#704 Nafkah Anak Tiri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah bapa tiri perlu memberikan nafkah kepada anak tirinya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nafkah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah  wang atau makanan dan lain-lain yang diperlukan untuk hidup dan sara hidup dan juga perbelanjaan dan lain-lain yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya.

Nafkah dari segi bahasa ialah pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Pada syara’ pula makanan, pakaian dan tempat tinggal. Makna pada ‘uruf ahli perundangan islam (fuqaha) dikatakan pada makanan sahaja. (Lihat al-Durr al-Mukhtar wa Hashiah Ibn ‘Abidin, 11/886)

Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/274)

Firman Allah SWT:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

Maksudnya: Dan kewajiban bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma’ruf.

(Surah Al-Baqarah: 233)

Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, Makanan, Barang-barang dapur, Pakaian, Tempat tinggal, Alat-alat untuk membersihkan diri, Barangan rumah, Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Nafkah Kepada Anak Tiri

Anak tiri merupakan anak daripada isterinya dengan suaminya yang terdahulu, atau anak daripada suami dengan isterinya yang terdahulu. Dalam Islam, anak tiri tidak wajib dinafkahi oleh ayah tirinya, meskipun kedua-duanya sudah menjadi mahram. Hal ini kerana hubungan antara ayah tiri dan anak tirinya tidak terdapat padanya hubungan nasab dan kekeluargaan yang menyebabkan ayah tiri wajib menafkahi anak tirinya.

Menurut para ulama, terdapat tiga situasi yang menyebabkan seseorang wajib memberikan nafkah, iaitu:

  • Memiliki hubungan nasab dan kerabat seperti antara ayah kandung dan anak kandungnya.
  • Memiliki ikatan pernikahan seperti suami dan isterinya.
  • Disebabkan oleh pemilikan seperti memiliki seorang hamba, maka dia wajib menafkahinya.

Hal ini sebagaimana disebutkan oleh Syeikh Abu Bakar Syata al-Dimyathi al-Bakri di dalam kitab I’anah al-Talibin : Ketahuilah bahawa sebab kewajiban nafkah terbahagi kepada tiga perkara; Ikatan perkawinan, Kekerabatan, dan Pemilikan. (Lihat I’anah al-Talibin, 4/70)

Selain itu, menurut ulama al-Hanabilah, antara syarat seseorang wajib memberikan nafkah kepada orang lain adalah keduanya mesti boleh mewarisi harta peninggalan seperti anak kandung berhak mendapatkan harta pusaka daripada ayah kandungnya, dan begitu sebaliknya. Jika tidak boleh saling mewarisi, maka tidak ada kewajiban memberi nafkah antara satu sama yang lain.

Dalam Islam, anak tiri tidak berhak mendapatkan harta pusaka daripada ayah tirinya, begitu juga sebaliknya. Hal ini disebabkan kerana antara keduanya tidak ada hubungan nasab yang menyebabkan keduanya boleh saling mewarisi. Justeru, ayah tiri tidak wajib memberikan nafkah kepada anak tirinya, begitu juga sebaliknya, anak tiri tidak wajib memberikan nafkah kepada ayah tirinya.

Hal ini sebagiamana yang disebutkan oleh pengarang al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah: Syarat keempat ialah pemberi nafkah harus berstatus sebagai pewaris. Jika dia bukan pewaris, maka dia tidak wajib memberi nafkah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 41/80)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa tanggungjawab nafkah anak tiri bukanlah dibawa tanggungjawab bapa tirinya, namun terletak di bawah tanggungan bapa kandungnya. Justeru, bapa kandungnya wajib memberikan nafkah kepada anak kandungnya walaupun dia telah bercerai dengan isteri dan ibu kandung anaknya tersebut.

Namun begitu, tidak salah sekiranya bapa tiri ingin menanggung keperluan anak tirinya sebagai salah satu bentuk kebaikan, kebajikan dan ihsan kepadanya. Mudah-mudahan dengan belanja yang dikeluarkan kepada anak tirinya memberikan manfaat kepadanya di dunia dan juga di akhirat dalam membesarkan anak tersebut.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 21 Mac 2022 bersamaan 18 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *