Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seorang pesakit yg tenat dan sakit diberikan suntikan morphin oleh doktor untuk mengurangkan rasa sakit tersebut dan membantu pesakit untuk tenang. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍۢ وَلَا عَادٍۢ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Barangsiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ianya tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ianya berdosa. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Baqarah: 173)
Maksud yang sama dengan pengertian di atas telah diulang sebutannya oleh Allah SWT di dalam empat surah daripada al-Quran, setiap kali disebutkan tentang pengharaman ke atas makanan. Sesuai dengan ayat-ayat ini dan yang seumpamanya, maka para fuqaha Islam telah menetapkan suatu kaedah yang penting, iaitu:
الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ
Maksudnya: “Yang darurat (keadaan terpaksa) membolehkan perkara yang dilarang.” (Lihat al-Qawaid wa al-Dhawabit al-Fiqhiyyah al-Mutadhamminah li al-Taisir, 1/287).
Jika diperhatikan bahawa ayat-ayat tersebut mengikut keadaan orang yang terpaksa itu, maka ianya hendaklah tidak disengajakan dan tidak pula melewati batas. Maksud dari tiada disengajakan ialah tidak memerlukannya kerana merasa lazat terhadapnya dan maksud tidak melewati batas ialah batasan darurat sahaja, jangan sampai dimakannya sehingga kenyang. Dengan ikatan ini, maka para fuqaha telah meletakkan suatu konsep yang lain, iaitu:
الضَّرُوْرَةُ تُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا
Maksudnya: “Yang darurat itu dibatasi dengan mengikut kadarnya.”
Definisi Morphin
Morphin digunakan sebagai ubat untuk melegakan kesakitan dan ia termasuk dalam Kumpulan ubat tahan sakit narkotik (opiod).[1]
Di sini, kami kemukakan beberapa jenis ubat dan kesannya.[2]
Jenis ubat
- Ubat tahan sakit yang mengandungi opiod
Contoh : Codeine, Oxycodone, Methadone, Morphine, Fentanyl
Kesan Ketagihan Yang Ingin Dialami: Rasa gembira dan teruja. Ia bertindak ke atas reseptor yang sama seperti yang disasarkan oleh heroin.
Kesan Buruk Ke Atas Kesihatan
Mengantuk, sembelit dan menurunkan kadar pernafasan. Penurunan kadar pernafasan berlaku terutamanya apabila opiod diambil melalui hidung atau injeksi ataupun dengan kombinasi ubat lain dan alcohol.
- Ubat tidur dan penenang
Contoh : Barbiturates, Benzodiazepines, Zolpidem
Kesan Ketagihan Yang Ingin Dialami
Mengurangkan rasa resah dan menurunkan kadar aktiviti otak yang akan menyebabkan mengantuk dan hilang koordinasi dan memori.
Kesan Buruk Ke Atas Kesihatan
Tekanan darah, menurunkan kadar pernafasan yang boleh menyebabkan kematian apabila diambil bersama alcohol.
- Ubat perangsang
Contoh : Amphetamine, Methylphenidate
Kesan Ketagihan Yang Ingin Dialami
Rasa gembira, meningkatkan tenaga dan tahap keyakinan.
Kesan Buruk Ke Atas Kesihatan
Meningkatkan kadar denyutan jantung, tekanan darah, mengurangkan berat badan, serangan jantung, strok/angin ahmar.
- Dextromethorphan
Contoh : Dalam ubat batuk dan selsema.
Kesan Ketagihan Yang Ingin Dialami
Dos yang tinggi bertindak ke atas sel reseptor yang disasarkan oleh phencyclidine (PCP) dan ketamine yang menyebabkan kesan keterujaan dan ghairah.
Kesan Buruk Ke Atas Kesihatan
Fungsi motor terjejas, kebas, loya dan muntah, meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah. Selain itu,terdapat juga kes kerosakan otak apabila kadar pernafasan menurun menyebabkan kekurangan oksigen ke otak.
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk seorang doktor itu menggunakan morphin sebagai ikhtiar rawatan kerana ia sudah dikira berkeahlian dan perlu dipastikan dos yang disuntik itu mencukupi sukatannya. Bahkan, dalam ubatan pada hari ini juga hakikatnya mempunyai dadah, namun dikawal mengikut sukatan yang betul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dalam isu ini juga, ia bertepatan dengan prinsip maqasid syariah yang kedua iaitu menjaga nyawa dan kaedah menyebut:
الضَّرُورَاتُ تُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا
Maksudnya: “Perkara yang darurat hendaklah ditakdirkan berdasarkan kadarnya sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 184-186).
Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
للَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Wallahua`lam.
Nota Hujung:
[1] Lihat Hello Doktor : https://hellodoktor.com/ubat/morfin/ . Diakses pada 29 Ogos 2024.
[2] Lihat Kementerian Kesihatan Malaysia: http://www.myhealth.gov.my/penyalahgunaan-ubat/. Diakses pada 29 Ogos 2024.