Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ingin mengetahui cara memandikan mayat yang paling baik atau sempurna? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ
Maksudnya: “Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.”
(Surah Taha: 55)
Kami mulakan dengan riwayat yang menceritakan bahawa ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:
اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ
Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain.”
Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (1206)
Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini menunjukkan kepada anjuran atau galakkan (sunat) untuk menyegerakan pengurusan jenazah, sekiranya kematiannya tidak berlaku secara mengejut. Ini kerana perlu dipastikan akan kematiannya terlebih dahulu atau dilewatkan disebabkan oleh maslahah supaya ramai orang melakukan solat jenazah untuknya atau kerana menunggu kehadiran kaum kerabat dan sebagainya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/163).
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa memandikan mayat adalah fardhu kifayah bagi umat Islam, dan orang yang paling berhak melakukannya adalah mereka yang paling rapat dengan si mati, iaitu waris dan saudara-maranya. Lelaki lebih utama memandikan lelaki, dan wanita lebih utama memandikan wanita. Namun, mereka juga boleh mengupah orang lain untuk melaksanakan kewajipan ini, dan dibenarkan untuk menerima upah khususnya jika meluangkan masa untuk pekerjaan ini.
Dalam Mughni al-Muhtaj (2/7-13) dinyatakan bahawa memandikan mayat, mengkafankan, mendirikan solat jenazah ke atasnya, membawanya, dan mengebumikannya adalah fardhu kifayah berdasarkan ijma‘ sebagaimana yang dinukilkan dalam al-Raudhah dan berdasarkan perintah dalam hadith-hadith sahih yang bukan berkaitan dengan pengebumian. Begitu juga lelaki lebih utama memandikan lelaki, jika ada daripada kalangan saudara-maranya yang layak untuk memandikannya, mereka yang paling berhak adalah mereka yang paling berhak untuk mensolatkannya iaitu kaum lelaki daripada kalangan ‘Asabah yang mempunyai hubungan nasab, kemudian barulah wala’, kemudian barulah isteri mengikut pendapat yang paling sahih. Orang yang lebih faqih adalah lebih utama daripada yang lebih tua di sini (urusan memandikan), begitu juga dalam hal pengebumian. Adapun wanita lebih utama memandikan wanita, jika ada daripada kalangan saudara-maranya yang layak untuk memandikannya, mereka adalah wanita daripada kalangan keluarga yang mahram seperti anak perempuan atau anak saudara perempuan, kerana mereka lebih mengasihi berbanding orang lain.
Had minimum/paling kurang untuk memandikan mayat yang memenuhi kewajipan dalam mazhab al-Syafi‘i adalah dengan meratakan seluruh badan si mati dengan air, dan tidak disyaratkan niat untuk kesahan mandi mayat.
Namun, cara/sifat yang lengkap dan sempurna untuk memandikan mayat adalah seperti berikut:
- Letakkan si mati di tempat mandian dalam keadaan terlentang dan tutup seluruh badannya dengan kain nipis. Tempat mandian harus membolehkan air disalirkan dengan baik.
- Mandi hendaklah dilakukan di tempat tertutup dan jauh daripada pandangan orang ramai, serta hanya dihadiri oleh orang yang memandikan dan pembantunya.
- Disyorkan orang yang memandikan adalah orang yang amanah; jika dia melihat sesuatu yang baik, dia harus menceritakannya, dan jika dia melihat sesuatu yang tidak baik, dia mesti menutupinya.
- Orang yang memandikan tidak boleh melihat aurat si mati, dan tidak boleh melihat bahagian lain dari tubuhnya kecuali jika perlu (ada keperluan), sebagaimana halnya juga dia tidak boleh menyentuh aurat mughallazah si mati tanpa sebarang lapik.
- Digalakkan (sunat) menggunakan air sejuk untuk memandikan jenazah kecuali jika adanya keperluan bagi menggunakan air panas untuk menghilangkan kotoran yang tidak boleh dihilangkan dengan air sejuk.
- Orang yang memandikan tidak boleh memotong/menghilangkan apa-apa daripada rambut atau kuku si mati. Orang yang memandikan juga hendaklah membalut tangan kirinya dengan kain atau memakai sesuatu yang dapat menutupinya seperti memakai sarung tangan dan seumpamanya, kemudian dia menyandarkan mayat itu dengan meletakkan lututnya (orang yang memandikan) di belakang leher mayat sambil tangan kanannya memegang bahu si mati. Dia mestilah berjaga-jaga dan berhati-hati agar kepala mayat tidak senget dengan meletakkan ibu jarinya di lekukan tengkuknya. Kemudian dia menggosok perut mayat dengan tangan kirinya untuk mengeluarkan sisa-sisa najis sekiranya ada. Sebaik-baiknya gunakan minyak wangi dalam kes ini untuk menutupi bau.
- Kembali meletakkan si mati dalam keadaan terlentang dan membersihkan bahagian kemaluannya (qubul dan dubur) dengan mencurahkan air ke atas tempat tersebut bagi menghilangkan najis yang keluar dari mayat.
- Menghilangkan kotoran dari kedua mata, hidung, mulut, dan kuku si mati.
- Orang yang memandikan si mati hendaklah mengambilkan wuduk untuknya dengan cara wuduk yang sempurna lagi lengkap termasuklah perkara-perkara sunat (wuduk) dan juga zikir-zikirnya, dan dia mesti berniat ketika melakukannya. Selain itu, dia jugalah hendaklah berjaga-jaga supaya tidak mencurahkan air ke dalam mulut, telinga, atau hidung, tetapi bersihkan mulutnya dan menggosok giginya dengan jari telunjuk kiri.
- Membasuh kepala si mati dengan air dan sabun sebanyak tiga kali, kemudian membasuh tangan bermula dari hujung jari ke bahu, dan kemudian membasuh bahagian kanan dari tubuh si mati hingga ke jari kaki, diikuti pula dengan bahagian kiri.
- Meletakkan kaki kanan mayat di atas kaki kirinya, kemudian memusingkan mayat ke sebelah kiri dan mencuci bahagian kanan tubuhnya dari atas hingga ke hujung jari kakinya. Kemudian, dia melakukan sebaliknya dengan meletakkan kaki kiri mayat di atas kaki kanannya, memusingkan mayat ke sebelah kanan, dan mencuci bahagian kiri tubuhnya dari bahu hingga ke hujung jari kakinya. Proses ini diulang sebanyak tiga kali.
- Meratakan air ke seluruh tubuh si mati dan digalakkan (sunat) air dicampurkan dengan kapur barus atau bahan wangi yang tersedia, dan sebaik-baiknya basuhan dilakukan sebanyak sembilan kali. Namun, jika kurang daripada itu, mandinya tetap dikira sah.
- Disyorkan untuk melonggarkan sendi si mati selepas mandi dan mengeringkan badannya agar kain kafan tidak basah.
- Jika terdapat halangan untuk memandikan mayat disebabkan keadaan tertentu, seperti terbakar atau hancur, maka diwajibkan untuk ditayammumkan.
Tatacara mandian jenazah ini juga adalah seperti mana yang dijelaskan oleh Da’irah al-Ifta’ al-‘Am dalam fatwa mereka.[1]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/research–fatwas/3603/الصفة–الكاملة–لغسل–الميت. Diakses pada 21 Ogos 2024.