Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Di sesetengah negara, terdapat sejenis hidangan yang berasaskan kepada telur semut atau dipanggil sebagai kroto. Apakah hukum makan hidangan kroto tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-Maidah: 87)
Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122)
Definisi kroto
Kroto merupakan nama yang digunakan untuk merujuk kepada telur semut. Kroto biasanya disebut untuk larva semut rangrang (kerengga) yang lebih besar daripada saiz telur semut yang lain. Kroto dihasilkan oleh ratu semut rangrang dan kewujudannya dilindungi ketat oleh semut pekerja dan biasanya tersembunyi dalam gulungan daun. Bilangan telur yang dihasilkan boleh menjadi sangat banyak sehingga mencecah ribuan telur dan bilangan pekerja yang menjaganya juga sangat ramai. Dikatakan bahawa kroto mengandungi banyak nutrien penting yang diperlukan oleh haiwan dan manusia. Selain itu, kroto juga telah lama digunakan sebagai ubat herba, tetapi ia lebih popular dijadikan sebagai makanan burung atau ayam kerana kandungan nutrisinya akan menjadikan burung lebih lincah dan kicauan yang lebih merdu.[1]
Hukum makan kroto
Pada asasnya, semut termasuk dalam jenis haiwan yang haram dimakan kerana kerana ia termasuk dalam jenis serangga atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah. Justeru ia dianggap jijik dan kotor, serta tabiat semula jadi manusia menjauhinya. Ini merupakan pendapat dalam mazhab Syafi‘i, Abu Hanifah, Ahmad dan Daud sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2793; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/15-16)
Pengharaman ini adalah selari sebagaimana firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Menurut al-Maraghi “الطَّيِّبَاتِ” ialah makanan yang dirasakan baik oleh perasaan manusia, bahkan yang berguna sebagai makanan yang berzat dan berkhasiat. Manakala perkataan “الْخَبَائِثَ” pula bermaksud diharamkan buat mereka daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/82-83)
Malah Fakhruddin al-Razi ada menyebutkan bahawa semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Oleh itu, setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan hukumnya yang berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)
Begitu juga, Ibn Hazm al-Zahiri juga berpendapat bahawa tidak halal untuk makan siput daratan dan juga apa sahaja haiwan yang tergolong sebagai hasyarat (iaitu serangga atau haiwan kecil yang melata) seperti cicak, kumbang, semut, lebah, lalat dan lain-lain yang termasuk dalam jenisnya kerana haiwan-haiwan itu tidak boleh disembelih. Hal ini kerana sembelihan hanya berlaku pada leher atau dada haiwan tersebut sahaja. Adapun mana-mana haiwan yang tidak boleh disembelih, maka tiada jalan atau cara untuk memakannya. Oleh itu, ia adalah haram untuk dimakan kerana terdapatnya halangan bagi memakannya — yakni tidak boleh disembelih — kecuali bangkai yang tidak perlu kepada sembelihan. (Lihat al-Muhalla, 6/77)
Selanjutnya, mengenai hukum telur pula Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa telur daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci secara ijmak. Manakala telur daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya pula, padanya terdapat dua pendapat. Pendapat yang kuat dalam hal ini adalah ia dikira suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/555)
Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi dengan mengatakan bahawa terdapat khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kehalalan memakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya. Dinyatakan di dalam kitab al-Majmu‘, jika kita katakan bahawa telur itu dikira suci — dan ia adalah pendapat yang rajih — maka dihalalkan untuk memakannya tanpa sebarang khilaf kerana telur adalah suci dan tidak dianggap jijik. Walau bagaimanapun, diharamkan untuk memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular. Selain daripada itu, al-Suyuti ada menyebutkan bahawa sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i mengecualikan telur ular dan telur serangga, serta tidak ada syak pada pengecualian ini. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/158; Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/82; al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 695)
Oleh itu, kita dapat rumuskan bahawa semua jenis telur adalah halal dan harus untuk dimakan kecuali telur ular kerana terdapat mudarat padanya. Begitu juga telur serangga termasuklah telur semut haram dimakan kerana ia dianggap jijik menurut sebahagian ulama. Lebih-lebih lagi terdapat larangan daripada membunuh semut sebagaimana hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ أَرْبَعٍ مِنَ الدَّوَابِّ: النَّمْلَةِ، وَالنَّحْلَةِ، وَالْهُدْهُدِ، وَالصُّرَدِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada membunuh empat binatang yang melata iaitu semut, lebah, hud-hud dan al-Surad (sejenis burung lang).”
Riwayat Ahmad (3066). Menurut Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut, hadith ini adalah sahih.
Imam al-Nawawi menjelaskan lagi dengan menukilkan daripada Imam al-Syafi‘i dan ashabnya — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — yang menyebutkan bahawa apa-apa haiwan yang dilarang daripada membunuhnya, hukumnya adalah haram untuk dimakan kerana jika ia adalah halal untuk dimakan, maka sudah tentu tidak akan dilarang daripada membunuhnya sebagaimana tidak dilarang untuk membunuh — yakni menyembelih — haiwan yang halal untuk dimakan. Contohnya ialah semut dan lebah, kedua-duanya adalah haram untuk dimakan — kerana terdapat larangan daripada membunuhnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/22)
Kesimpulannya
Justeru, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa kroto atau telur semut adalah haram untuk dimakan. Hal ini kerana terdapat larangan daripada membunuh semut yang merupakan ibu atau asalnya berdasarkan nas yang sahih. Justeru, hukum yang sama terpakai kepada cabangnya atau apa yang berasal daripadanya. Ini berdasarkan kaedah:
التَّابِعُ تَابِعٌ
Maksudnya: “(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).”
Begitu juga dengan kaedah:
الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ
Maksudnya: “Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”
Selain itu juga, ‘uruf atau adat masyarakat Islam di negara kita melihat telur semut atau ibunya — yakni asalnya — semut, termasuk dalam haiwan yang dianggap jijik untuk dimakan, maka ini menguatkan lagi hujah yang menunjukkan kepada pengharamannya sebagaimana pendapat sebahagian ulama yang mengecualikan telur serangga kerana kejijikannya. Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam
Bertarikh: 23 Mac 2022 bersamaan 20 Syaaban 1443H
[1] Lihat https://manfaat.co.id/manfaat-kroto. Diakses pada 22 Mac 2022.