Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya membuat Korban 2 ekor lembu. Ada total 14 bahagian. Setiap bahagian saya letak nama saya, mak, adik beradik dan anak saudara. Apakah niat yang perlu saya baca semasa korban? Perlukah mereka yang mendapat bahagian korban (14 bahagian itu) berniat? Niat yang sama seperti saya niat korban?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d;
Ibadah Korban merupakan ibadat yang agung di sisi Allah SWT dan merupakan tuntutan dan galakan-Nya di dalam al-Quran al-Karim. Allah SWT berfirman:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ
Maksudnya: “Maka solatlah engkau dan sembelihlah korban,”
(Surah al-Kauthar: 2)
Imam Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Para Salaf semisal ‘Ikrimah maula Ibn ‘Abbas, ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Qatadah bin Di‘amah menafsirkan ayat ini dengan: Tunaikan Solat Sunat Hari Raya pada pagi 10 Zulhijjah (Aidiladha) dan kemudian sembelihlah haiwan korbanmu.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/559)
Rasulullah SAW juga menganjurkan amalan Korban dan menyatakannya sebagai amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT sepanjang Zulhijjah. Ummul Mukminin Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada suatu pun amalan anak Adam pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) yang lebih dicintai oleh Allah melainkan ibadat menumpahkan darah haiwan ternakan (korban). Semuanya akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya. Darah sembelihan korban itu akan sampai ke hadrat Allah dahulu sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Bersenang-lenanglah kalian dengan ibadat ini.”
Riwayat al-Tirmizi (1493)
Imam Jalaluddin al-Suyuti mensyarahkan hadith di atas menyatakan: “Imam Ibn al-‘Arabi al-Maliki mengatakan: Ia merupakan amalan paling afdal pada hari Aidiladha kerana hari tersebut memang dikhususkan untuk melaksanakan korban. Apabila sesuatu amalan itu dikhususkan pada hari tertentu, maka ia merupakan amalan yang paling afdal untuk dilaksanakan pada hari tersebut, selepas ibadat-ibadat fardhu seperti solat lima waktu.” (Lihat Qut al-Mutaghazzi ‘ala Jami‘ al-Tirmizi, 1/390)
Berhubung dengan soalan di atas, seseorang yang hendak melaksanakan ibadah Korban atau peserta Korban wajib untuk berniat di dalam hati untuk melaksanakan ibadat Korban tatkala ketika hendak menyembelih binatang atau sebelum menyembelih dalam keadaan sudah menentukan binatang yang hendak disembelih itu jika tidak mewakilkan orang lain.
Syeikh Abu Bakr Syatha al-Dimyati berkata: “Disyaratkan untuk berniat ketika hendak menyembelih atau sebelum sembelih ketika menentukan haiwan mana yang hendak dikorbankan, dan sedia dimaklumi bahawa niat itu di hati. Disunatkan untuk melafazkannya dengan lisan, dengan berkata: Sahaja aku melaksanakan korban sunat, atau melaksanakan sunat korban.” (Lihat I‘anah al-Talibin ‘ala Fath al-Mu‘in, 2/376)
Kewajiban berniat ini diambil daripada keumuman hadith Rasulullah SAW, ‘Umar bin al-Khattab RA meriwayatkan bahawa baginda bersabda:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya (kesahihan) sesebuah amalan itu adalah berdasarkan niat-niat seseorang, dan seseorang itu hanya akan beroleh apa yang dia niatkan sahaja. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka dia akan mendapat (ganjaran daripada) Allah dan (keredhaan) Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia maka dia akan mendapat habuan duniawi semata, atau kerana wanita maka dia akan berjaya menikahinya. Hasil hijrah seseorang itu adalah berdasarkan tujuan penghijrahan tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (1); Muslim (1907)
Imam Muhyiddin al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas: “Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu adalah berdasarkan niat” maksudnya adalah: Sesebuah amalan-amalan dalam syariat Islam tidak akan dikira melainkan apabila dilakukan bersama niat.” (Lihat bab al-Isyarat ila Dhabt al-Alfaz al-Musykilat daripada al-Arba‘un fi Mabani al-Islam wa Qawa ‘id al-Ahkam, hlm. 49)
Maka kami cadangkan di sini, apabila tuan hendak membayarkan bahagian korban bagi pihak orang lain, berikut adalah langkah-langkahnya:
- Beritahu kepada orang yang diniatkan tersebut supaya dia tahu dan meredhainya
- Niatkan memberi wang bayaran Korban kepada dirinya atas niat hibah (hadiah)
- Bayarkan bagi pihak dirinya sebagai wakil sahaja
- Jika mereka ingin sembelih sendiri, maka mereka perlu berniat ketika sembelih atau sebelum sembelih.
- Sekiranya mereka mewakilkan orang lain untuk melaksanakan korban, maka hanya dirinya atau wakil (dalam kes ini, tuan penyoal) perlu berniat dengan wajib melafazkannya ketika mewakilkan kepada orang yang bertanggungjawab melaksanakan proses Korban tersebut.
Imam Ibn Hajar al-Haitami memfatwakan berkenaan bab al-Wakalah (perwakilan): “[Dan disyaratkan bagi orang yang mewakilkan] atau orang yang menggantikannya [untuk melafazkan] secara jelas atau secara berlapik (kinayah) atau yang serupa dengannya seperti bertulis atau isyarat daripada orang yang bisu, dengan isyarat yang boleh difahami [memberi makna keredhaan dirinya; seperti “aku wakilkan kepada engkau dalam urusan sekian-sekian” atau “aku serahkan perlaksanaan ini kepadamu”.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 5/309)
Kesimpulannya, kami tegaskan bahawa setiap peserta termasuk tuan terutamanya wajib berniat ketika hendak menyembelih sekiranya hendak menyembelih sendiri. Adapun jika mewakilkannya kepada orang lain; cukup melafazkan niat Korban serta serah tugas Korban ketika mewakilkannya kepada wakil. Dalam kes ini, sekalian ahli keluarga akan mewakilkan perlaksanaan Korban ini kepada tuan, maka mereka perlu melafazkan niat Wakalah Korban ini ketika mewakilkannya kepada tuan. Tuan pula mesti melafazkan niat untuk diri sendiri dan sekalian ahli keluarga ketika menyembelih haiwan korban.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا
Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”
Wallahu a‘lam.