Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah yang perlu dilakukan pada bahagian anggota badan yang dipotong daripada mereka yang masih hidup disebabkan pembedahan?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلً

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

(Surah al-Isra’: 70)

Syeikh al-Maraghi menyatakan Allah SWT telah memuliakan anak cucu Adam dengan rupa yang indah, bertubuh tinggi dan berakal sederhana sehingga mereka mengetahui pelbagai kepakaran dan mengetahui pelbagai bahasa, dapat berfikir dengan baik tentang cara-cara mencari penghidupan dan mengeksploitasi segala yang ada di bumi serta menundukkan segala yang ada di alam atas mahupun alam bawah. Kami mengangkat mereka di atas haiwan, kereta, kapal terbang, belon dan kapal. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3996-3997)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa, anggota badan yang terpisah daripada badan manusia baik yang masih hidup atau yang telah mati seperti kaki atau tangan yang dipotong disebabkan pembedahan hendaklah dibalut dengan kain dan ditanam. Ini kerana setiap anggota badan manusia adalah mulia. Oleh yang demikian, hendaklah menanamnya dan tidak membuangnya di tempat yang tidak sesuai.

Dalam isu ini, Imam al-Nawawi berkata: Imam al-Mutawalli menukilkan berkenaan persepakatan (الاتفاق) bahawa tangan yang dipotong dalam kes mencuri dan hukuman qisas tidak perlu dimandikan atau disolatkan. Dia berkata: Tidak ada perselisihan pendapat bahawa tangan yang dipotong dalam kes kecurian dan hukuman qisas tidak perlu dimandikan atau disolatkan, tetapi ia perlu dibungkus dengan kain dan ditanam. Demikian juga, kuku yang dipotong dan rambut yang diambil daripada orang hidup, tidak perlu disolatkan, tetapi disunatkan untuk ditanam.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/254)

Selain itu juga, dinyatakan dalam Fatawa Yasalunaka (8/394):   Jika sebahagian anggota tubuh manusia yang masih hidup dipotong, seperti tangan, kaki, atau yang lainnya, maka anggota yang dipotong tersebut hendaklah dikebumikan, sama ada di tanah perkuburan atau di tempat yang bersih. Tidak dibenarkan untuk membuangnya bersama sampah dan kotoran kerana manusia dimuliakan sama ada ketika hidup atau mati. Begitu juga dengan anggota lain yang dipotong dari tubuh manusia, wajib dimuliakan. Anggota yang dipotong tersebut tidak perlu dimandikan atau disolatkan, tetapi hendaklah dibungkus dengan kain dan dikebumikan. Sebahagian ulama juga menyebutkan bahawa adalah disunatkan untuk mengebumikan setiap anggota yang terpisah dari tubuh manusia yang masih hidup, seperti rambut, kuku, dan darah.

Turut disebutkan dalam Fatawa al-Lajnah al-Daimah (8/448) bahawa: Anggota badan yang terputus daripada orang yang masih hidup, tidak kira disebabkan oleh kemalangan atau hukum had (hukuman syariah), tidak perlu dimandikan atau disolatkan. Sebaliknya, ia hendaklah dibalut dengan kain dan dikebumikan di tanah perkuburan, atau di tanah yang baik jauh daripada penghinaan, jika orang yang menemui anggota tersebut berada jauh dari tanah perkuburan.

Sebagai kesimpulannya, anggota badan yang telah dipotong perlu diuruskan dengan sebaik yang mungkin iaitu dabalut dan ditanam, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.  Penanaman anggota tersebut merupakan satu bentuk penghormatan terhadap jasad manusia dan memastikan ia tidak terdedah kepada perkara yang boleh merosakkan kemuliaannya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘lam

Leave a Reply