Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah perbuatan sabung ayam dibenarkan syara’?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sabung ayam atau laga ayam adalah merujuk pada satu sukan berdarah di mana dua ekor ayam jantan akan diadu di dalam satu arena yang dipanggil bon. Ayam yang digunakan bagi acara ini dikenali sebagai ayam sabung merupakan sejenis baka yang dibiak dan dipilih khas bagi ciri-ciri stamina dan kekuatannya. Ayam sabung akan diberi penjagaan rapi sehingga hampir berumur dua tahun. Keadaannya bagai seorang atlit profesional diadukan. Di kebanyakan bahagian lain di dunia, sabung ayam masih dibenarkan dengan kawalan kerajaan. Sabung ayam dianggap sebagai sukan berdarah oleh aktivis hak-hak dan kebajikan haiwan dan pihak-pihak lain, di sebababkan kekejaman yang dilakukan serta trauma dan kecederaan fizikal yang dialami oleh ayam-ayam ini.[1]
Hukum sabung ayam adalah haram sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.anhuma, katanya:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ التَّحْرِيشِ بَيْنَ الْبَهَائِمِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menegah daripada melaga-lagakan antara binatang ternakan.”
Riwayat Abu Dawud (2562)
Imam al-Syaukani dalam menghuraikan hadis ini berkata: Sudut larangan dalam hadith ini ialah bahawa perbuatan melaga-lagakan itu mendatangkan kesakitan kepada haiwan-haiwan itu dan meletihkan mereka dengan perbuatan itu tanpa apa-apa faedah yang diiktiraf syara’ bahkan ia merupakan perkara sia-sia semata-mata. (Lihat Nail al-Autar, 8/99)
Perbuatan melaga-lagakan ini mendatangkan kesakitan kepada binatang dan menzalimi binatang. Sedangkan Islam mengajar kita untuk berlaku ihsan kepada semua makhluk Allah, termasuk tidak menyakiti binatang. Daripada Syaddad bin Aus RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berlaku ihsan dalam semua perkara. Jika kalian perlu membunuh (hukuman qisas, perang dll), maka berihsanlah dalam membunuh. Dan jika kalian menyembelih maka sembelihlah dengan ihsan.”
Riwayat Muslim (1955)
Kedua, perbuatan ini juga ialah tradisi buruk golongan yang tidak baik, dinisbahkan kepada kaum Nabi Nuh AS, dan tradisi orang bukan Islam, seperti yang boleh dilihat di beberapa buah negara. Begitu juga dalam masyarakat Islam perbuatan seperti ini dianggap perbuatan golongan yang tidak bermaruah dan tidak bermoral.
Berkenaan, hukum judi, hal ini amat jelas larangannya dalam al-Quran tanpa ada khilaf dalam kalangan ulama atas pengharamannya. Firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”
(Surah al-Baqarah: 219)
Imam al-Tabari menyebut bahawa meskipun terdapat manfaat daripada keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya. Ini sepertimana yang berlaku kepada orang yang meminum arak dengan merasakan kelazatan yang diteguknya namun akibat dari mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Manfaatnya ada namun mafsadah yang timbul daripadanya lebih besar. (Lihat Jami’ al-Bayan, 2/489)
Imam al-Alusi pula dalam mentafsirkan ayat di atas menyebut beberapa contoh dosa atau keburukan yang dibawa oleh judi, antaranya: memakan harta secara batil; boleh menyebabkan penjudi terjebak ke dalam jenayah curi; mencederakan jiwa; mensia-siakan keluarga; melakukan perkara yang keji dan hina; serta rasa permusuhan yang timbul baik secara tersembunyi atau terang-terangan. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/262)
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)
Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Mafatih al-Ghaib ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan maysir (judi) dan qimar (pertaruhan) adalah ia boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil; di samping melalaikan manusia dari mengingati Allah dan mengerjakan solat.
Tambah beliau lagi, pertaruhan di dalam qimar dan maysir juga menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak pula. Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat. Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya dari mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya di dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga tidak ingat selain dari harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 6/49)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa perbuatan sabung ayam merupakan perbuatan haram yang wajib ditinggalkan kerana ia merupakan salah satu daripada perbuatan judi dan juga perbuatan dalam menzalimi binatang.
Kami ingi menasihati bagi sesiapa yang terlibat dengan aktiviti ini supaya meninggalkan perbuatan ini, dan menggantikannya dengan perbuatan atau hobi lain yang lebih bermanfaat dan menguntung serta berpahala, yang boleh memberatkan mizan hasanah kita di hari sebagaimana firman Allah SWT:
يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
Maksudnya: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).“
(Surah al-Syu’ara’: 88-89)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahu a`lam
Bertarikh: 21 Mac 2022 bersamaan 18 Syaaban 1443H
[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Sabung_ayam