Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 92 daripada Surah Yunus?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ

Maksudnya: “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.

(Surah Yunus: 92)

Al-Sya‘rawi berkata: Allah tidak memerintahkan laut untuk menelan jasad Firaun, kerana  hal ini akan dikatakan orang bahawa Firaun itu tuhan dan akan kembali semula. Tetapi Allah menghendaki jasad Firaun dijumpai dan dimuntahkan oleh laut supaya tiada lagi syak di sana, Firaun telah mati lemas dan kaumnya boleh melihat hakikat sebenar. Itulah manusia Firaun yang menjadi iktibar kepada semua selepas ia dianggap pemimpin yang zalim, perkasa lagi melampau. (Lihat Tafsir Sya’rawi, 10/6183)

Kisah Dr Maurice Bucaille cukup mengujakan kita betapa benarnya ayat Allah. Ia merupakan satu kisah tentang saintis bukan Islam yang bernama Profesor. Dr. Maurice Bucaille, yang mana akhirnya menerima Islam setelah mengkaji tentang mayat Firaun yang sudah ribuan tahun tetapi mayatnya tetap utuh seperti baru sahaja mati. Beliau telah ditawarkan dengan sejumlah dana bagi tujuan untuk menganalisis mumia Firaun.

Profesor Dr. Bucaille bersama anggota pasukannya kemudian berjaya mengungkapkan penyebab kepada kematian Firaun dan pengawetannya. Menurut beliau, dalam satu penelitian perubatan yang dilakukan dengan mengambil sampel organ tertentu daripada jasad mumia yang ditemui, pada tahun 1975, melalui bantuan Prof Michfl Durigon dan pemeriksaan yang terperinci dengan menggunakan mikroskop, bahagian terkecil dalam organ itu masih dalam kondisi terpelihara secara sempurna dan menemui garam laut di dalam perut mumia Firaun. Ini menunjukkan bahawa Firaun mati tenggelam di dalam Laut Merah dan keterpeliharaan secara sempurna itu tidak mungkin terjadi jika jasad tersebut tenggelam ribuan tahun lamanya dalam air atau berada lama di luar air sebelum terjadi proses pengawetan pertama.

Tetapi orang Islam sudah tahu semua itu lebih 1400 tahun lebih melalui al-Quran ayat 92 surah Yunus: “Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.” Ayat ini amat mengejutkan Profesor Dr Bucaille. Bagaimana Muhammad tahu tentang semua ini tanpa peralatan yang canggih! Siapa yang memberitahu Muhammad! Bagaimana al-Quran dengan tepat dan benar dalam menjelaskan tentang mayat Firaun yang berlaku ribuan tahun selepas tenggelamnya Firaun dalam laut Merah itu dan hal mayat Firaun ini tidak disebutkan dalam kitab lainnya.

Profesor Dr Bucaille mengatakan; “Di zaman di mana al-Quran sampai kepada manusia melalui Muhammad SAW, jasad-jasad para Firaun yang diragui orang ramai pada zaman moden ini, apakah benar atau tidak, ada kaitannya dengan saat keluarnya Musa yang sudah lama terpendam di perkuburan Lembah Raja di Thoba di pinggir lain dari sungai Nil di depan Kota al-Aqshar saat ini. Pada masa Nabi Muhammad SAW, segala sesuatu mengenai hal ini masih kabur. Jasad-jasad tersebut belum terungkap, kecuali pada pengujung abad ke-19. Akhirnya Profesor Dr Bucaille memeluk Islam. (Lihat  Pengkaji Mumia Firaun Peluk Islam Bukti Kehebatan al-Quran Namun Umat Akhir Zaman Menjauhinya di www.mstar.com.my/xpose/addin/2019/08/14/ )

Dengan sebab kajian tersebut, Prof. Dr. Maurice Bucaille telah dianugerahkan dengan anugerah dalam bidang Sains pada abad ke-20 ini dan dianggap penemuan yang terbesar. Keputusan tentang mumia itu telah mendapat pengiktirafan daripada Akademi Perubatan dan Persatuan Perubatan Forensik Perancis. Kemudian beliau telah menerbitkan buku bertajuk ‘Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (tajuk asalnya; Les Momies des Pharaons et la Médecine). tentang mumia Firaun dan ubat-ubatan purba. Beliau menerima pingat Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Académie Française dan anugerah Prix Général daripada Académie Nationale de Médecine, Perancis pada tahun 1988.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply