Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya masih keliru tentang jamak qasar. Sekiranya perjalanan saya lebih 81 km, musafir dalam 2 hari termasuk pergi dan balik. Dan dan bermalam sehari di hotel. Adakah di benarkan solat jamak takdim qasar di hotel tersebut sedangkan sudah berada di hotel dan tidak ada kepayahan dalam menjamak solat.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَلَیۡسَ عَلَیۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنۡ خِفۡتُمۡ أَن یَفۡتِنَكُمُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱلۡكَـٰفِرِینَ كَانُوا۟ لَكُمۡ عَدُوࣰّا مُّبِینࣰا
Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di atas muka bumi, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan dan dosa sekiranya kamu mengqasarkan iaitu memendekkan solat jika kamu takut diserang oleh golongan kafir. Sesungguhnya orang kafir itu ialah musuh kamu yang amat nyata.”
(Surah al-Nisa’: 101)
Imam al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Mengqasarkan solat adalah dibolehkan menurut persepakatan para ulama. Adapun meninggalkan qasar dan melaksanakan solat secara tamam ketika bermusafir, para ulama berbeza pendapat. Sebahagian sahabat berpendapat wajib ke atas musafir untuk mengqasarkan solat, ini merupakan pendapat Umar, Ali, Ibn Umar, Jabir, Ibn Abbas, juga Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz, Qatadah, Malik bin Anas dan ahli ar-Ra’yi. Manakala, al-Syafi’i pula berpendapat mengqasarkan solat bagi musafir hukumnya harus sahaja. Pendapat ini disokong oleh zahir ayat al-Quran. Perkataan “tidaklah menjadi apa-apa kesalahan” digunakan untuk memberi keringanan, bukan mewajibkan.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 2/274-275)
Keharusan Qasar Solat
Ulama mazhab al-Syafi’i berpendapat mengqasarkan solat adalah keharusan, bukan suatu kewajiban. Imam al-Syafi’i menuruti dan menyetujui fatwa ‘Uthman bin ‘Affan dan Sa’ad bin Abi Waqqas yang mengatakannya harus semata, tidak wajib.
Justeru, terdapat keluasan dalam perkara ini. Kita bebas memilih sama ada kita mahu mengqasar dan menjama’ solat ketika musafir atau tidak. Kedua-duanya diizinkan oleh syara’ dan merupakan amalan Rasulullah SAW.
Aisyah R.Anha berkata berkenaan solat musafir Nabi:
كُلُّ ذَلِكَ قَدْ فَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ قَصَرَ الصَّلَاةَ وَأَتَمَّ
Maksudnya: “Kedua-duanya pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW (ketika musafir); sama ada menqasarkan solat mahu pun bersolat secara tamam (sempurna).”
Riwayat al-Syafi’i di dalam al-Musnad (1/182)
Begitu juga dengan jama’ solat, ulama mengatakan hukumnya sama harus. Seseorang boleh memilih sama ada untuk menjama’ solat atau bersolat seperti biasa pada waktunya yang telah ditetapkan.
Maka, seorang musafir boleh mengqasar solatnya apabila dia menjalani perjalanan safar yang jauh, iaitu perjalanan yang mencapai dan melebihi dua marhalah. Para ulama kontemporari berbeza pendapat dalam menentukan kiraan semasa bagi dua marhalah seperti berikut:
- Al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff mengatakan 2 marhalah bersamaan 82KM.
- Syaikh Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan 2 marhalah bersamaan 88.704KM.
- Syaikh Dr. Muhammad al-Zuhaili mengatakan 2 marhalah bersamaan 81KM.
Kita bebas untuk memilih mana-mana sahaja kiraan di atas.
Perbezaan Ulama: Qasar atau Tamam
Para ulama mazhab al-Syafi’i berbeza pendapat tentang seseorang yang bermusafir, sama ada dianjurkan untuk bersolat secara qasar atau tamam kepada 3 pendapat:
- Solat Qasar lebih Afdal, ini merupakan pendapat majoriti ulama al-Syafi’iyyah beraliran al-’Iraqiyyin
- Solat Tamam lebih Afdal, ini merupakan salah satu nas Imam al-Syafi’i, juga pendapat Imam al-Muzani, Imam al-Mawardi dan al-Qadhi Abu al-Tayyib
- Ulama yang mempunyai dua pendapat, yang paling sahih adalah Qasar lebih Afdal, ini merupakan pendapat yang dihikayatkan oleh ulama al-Syafi’iyyah beraliran al-Khurasaniyyin, juga pendapat Ibn al-Sabbagh. (Lihat Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/336)
Tidak Jama’ Solat lebih Afdal, Meskipun Bermusafir
Menurut muktamad mazhab al-Syafi’i, seseorang yang bermusafir tetap dianjurkan untuk bersolat tepat pada waktunya dan tidak menjama’ solat. Imam Abdullah bin ‘Abd al-Rahman ba Fadhl al-Hadhrami berkata: “Bagi seorang musafir yang berjalan melebihi 2 marhalah dan mencukupi syarat-syarat qasar, meninggalkan solat jama’ (dan bersolat tepat mengikut waktu) lebih afdal, kecuali bagi:
- Orang yang terdetik dalam hatinya tidak menyukai jama’ solat,
- Orang yang ragu tentang dalil kebolehan jama’ solat,
- Orang yang akan bersolat sendirian jika meninggalkan jama’.”
(Lihat al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah fi Fiqh al-Sadah al-Syafi’iyyah, hal. 133)
Afdal Solat Tamam bagi Musafir bawah 3 Marhalah
Selagi perjalanan anda masih berlegar sekitar 81KM hingga 132KM, anda dianjurkan untuk bersolat secara tamam dan sempurna rakaatnya, serta tidak mengqasar solat.
Imam Sa’id bin Muhammad ba ‘Isyn turut berkata: “Menyempurnakan (rakaat) solat iaitu dengan bersolat secara tamam serta tidak qasar, adalah lebih afdal kerana ia turut dibolehkan.
Pengecualian diberikan kepada:
- Orang yang berniat untuk berjalan melebihi 3 marhalah (bersamaan 132KM) meskipun belum sampai kepada jarak tersebut,
- Orang yang mendapati dirinya tidak suka atau kurang gemar mengqasar solat.”
Beliau berkata lagi: “Orang yang bermusafir melebihi 2 marhalah namun belum mencapai 3 marhalah digalakkan untuk tidak mengqasar solat dan bersolat secara tamam untuk keluar daripada khilaf perbezaan pendapat yang berlaku di sisi sebahagian ulama mazhab Hanafi yang hanya membenarkan qasar apabila perjalanan melebihi 3 marhalah.” (Lihat Busyra al-Karim fi Syarh Masa’il al-Ta’lim, hal. 368)
Imam al-Nawawi juga berkata, seorang yang bermusafir dianjurkan untuk solat secara tamam jika:
- Seseorang bermusafir kurang daripada 3 hari.
- Seseorang bermusafir dalam keadaan sentiasa berada di atas kapal. (Lihat Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/335)
Syarat-Syarat Solat Jamak dan Qasar
Antara syarat-syarat tersebut:
- Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
- Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
- Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
- Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk anda melakukan jamak qasar kerana menepati syarat-syarat jamak qasar yang telah disebutkan di atas. Selain itu, solat jamak qasar juga merupakan satu rukhsah (kelonggaran) yang diberikan oleh Allah SWT untuk mereka yang musafir, sakit dan seumpamanya yang dibenarkan oleh syarak. Oleh itu, bagi sesiapa yang ingin lakukan solat secara jamak qasar, maka diharuskan untuknya. Manakala, bagi sesiapa yang ingin lakukan secara tamam (sempurna), maka ia juga dibolehkan. Namun, yang afdhalnya solat secara jamak qasar kerana ia adalah keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam atas perasaan belas kasihan dan rahmat-Nya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)