Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Seseorang bertanya seraya menimbulkan tuduhan, adakah Islam tidak memuliakan wanita, bahkan merendahkan haknya? Mohon pencerahan terhadap tuduhan ini. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ
Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain;
(Surah al-Taubah: 71)
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa syariat Islam memberikan perhatian yang sangat besar terhadap wanita dan mengutamakan mereka dengan begitu teliti. Terbanyak banyak nas yang menunjukkan tingginya kedudukan wanita dan kewajipan menghormati mereka. Malah, penghormatan terhadap wanita juga termasuk penghormatan terhadap sesiapa yang menghormati mereka dengan baik, seperti meletakkan syurga di bawah kaki ibu, serta ganjaran bagi yang berbuat baik kepada anak perempuan, dan melengkapkan agama seseorang dengan adanya wanita sebagai isteri dan sebagai separuh daripada agama.
Terdapat riwayat daripada Mu‘awiyah bin Jahimah al-Sulami bahawa:
أنَّ جاهِمةَ جاءَ إلى النَّبيِّ ﷺ، فقالَ: يا رسولَ اللَّهِ، أردتُ أن أغزوَ وقد جئتُ أستشيرُكَ؟ فقالَ: هل لَكَ مِن أمٍّ؟ قالَ: نعَم، قالَ: فالزَمها فإنَّ الجنَّةَ تحتَ رِجلَيها
Maksudnya: “Jahimah R.A datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku datang untuk meminta nasihatmu.’ Baginda bersabda: ‘Adakah engkau mempunyai ibu?’ Beliau menjawab: ‘Ya.’ Baginda bersabda: ‘Maka bersamalah dengannya, kerana syurga terletak di bawah kedua kakinya.’”
Riwayat al-Nasa’i (3104) dan ini merupakan lafaznya; riwayat Ibn Majah (2781); al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17890); al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (4211); al-Hakim dalam al-Mustadrak (2502) dan beliau menyatakan, hadith ini adalah sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.
Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ ثَلَاثُ بَنَاتٍ، فَصَبَرَ عَلَى لَأْوَائِهِنَّ، وَضَرَّائِهِنَّ، وَسَرَّائِهِنَّ، أَدْخَلَهُ اللهُ الْجَنَّةَ بِفَضْلِ رَحْمَتِهِ إِيَّاهُنَّ، فَقَالَ رَجُلٌ: أَوْ ثِنْتَانِ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قال: أَوِ اثْنَتَانِ، فَقَالَ رَجُلٌ: أَوْ وَاحِدَةٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قال: أَوْ وَاحِدَةٌ
Maksudnya: “‘Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kesusahan, kesedihan, dan kegembiraan mereka, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dengan rahmat-Nya kerana mereka.’ Seorang lelaki bertanya: ‘Bagaimana kalau hanya dua orang anak perempuan, wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda: ‘Demikian juga jika hanya dua orang anak perempuan.’ Seorang lelaki bertanya lagi: ‘Bagaimana kalau hanya seorang anak perempuan, wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda: ‘Demikian juga jika hanya seorang anak perempuan.’”
Riwayat Ahmad (8425); Ibn Abi Syaibah (25949) dan al-Hakim (7346); Syeikh Ahmad Syakir dalam takhrij al-Musnad (16/181) menyatakan, sanadnya adalah sahih melainkan ‘Amr bin Syihab. Begitu juga Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad (8425) menilainya sebagai Hasan li ghairihi.
Begitu juga riwayat daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَزَقَهُ اللهُ امْرَأَةً صَالِحَةً، فَقَدْ أَعَانَهُ اللهُ عَلَى شَطْرِ دِينِهِ، فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي الشَّطْرِ الثَّانِي
Maksudnya: “Sesiapa yang Allah kurniakan/rezekikan wanita solehah sebagai isteri, maka Allah telah membantunya dalam separuh agamanya. Oleh itu, hendaklah dia bertakwa kepada Allah dalam separuh yang lain.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (972); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (5487); al-Hakim (2681) dan beliau menilai sanadnya sebagai sahih. Selain itu, al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir (8685) menilainya sebagai sahih. Begitu juga ia dinilai sebagai hasan li ghairi dalam Sahih al-Targhib (1916). Manakala al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Talkhis al-Habir (3/1120) menilai sanadnya sebagai dha‘if.
Oleh yang demikian, sebagai kesimpulannya kami tegaskan sekali lagi bahawa nas-nas ini secara jelas dan terang menunjukkan kedudukan wanita dalam Islam. Demikianlah, pelbagai nas daripada al-Quran dan hadith turut memberikan penghormatan yang tinggi terhadap wanita. Semua dalil syariah mesti difahami berdasarkan penghormatan ini, tanpa sebarang unsur penghinaan atau pengurangan terhadap wanita dalam apa jua bentuk. Jika terdapat dakwaan yang bertentangan, perkara tersebut haruslah dikembalikan kepada nas yang jelas dan sahih yang akan menjelaskan kekeliruan tersebut.
Inilah juga seperti mana jawapan yang dikemukakan oleh Dr. Syauqi Ibrahim ‘Allam dalam fatwanya ketika diajukan persoalan yang hampir sama.[1]
Diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu adalah saudara kandung bagi lelaki”.
Riwayat Abu Dawud (204)
Maksudnya ialah kejadian dan tabiat perempuan adalah setara dengan lelaki. Ini seolah-olah mereka sebahagian daripada lelaki. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/74)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar–alifta.org/ar/fatawa/19282/تكريم–الاسلام–للمراة–وبيان–مكانتها. Diakses pada 26 Ogos 2024.