperti melangsaikan hutang mereka dan sebagainya. Yang demikian juga adalah termasuk dalam bentuk melepaskan seorang mukmin dari kesusahan.Hal ini juga bersesuain dengan firman Allah SWT:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Al-Tabari menyatakan: Sesungguhnya wahai orang-orang yang beriman, hendaklah tolong-menolong satu sama lain dalam kebajikan.  Kebajikan itu ialah melaksanakan apa yang diperintahkan Allah untuk dilakukan dan ‘taqwa’, pula ialah menjauhi apa yang diperintahkan Allah untuk dijauhi dan meninggalkan perbuatan dosa. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/490)

Begitu juga sabda Rasulullah SAW:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآْخِرَةِ. . وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan kesusahan mukmin daripada kesusahan dunia, Allah SWT akan melepaskannya daripada kesusahan pada Hari Akhirat. Sesiapa yang memudahkan orang yang susah, Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup aib seseorang muslim, Allah SWT akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah SWT akan sentiasa menolong hamba-Nya selagimana dia menolong saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699), Abu Dawud (1455), al-Tirmizi (2954), Ibn Majah (225) dan Ahmad (7427).

Hadith ini menunjukkan keutamaan seseorang yang menghilangkan kesusahan dan musibah dari seorang saudara Muslim, yang menyebabkan kesedihan, kegelisahan, dan kesempitan. Menghilangkan kesusahan itu mungkin dengan memberinya harta jika kesusahannya disebabkan oleh keperluan seperti hutang yang perlu dibayar atau perbelanjaan yang sukar dipenuhi, atau dengan menggunakan pengaruh untuk memohon bantuan dari orang lain. Selain itu, menghilangkan kesusahan itu mungkin dengan berusaha untuk menghapuskan kezaliman yang menimpanya, dengan cara mengangkat atau meringankan kezaliman tersebut. Ini adalah satu perkara yang luas, dan garis panduannya adalah menghilangkan atau meringankan segala kesusahan yang menimpa seseorang hamba. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/127)

Dalam isu ini juga, Dairah al-Ifta al- ‘Am menyatakan: Maka jika seorang anak mempunyai hutang dan tidak mampu membayarnya, serta memerlukan bantuan agar tidak ditangkap; ini membolehkan seorang bapa memberikan anak tersebut wang untuk melangsaikan hutangnya, dan tidak berdosa insyaallah. Kami menasihatkan agar dijelaskan hukum syarak ini kepada anak-anak yang lain supaya mereka tidak merasa tersinggung kerana perkara tersebut.[1]

Justeru, syarak membenarkan seorang bapa untuk mengutamakan anak yang memerlukan bantuan kewangan, seperti melunaskan hutangnya, dengan tujuan menjaga kemaslahatan anak tersebut dan mengelakkan daripada ditahan. Walau bagaimanapun, perkara ini hendaklah dijelaskan kepada anak-anak yang lain bagi mengelakkan berlakunya perselisihan dalam keluarga.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahua‘lam.

 

Nota Hujung:

[1] https://www.aliftaa.jo/research-fatwas/3892/%D9%8A%D8% Diakses pada 7 Ogos 2024

Leave a Reply