Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah menjual keldai jinak kepada orang yang memakannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menyatakan bahawa keldai ahli (jinak dan domestik) adalah haram untuk dimakan. Imam al-Nawawi telah menyebutkan bahawa ini merupakan pendapat ulama mazhab Syafi‘i dan majoriti ulama terdahulu mahupun terkemudian. Malah, al-Khattabi menyebutkan bahawa ia merupakan pendapat seluruh ulama. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/6).

Selain itu, Ibn Qudamah ada menukilkan daripada Ibn ‘Abd al-Bar bahawa tiada khilaf dalam kalangan para ulama Muslimin pada hari ini akan keharaman daging keldai ahli (peliharaan dan domestik). Tambahan lagi, terdapat dalam kalangan sahabat yang meriwayatkan daripada Nabi SAW berkenaan pengharaman daging itu seperti Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Umar, Abdullah bin ‘Amr, Jabir, al-Bara’, Abdullah bin Abu Aufa, Anas dan Zahir al-Aslami dengan sanad-sanad yang sahih lagi baik. (Lihat al-Mughni, 9/407).

Larangan ini adalah berdasarkan kepada riwayat Ali bin Abu Talib R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ مُتْعَةِ النِّسَاءِ يَوْمَ خَيْبَرَ، وَعَنْ أَكْلِ لُحُومِ الحُمُرِ الإِنْسِيَّةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada melakukan (nikah) mut‘ah terhadap wanita pada hari (peperangan) Khaibar serta (melarang) daripada memakan daging keldai peliharaan.”

Riwayat al-Bukhari (4216) dan Muslim (1407)

Begitu juga daripada riwayat Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

نَهى النبيُّ ﷺ عن أكْلِ لُحُومِ الحُمُرِ الأهْلِيَّةِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang daripada memakan daging keldai peliharaan.”

Riwayat al-Bukhari (4218) dan Muslim (561)

Ibn Qudamah menyebutkan bahawa sebab pengharamannya adalah sudah jelas, iaitu kerana ia memakan kotoran berdasarkan riwayat Abdullah bin Abu Aufa. (Lihat al-Mughni, 9/407). Dalam riwayat tersebut, Ibn Abi Aufa R.Anhuma berkata:

أَصَابَتْنَا مَجَاعَةٌ يَوْمَ خَيْبَرَ فَإِنَّ القُدُورَ لَتَغْلِي، قَالَ: وَبَعْضُهَا نَضِجَتْ، فَجَاءَ مُنَادِي النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ تَأْكُلُوا مِنْ لُحُومِ الحُمُرِ شَيْئًا، وَأَهْرِقُوهَا. قَالَ ابْنُ أَبِي أَوْفَى: فَتَحَدَّثْنَا أَنَّهُ إِنَّمَا نَهَى عَنْهَا لِأَنَّهَا لَمْ تُخَمَّسْ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: نَهَى عَنْهَا البَتَّةَ لِأَنَّهَا كَانَتْ تَأْكُلُ العَذِرَةَ

Maksudnya: “Kami mengalami kelaparan pada hari (berlakunya peperangan) Khaibar dan sesungguhnya periuk-periuk sedang mendidih. Dia berkata lagi: “Dan sebahagiannya telah masak.” Kemudian datang penyeru (yang diutus oleh) Nabi SAW menyeru dengan berkata: “Janganlah kamu makan daripada daging-daging keldai itu walaupun sedikit dan buangkanlah ia.” Ibn Abi Aufa berkata: “Kami pun saling berbincang bahawa sesungguhnya Baginda melarang daripada (memakannya) kerana belum dibahagikan seperlima daripadanya.” Dan sebahagian mereka pula berkata: “Baginda melarang memakannya sama sekali kerana keldai biasanya memakan kotoran.”

Riwayat al-Bukhari (4220)

Manakala Anas bin Malik R.A meriwayatkan pada hari khaibar bahawa Rasulullah SAW meminta penyerunya untuk menyampaikan kepada manusia:

إنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَنْهَيَانِكُمْ عَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ فَإِنَّهَا رِجْسٌ أَوْ نَجِسٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan rasul-Nya melarang kalian semua daripada memakan daging keldai kerana ia adalah kotor atau najis.”

Riwayat al-Bukhari (4198) dan Muslim (1940)]

Al-Syaukani telah menukilkan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang menyatakan bahawa telah hilang kemungkinan-kemungkinan (ihtimalat) tersebut dengan hadith Anas yang menyebutkan bahawa (فَإِنَّهَا رِجْسٌ — “kerana ia adalah najis.”). Demikianlah juga, perintah supaya membasuh bekasnya. Al-Qurtubi ada menyebutkan bahawa dhamir (ها) pada lafaz (فَإِنَّهَا رِجْسٌ) kembali kepada daging keldai tersebut kerana ia ialah topik atau perkara yang dibahaskan serta yang diperintahkan untuk dituang (yakni dibuang) dan dibasuh bekasnya. Justeru, ini menunjukkan bahawa hukumnya adalah najis dan ia menunjukkan bahawa pengharaman daripada memakan dagingnya itu adalah disebabkan oleh zatnya sendiri dan bukannya faktor luar.  Begitu juga, Ibn Daqiq al-‘Id ada menyatakan bahawa perintah supaya menuangkan periuk tersebut secara zahirnya adalah disebabkan oleh keharaman daging keldai peliharaan itu. (Lihat Nail al-Autar, 8/129 dan Fath al-Bari, 9/656).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa tidak dibolehkan untuk menjual keldai jinak kepada sesiapa yang diketahui atau mempunyai sangkaan yang kuat dia akan memakan keldai jinak tersebut. Ini kerana ia termasuk dalam perbuatan membantu kepada perkara dosa dan maksiat.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).

Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan membantu orang lain dalam melakukan perkara yang berdosa adalah diharamkan. Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:

إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya:Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no. 666).

Oleh itu, walaupun seseorang itu tidak melakukan sendiri maksiat tersebut, namun perbuatannya dalam menolong orang lain untuk melakukan perbuatan maksiat akan turut dianggap sebagai maksiat.

Tambahan lagi, Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu, Dia turut mengharamkan hasil jualannya, perniagaan yang mengandunginya dan membantu hal-hal yang melibatkannya. Maka, Allah SWT telah mengharamkan daging keldai jinak, maka diharamkan juga berjual beli dengannya, menghidangkannya dan membantu untuk memakannya.

Terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaan kota Makkah:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: لاَ، هُوَ حَرَامٌ. ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala. Ditanyakan (oleh seseorang): ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?’ Nabi SAW bersabda: ‘Tidak boleh, itu adalah haram.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda saat itu juga: ‘Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.’

Riwayat al-Bukhari (2236)

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, majoriti ulama berpendapat bahawa setiap perkara yang bertujuan untuk melakukan perkara haram, dan setiap tindakan yang membawa kepada maksiat adalah haram. Maka, dilarang menjual apa sahaja yang diketahui bahawa pembeli berniat untuk menggunakannya bagi tujuan yang tidak dibenarkan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 9/213).

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyebutkan dalam al-Syarh al-Mumti‘ (8/115) selepas menyebut bahawa jual beli keldai dibenarkan secara ijma‘ ulama. Beliau menyebutkan, sekiranya ada yang berkata: “Bagaimana dengan sabda Rasulullah SAW, ‘Sesungguhnya Allah apabila mengharamkan sesuatu, Dia turut mengharamkan hasil jualannya?’ Baghal haram dimakan, begitu juga keldai (jinak).” Kami menjawabnya dengan menyatakan, pengharaman hasil jualannya merujuk kepada hasil jualan perkara yang haram itu sendiri. Oleh itu, jika seseorang membeli baghal untuk dimakan, maka itu adalah haram baginya. Tidak boleh mengambil sesuatu sebagai balasan/imbalan bagi perkara yang haram. Akan tetapi jika dia membelinya bukan untuk dimakan, tetapi untuk ditunggangi, dan menungganginya serta memanfaatkannya (dengan cara sebegitu) adalah halal, (maka dibolehkan juga untuk jual belinya bagi hal tersebut). Jadi, hadith itu tidak bertentangan.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat dan tegaskan sekali lagi bahawa tidak dibolehkan untuk menjual keldai jinak kepada sesiapa yang diketahui atau mempunyai sangkaan yang kuat bahawa dia akan memakan keldai jinak tersebut. Ini kerana ia termasuk dalam perbuatan membantu kepada perkara dosa dan maksiat. Bahkan menjadi kewajipan untuk menegur mereka yang memakan daging tersebut dan menjelaskan bahawa ia adalah haram jika dia berkemampuan untuk melakukannya.

Namun, sekiranya tidak diketahui atau adanya sangkaan kuat bahawa keldai jinak itu dibeli untuk dimakan, maka dibolehkan untuk menjual keldai jinak kepada orang tersebut sebagaimana hukum asalnya kerana boleh jadi keldai itu akan dimanfaat sebagai haiwan tunggangan dan lain-lain manfaat yang diharuskan.

Pada masa yang sama, kita hendaklah bersangka baik atau bersikap husn al-Zan sesama manusia, yang mana ia merupakan satu perkara besar dan penting untuk dijadikan amalan bagi setiap insan yang bergelar Mukmin. Lebih-lebih lagi kita diperintahkan untuk menjauhi kebanyakan daripada prasangka kerana sebahagiannya adalah dosa. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang hamba-Nya daripada banyak buruk sangka dengan orang beriman kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Perkara tersebut adalah seperti sangkaan yang bukan berdasarkan hakikatnya sebenar mahupun bukti, begitu juga seperti sangkaan buruk, yang dikaitkan dengan banyak perkataan dan perbuatan yang diharamkan (dilarang). Apabila sangkaan buruk itu kekal di dalam hati seseorang, ia tidak terhad kepada itu sahaja, malah dia akan meneruskannya sehingga dia mengatakan apa yang tidak sepatutnya dan melakukan apa yang tidak sepatutnya, yang dalam pada itu juga termasuklah berburuk sangka dengan orang Islam, membencinya dan memusuhinya yang mana ia sepatutnya tidak berlaku.  (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/801).

Selain itu, Syeikh Dr. ‘Abd al-Bari ‘Awad al-Thubaiti (Imam Masjid al-Nabawi) dalam satu khutbahnya menyebutkan, apabila penyakit berburuk sangka menular ke dalam diri, ia akan membawa kepada terlalu cepat membuat tuduhan, suka mencari kesalahan orang, suka menerima berita keburukan orang, suka mencari dan menyelidik rahsia keburukan orang. Oleh kerana itu, kita melihat orang yang bersikap buruk sangka sering berkata: “Saya akan cuba memastikan kebenaran perkara ini,” maka, dia mula mencari rahsia dan kemungkinan dia akan mengumpat. Mungkin juga, dia akan menyebut saudara Muslimnya dengan perkataan jahat maka dengan itu dia telah melakukan dosa yang berganda dan maksiat yang merosakkan. Di sini tersembunyi satu bahaya apabila hubungan sesama Muslim dibina di atas sikap berprasangka buruk, maka sangkaan menjadi asas kepada kasih sayang atau kebencian terhadap seseorang. Semua ini adalah pembunuh sikap berkasih sayang dan memusnahkan makna mahabbah.

Menebalnya sikap berprasangka buruk akan menjadikan manusia mudah melemparkan tuduhan terhadap sesama mereka, kemudian tidak akan ada lagi sikap saling percaya-mempercayai, bahkan mereka akan sering berbalah-balahan, tidak bertegur sapa dan memutuskan hubungan, ini merupakan suatu sikap yang akan membawa kepada hilangnya kekuatan dan keutuhan umat.

Sangkaan itu terbina di atas agakan atau dengan sebab satu perkataan atau amalan yang adanya kemungkinan. Sangkaan akan menjadikan seseorang menurut perasaan di dalam dirinya yang suka membuat tohmahan terhadap saudaranya, maka dengan itu ‘sangkaan’ akan menguasai dirinya dan juga cara pemikirannya. Sehingga kamu akan mendapati orang yang bersikap dengan prasangka buruk akan merasakan seseorang yang disangkakan tidak baik itu telah melakukan kesalahan yang banyak berdasarkan khayalan sangkaannya hasil daripada sikap buruk sangkaannya terhadap saudaranya.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat Khutbah Aidil Fitri 1422H yang bertajuk: “Su’ al-Zan,” bertarikh: 1/10/1422, bertempat di Masjid Nabawi.  http://alminbar.net/alkhutab/khutbaa.asp?mediaURL=5867. Diakses pada 6 April 2023.

Leave a Reply