Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, betulkah solat sunat tidak sah kalau tidak qadha solat fardhu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman di dalam Hadith Qudsi:

مَن عادَى لي وَلِيًّا فقَدْ آذَنْتُهُ بالحَرْبِ، وما تَقَرَّبَ إلَيَّ عَبْدِي بشَيءٍ أحَبَّ إلَيَّ ممَّا افْتَرَضْتُ عليه، وما يَزالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إلَيَّ بالنَّوافِلِ حتَّى أُحِبَّهُ، فإذا أحْبَبْتُهُ، كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذي يَسْمَعُ به، وبَصَرَهُ الَّذي يُبْصِرُ به، ويَدَهُ الَّتي يَبْطِشُ بها، ورِجْلَهُ الَّتي يَمْشِي بها، وإنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، ولَئِنِ اسْتَعاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ، وما تَرَدَّدْتُ عن شَيءٍ أنا فاعِلُهُ تَرَدُّدِي عن نَفْسِ المُؤْمِنِ؛ يَكْرَهُ المَوْتَ، وأنا أكْرَهُ مَساءَتَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang memusuhi Wali-Ku maka aku mengisytiharkan perang terhadap dirinya. Dan tidaklah seorang hamba-Ku mendekati-Ku dengan amalan yang Aku paling sukai, melainkan dengan amalan yang Aku wajibkan ke atas dirinya. Dan hamba-Ku itu sering mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila aku mencintainya, maka Akulah yang menjadi pendengarannya yang dia mendengar dengannya, penglihatannya yang dia melihat dengannya, tangannya yang dia gunakan untuk bekerja dengannya, dan kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta, akan Aku berikan. Jika dia minta perlindungan-Ku, pasti Aku akan lindungi dia. Tiada yang buatkan Aku teragak-agak melainkan ketika Aku mengurus jiwa seorang Mukmin, dia tidak menyukai sakitnya kematian, dan Aku juga tidak mahu untuk menyakiti dirinya.”

Riwayat al-Bukhari (6502)

Imam Ibn Hubairah ketika mensyarahkan Hadith Qudsi di atas ini menyatakan, ia menunjukan bahawa amalan sunat tidak boleh didahulukan melebihi amalan wajib/fardhu. Ia dinamakan nafilah (tambahan) dan digelar sebagai ibadah tambahan apabila setelah kita sempurna melaksanakan ibadah fardhu/wajib. Jika tidak, ia tidak dinamakan sebagai nafilah (tambahan). Kemudian lafaz: [Dan hamba-Ku itu sering mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya] kerana ibadah sunat itu dilaksanakan selepas selesai melaksanakan ibadah wajib/fardhu, berdalilkan bahawa anjuran melakukan ibadah sunat disebut selepas arahan melaksanakan ibadah fardhu. Dalam erti kata lain, sekiranya hamba itu sentiasa konsisten melaksanakan ibadah sunat, itu akan membawa dirinya kepada martabat dirinya dicintai oleh Allah SWT.” (Lihat al-Ifsah ‘an Ma‘ani al-Sihah, 7/303)

Maksud yang dikehendaki daripada hadith di atas adalah, pahala ibadah sunat hanya bernilai apabila ibadah-ibadah wajib dan fardhu selesai dilaksanakan dengan sempurna. Ia dipanggil Sihhah al-Thawab wa al-Ajr (iaitu kewujudan pahala dan ganjaran). Kewujudan pahala di sisi Allah ini akan ternafi jika ibadah fardhu tidak dilaksanakan.

Adapun Sihhah al-‘Ibadah secara zahir; iaitu status sah atau tidak ibadah sunat secara zahir dan luaran, ia tetap dikira sah apabila memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Perbahasan ini sama dengan kes seseorang melaksanakan Haji dengan harta yang haram. Hajinya tetap dinilai sah dan tidak perlu diulang, namun dia menanggung dosa memakan harta yang haram.

Oleh yang demikian, berhubung dengan soalan yang diajukan kepada kami di atas ini, kami tegaskan bahawa Solat Sunat tetap dinilai sah apabila memenuhi syarat dan rukun Solat. Meskipun seseorang belum menyempurnakan qadha’ ibadah-ibadah Fardhu.

Namun wajib diingatkan bahawa, solat-solat fardhu yang belum diqadha’ adalah hutang kepada Allah SWT yang wajib dilangsaikan, menunda untuk melaksanakan kewajiban akan menyebabkan pelakunya berdosa besar. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

إِنَّنِیۤ أَنَا ٱللَّهُ لَاۤ إِلَـٰهَ إِلَّاۤ أَنَا۠ فَٱعۡبُدۡنِی وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكۡرِیۤ

Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan selain Aku maka sembahlah Daku sahaja dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

(Surah Taha: 14)

Ayat Quran di atas ini ditafsirkan oleh Rasulullah SAW sendiri sebagai kewajiban untuk segera melaksanakan solat fardhu yang pernah ditinggalkan apabila kembali mengingatinya.

Membayar hutang solat-solat yang pernah ditinggalkan (Qadha’ Solat) merupakan suatu kefarduan dan kewajiban hutang kepada Allah SWT yang wajib dilangsaikan. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلاةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ ﴿وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي﴾

Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa dan tertinggal solat, maka hendaklah dia melaksanakan solat tersebut sejurus sahaja mengingatinya. Tiada penebus baginya selain itu. Allah SWT berfirman (yang bermaksud): “Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” [Surah Taha: 14].

Riwayat al-Bukhari (597); Muslim (684)

Imam Abu Ibrahim al-Muzani menukilkan nas Imam al-Syafi’i yang berdalilkan hadith di atas ini, Imam al-Syafi’i berkata: “Seseorang yang meninggalkan solat, hendaklah dia mengqadha’ solat tersebut pada mana-mana waktu, tiada waktu larangan untuk melaksanakan solat qadha’ berdasarkan hadith di atas ini.” (Lihat Mukhtasar al-Muzani, hlm. 113)

Kesimpulannya, ibadah-ibadah sunat tetap dinilai sah secara zahirnya walaupun ibadah fardhu belum lengkap atau belum sempurna dilaksanakan. Sewajarnya, kita mengutamakan perlaksanaan Qadha’ sebagai pembayaran hutang lama yang wajib; sebelum hendak menunaikan ibadah-ibadah bersifat tambahan. Ibadah Fardhu jauh lebih utama berbanding ibadah Sunat.

Adapun jika seseorang itu tidak melaksanakan Solat Fardhu langsung, namun tiba-tiba dia melakukan solat-solat sunat; maka solat-solat sunat tersebut tidak akan diterima oleh Allah, kerana dia telah meninggalkan salah satu Rukun Islam yang begitu penting; iaitu Solat lima waktu. Pahala ibadah Sunat hanya bermanfaat selepas kita melaksanakan ibadah Fardhu secara umum. Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan: “Maka dapatlah kita ketahui bahawa konsisten melaksanakan ibadah-ibadah Sunat itu hanya bernilai di sisi Allah selepas menyempurnakan ibadah-ibadah Fardhu (secara umum); jika belum melaksanakan ibadah Fardhu, maka ibadah Sunat itu tidak diambil kira, tidak bernilai.” (Lihat al-Fath al-Mubin Syarh al-Arba‘in, hlm. 600)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply