Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bercadang untuk belajar senaman yoga, memandangkan saya obesiti, saya minat pada gerakan Yoga sebab ia melibatkan aktiviti pernafasan dalaman dan regangan tulang dan otot. Apa hukum menyertai yoga?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Yoga

Yoga ialah disiplin-disiplin fizikal dan mental tradisional yang berasal dari India. Perkataan yoga berasal daripada sanskrit kuno “yuj” yang membawa maksud menyatukan, menyambungkan atau menggabungkan.

Ini kerana ia adalah aktiviti yang mampu menyatukan keseimbangan di antara kesihatan tubuh badan dalam aspek fizikal dan mental.

Antara kelebihan yoga adalah:

  1. Menghilangkan stress.
  2. Mengurangkan berat badan.
  3. Meningkatkan kekuatan, kestabilan dan fleksibiliti.
  4. Tidur lebih berkualiti.
  5. Mengelakkan pelbagai penyakit.
  6. Menguatkan memori. (Lihat Hello Doktor[1])

Hukum Bersenam

Hukum asal bagi senaman yang berbentuk tarian adalah dibolehkan kerana tidak ada dalil syara‘ yang melarangnya. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الإِنْسَانِ وَتَصَرُّفَاتِهِ الحُرِّيَّةُ وَالْإِبَاحَةُ

Maksudnya: “Asal pada manusia dan tingkah lakunya ialah kebebasan dan keharusan”. (Lihat Ma‘lamah Zayid, 3/165)

Terdapat juga kaedah lainnya menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm.60)

Akan tetapi, keharusan tersebut boleh berubah kepada haram sekiranya terdapat perkara-perkara yang dilarang oleh syara‘ seperti memakai pakaian yang ketat, percampuran antara lelaki dan perempuan, atau menyebabkan seseorang itu lalai.

Pakaian yang ketat pada hakikatnya tidaklah menutup aurat, ini berdasarkan hadith riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW menerangkan mengenai golongan yang berpakaian namun dikira sebagai bertelanjang, Baginda bersabda:

وَنِسَاءٌ كَاسِياتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ

Maksudnya: “Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan membuat orang lain cenderung kepada kemaksiatan.”

Riwayat Muslim (2128)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni ketika menafsirkan maksud (كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ) dalam hadith di atas berkata:

كَاسِيَاتٌ فِي الصُّورَةِ عَارِيَاتٌ فِي الحَقِيقَةِ، لِأَنَّهُنَّ يَلْبَسْنَ مَلَابِسَ لَا تَسْتُرُ جَسَدًا، وَلَا تُخْفِي عَوْرَةً، وَالغَرَضُ مِنَ اللِّبَاسِ السِّتْرُ، فَإِذَا لَمْ يَسْتُرُ اللِّبَاسُ كَانَ صَاحِبُهُ عَارِيًا

Maksudnya: “Kelihatan berpakaian namun hakikatnya bertelanjang, kerana mereka memakai pakaian yang tidak menutupi (bentuk) badan dan menyembunyikan aurat. Sedangkan tujuan berpakaian adalah menutupi (aurat), jika sekiranya pakaian itu tidak menutupi (auratnya) maka si pemakainya dikira bertelanjang.” (Lihat Tafsir Rawai‘ al-Bayan, 2/385)

Manakala percampuran antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah jelas ditegah kerana ia boleh membawa kepada zina. Allah SWT melarang daripada mendekati zina seperti di dalam firman-Nya:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Kami tegaskan di sini dengan keputusan berkenaan Kedudukan Senaman Yoga Di Kalangan Umat Islam (2008) yang dibincangkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22-24 Oktober 2008. Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masehi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

Oleh itu, Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dalam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim. Seperti yang sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

  1. Kepercayaan atau keyakinan di hati.
  2. Menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.
  3. Perbuatan.

Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan Yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 30-31)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan Islam amat menitikberatkan umatnya untuk menjaga Kesihatan. Maka, dalam isu anda, kami katakan yoga merupakan salah satu cara senaman  yang baik dan ia diharuskan bagi memastikan badan kita lebih cergas. Namun, perkara yang perlu diambil perhatian adalah dari sudut pakaian, ikhtilat dan seumpamanya yang ditegaskan oleh syarak. Oleh itu, sekiranya mahu menyertai aktiviti yoga ini, sertailah yoga yang pelatih dan peserta yang sama jantinanya agar dapat mengelakkan dari fitnah seperti terlihat aurat berlainan jantina dan seumpamanya. Justeru, Islam tidak menghalang umatnya untuk bersenam, namun ada batasan syarak yang perlu dijaga demi maslahah hambaNya.

Sekiranya senaman aerobik tersebut diiringi lagu, perlu diteliti terlebih dahulu isi kandungan lagu tersebut.

Antara keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 berkenaan lagu adalah:

  • Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus.
  • Jika nyanyian seni katanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram.
  • Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.
  • Memahami kandungan lagu tersebut terlebih dahulu adalah penting bagi memastikan tiada sebarang unsur lucah, khurafat, syirik, megarut dan tidak ada akhlak. Sekiranya terdapat unsur-unsur yang disebutkan, maka hukumnya adalah haram.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10178) dan Ahmad (446)

Nota Hujung:

[1] Lihat: https://hellodoktor.com/kecergasan/kelenturan-keseimbangan/apa-itu-yoga-7-sebab-patut-buat/. Diakses pada 2/9/2024.

Leave a Reply