Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Perlukan seseorang wanita itu mandi, jika dia sengaja beronani sekalipun tanpa keluar air mani? Mohon pencerahan mengenai perkara ini.Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Onani ialah perbuatan mengeluarkan mani dengan tangan. Lafaz “الاسْتِمْنَاء” atau onani berasal daripada kata terbitan “اسْتَمْنَى” iaitu usaha mengeluarkan air mani. Manakala dari sudut istilah pula ia bermaksud mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1097; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/97)

Kebanyakan ulama berpendapat perbuatan onani adalah haram. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya: “(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun: 5-7)

Imam al-Syafi‘i ketika mengulas ayat di atas menyebutkan, tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Begitu juga tidak halal perbuatan istimna’ — yakni mengeluarkan air mani. (Lihat al-Umm, 5/102)

Seterusnya, perbuatan onani yang mewajibkan pelakunya untuk mandi wajib, diikat dengan syarat keluarnya air mani. Sekiranya air mani tidak keluar disebabkan oleh zakar yang menahannya daripada keluar dan dia tidak mengetahui — atau nampak tanda-tanda — mengenai keluarnya air mani tersebut selepas itu, maka majoriti ulama termasuk mazhab Syafi‘i berpendapat tidak perlu mandi wajib. Begitulah juga halnya dengan seorang perempuan yang beronani, diwajibkan ke atasnya untuk mandi wajib jika keluar air mani dan tidak diwajibkan untuk mandi jika tidak keluar air mani. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/140; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/99)

Perkara ini juga adalah berdasarkan kepada hadith Aisyah R.Anha, beliau berkata:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الرَّجُلِ يَجِدُ الْبَلَلَ وَلاَ يَذْكُرُ احْتِلاَمًا قَالَ : يَغْتَسِلُ. وَعَنِ الرَّجُلِ يَرَى أَنَّهُ قَدِ احْتَلَمَ وَلاَ يَجِدُ الْبَلَلَ قَالَ: لاَ غُسْلَ عَلَيْهِ. فَقَالَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ: الْمَرْأَةُ تَرَى ذَلِكَ أَعَلَيْهَا غُسْلٌ قَالَ: نَعَمْ ، النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati dirinya basah tetapi dia tidak ingat mimpinya. Rasulullah SAW menjawab: ‘Dia hendaklah mandi.’ Baginda juga ditanya tentang seorang lelaki yang bermimpi tetapi mendapati dirinya tidak basah. Baginda menjawab: ‘Dia tidak wajib mandi.’ Kemudian Ummu Sulaim pula bertanya: ‘Jika perempuan bermimpi demikian, adakah dia wajib mandi?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Ya, kerana perempuan ialah pasangan kepada lelaki’.”

Riwayat Abu Dawud (236)

Selain daripada itu, perkara yang mesti diberi perhatian oleh kaum perempuan ialah had penentuan yang menunjukkan bahawa telah berlakunya inzal (keluar air mani) yang mewajibkannya untuk mandi. Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi menyebutkan, jika seorang perempuan itu air maninya telah keluar sehingga sampai ke farajnya, maka sekiranya dia seorang anak dara (yakni belum pernah berkahwin dan disetubuhi), tidak wajib ke atasnya untuk mandi sehinggalah air mani tersebut keluar daripada farajnya kerana bahagian dalam farajnya mengambil hukum bahagian anggota dalam (yakni bukan zahir dan nampak). Oleh kerana itu, tidak wajib ke atasnya membersihkan bahagian dalam farajnya ketika beristinja’ dan mandi wajib seperti mana hukum urethra — yakni saluran kencing — zakar. Manakala sekiranya dia seorang thayyib (yakni pernah berkahwin dan disetubuhi), maka wajib ke atasnya untuk mandi kerana diwajibkan juga ke atasnya untuk membasuh bahagian dalam farajnya ketika beristinja’. Justeru ia menyerupai hukum anggota zahir — yakni yang nampak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/140)

Habib Hasan al-Kaff dan al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi, seorang perempuan itu, tidak wajib untuk mandi melainkan setelah keluar air mani. Bagi anak dara (yakni yang belum pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani telah keluar dari farajnya — yakni melepasinya. Manakala bagi thayyib (yakni yang pernah berkahwin dan disetubuhi) pula, wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani tersebut telah sampai di tempat yang wajib untuknya basuh ketika beristinja’ — sekalipun masih belum keluar melepasi farajnya — iaitu bahagian yang terzahir (yakni nampak) ketika duduk atas kedua kakinya (duduk bercangkung) atau sewaktu membuang air — yakni qadha’ hajat.[9] Ini juga merupakan pendapat al-Hattab al-Maliki. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 114; Mughni al-Muhtaj, 1/214; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/49; Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, 1/307)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa seorang perempuan yang beronani diwajibkan ke atasnya untuk mandi wajib sekiranya keluar air mani disebabkan oleh perbuatan onaninya itu. Sekiranya tidak keluar air mani, maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk mandi wajib.

Walau bagaimanapun, had penentuan yang menentukan telah berlakunya inzal (keluar air mani) bagi mewajibkannya untuk mandi adalah berbeza bagi anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi) dan thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi). Sekiranya dia seorang anak dara, tidak wajib ke atasnya untuk mandi sehinggalah air mani tersebut keluar melepasi farajnya. Manakala jika dia seorang thayyib, wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani tersebut telah sampai di tempat yang wajib untuknya basuh ketika beristinja’ — sekalipun masih belum keluar melepasi farajnya — iaitu bahagian yang terzahir (yakni nampak) ketika duduk atas kedua kakinya (yakni duduk bercangkung) atau sewaktu membuang air.

Kami juga ingin mengambil kesempatan di sini, mengingatkan bahawa perbuatan beronani adalah haram dan boleh membawa kepada kesan-kesan sampingan yang negatif sama ada dari sudut emosi, kekuatan tubuh badan, dan pelbagai kesan yang lain. Justeru, bagi mereka yang sudah terlanjur melakukannya, segeralah meninggalkan perbuatan itu dan perbanyakkanlah beristighfar kepada Allah SWT. Moga-moga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita yang lalu dan seterusnya menjadikan kita lebih baik dari sebelumnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 23 Mac 2022 bersamaan 20 Syaaban 1443H

Leave a Reply