Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu persoalan. Ayah saya sangat berkeinginan untuk pergi menunaikan haji tetapi tidak boleh atas sebab faktor usia dan kesihatan. Soalannya, adakah boleh untuk dilakukan badal haji untuk orang yang berada di dalam keadaan seperti itu? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya:Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.

(Surah Ali ‘Imran: 97)

Ayat ini menunjukkan bahawa ibadah haji dan umrah hanya wajib ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan. Seseorang itu dianggap berkemampuan apabila memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Harta ini termasuk tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, di samping perbelanjaan passport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah, sebagaimana yang dikehendaki oleh pemerintah. Semua harta tersebut mestilah lebihan daripada jumlah hutangnya, dan perbelanjaan ahli keluarga semasa ketiadaannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)

Jenis Kemampuan

Kemampuan mempunyai dua jenis, iaitu kemampuan secara langsung, dan tidak secara langsung.

Pertama: Kemampuan secara langsung bermaksud seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadah haji dan umrah disebabkan masih berupaya, iaitu badan yang sihat, sanggup menempuh perjalanan dan melakukan kerja-kerja ibadah tersebut tanpa mengalami kemudharatan yang berat dan kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya.

Kedua: Kemampuan secara tidak langsung bermaksud seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. Ini kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/124)

Badal Haji bagi pihak orang yang tidak sihat

Mewakilkan ibadah haji atau mengerjakan haji untuk orang lain dinamakan sebagai Badal Haji (upah haji). Al-Nawawi dalam syarahnya menyatakan, jumhur ulama berpendapat boleh untuk mewakilkan Haji ke atas orang yang telah meninggal dunia dan uzur yang tiada harapan untuk sembuh. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/27)

Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan bahawa dibolehkan bagi seseorang itu untuk melakukan ibadah haji ke atas orang lain yang berada dalam keadaan uzur yang berpanjangan iaitu tubuh badannya tidak mampu untuk melakukan ibadah haji. Hal ini berkemungkinan kerana keadaannya yang sudah tua dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Sedangkan dia berkemampuan dari segi harta untuk melakukan ibadah haji. Selain itu, tidak sah badal haji sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan badannya sekiranya dia masih hidup. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2098)

Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ الفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ، فَجَعَلَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ، وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَصْرِفُ وَجْهَ الفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الآخَرِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا، لاَ يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ، أَفَأَحُجُّ عَنْهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، وَذَلِكَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ

Maksudnya:Al-Fadhl membonceng tunggangan Rasulullah SAW, lalu datang seorang wanita daripada suku Khath‘am, lalu al-Fadhl melihat ke arah wanita tersebut, dan wanita itu melihat ke arahnya. Nabi SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke sisi (arah) lain. Lalu wanita itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas para hamba-Nya untuk menunaikan haji. Aku mendapati bapaku seorang yang sudah tua, sehingga tidak mampu untuk menunggang haiwan tunggangan. Adakah aku boleh melaksanakan haji untuknya?’ Baginda bersabda: ‘Ya (boleh).’ Demikian (perkara ini) berlaku ketika Baginda melaksanakan haji wada‘.

Riwayat al-Bukhari (1513)

Hadith di atas mengandungi penjelasan bahawa dibolehkan untuk melakukan badal haji bagi orang yang masih hidup tetapi telah tua dan tidak mampu lagi untuk menunaikan fardhu haji dengan sendiri. Ini merupakan pendapat Ibn al-Mubarak dan al-Syafi‘i. Di samping itu juga, ia mengandungi penjelasan bahawa seorang perempuan boleh menunaikan fardhu haji untuk pihak lelaki atau perempuan dan begitulah juga sebaliknya. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/637)

Oleh itu, jika wang yang dikumpulkan sudah mencukupi untuk menampung pembayaran ibadah haji, tetapi tidak dapat untuk melaksanakannya atas sebab keuzuran atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh, maka dalam hal ini dia wajib untuk mengupah atau mewakilkan orang lain menunaikan haji bagi pihaknya. Begitu juga, disyaratkan kepada wakil atau orang yang hendak melakukan badal tersebut, mestilah sudah melakukan haji bagi dirinya. Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ، قَالَ: «مَنْ شُبْرُمَةُ؟» قَالَ: أَخٌ لِي – أَوْ قَرِيبٌ لِي – قَالَ: «حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ؟» قَالَ: لَا، قَالَ: حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ

Maksudnya: Nabi SAW mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Labbaik ‘an Syubrumah (aku memenuhi panggilan-Mu, Ya Allah, atas nama Syubrumah.” Baginda SAW lantas bersabda: “Siapakah Syubrumah?” Dia menjawab: “Syubrumah ialah saudaraku.” — atau dia menjawab: “…kerabatku.” — Baginda SAW bertanya: “Adakah engkau sudah menunaikan haji untuk diri engkau sendiri?” Dia menjawab: “Belum.” Baginda SAW bersabda: “Tunaikanlah haji untuk diri engkau dahulu, kemudian barulah tunaikan haji bagi pihak Syubrumah.”

Riwayat Abu Dawud (1811) dan Ibn Majah (2903)

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara ini, sila rujuk juga artikel kami yang bertajuk: #228 Badal Haji bagi Orang yang Meninggal Dunia.[1]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa melakukan badal haji untuk orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh atau orang tua yang sudah terlalu uzur sehingga tidak mampu lagi untuk menunaikan haji dengan sendiri adalah dibolehkan syarak. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkemampuan dari segi kewangan hukumnya adalah wajib untuk mereka mewakilkan kepada orang lain bagi melakukan haji bagi pihak mereka.

Namun harus diberi perhatian, bahawa orang yang membadalkan haji bagi orang lain, wajib bagi dirinya untuk menunaikan haji terlebih dahulu sebagaimana yang disebutkan dalam hadith daripada riwayat Ibn Abbas di atas.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/228-badal-haji-bagi-orang-yang-meninggal-dunia/.

Leave a Reply