Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya mengerjakan badal haji untuk orang yang meninggal dunia? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya:Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.[1]

Ayat ini menunjukkan bahawa ibadah haji dan umrah hanya wajib ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan. Seseorang itu dianggap berkemampuan apabila memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Harta ini termasuk tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, di samping perbelanjaan passport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah, sebagaimana yang dikehendaki oleh pemerintah. Semua harta tersebut mestilah lebihan daripada jumlah hutangnya, dan perbelanjaan ahli keluarga semasa ketiadaannya.[2]

Jenis Kemampuan

Kemampuan mempunyai dua jenis, iaitu kemampuan secara langsung, dan tidak secara langsung.

Pertama: Kemampuan secara langsung bermaksud seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadah haji dan umrah disebabkan masih berupaya, iaitu badan yang sihat, sanggup menempuh perjalanan dan melakukan kerja-kerja ibadah tersebut tanpa mengalami kemudharatan yang berat dan kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya.

Kedua: Kemampuan secara tidak langsung bermaksud seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. Ini kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya.[3]

Badal Haji

Mewakilkan ibadah haji atau mengerjakan haji untuk orang lain dinamakan sebagai Badal Haji (upah haji). Al-Nawawi dalam syarahnya menyatakan, jumhur ulama berpendapat boleh untuk mewakilkan Haji ke atas orang yang telah meninggal dunia dan uzur yang tiada harapan untuk sembuh.[4]

Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan bahawa dibolehkan bagi seseorang itu untuk melakukan ibadah haji ke atas orang lain dalam dua keadaan:

  1. Uzur yang berpanjangan iaitu tubuh badannya tidak mampu untuk melakukan ibadah haji. Hal ini berkemungkinan kerana keadaannya yang sudah tua dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Sedangkan dia berkemampuan dari segi harta untuk melakukan ibadah haji. Selain itu, tidak sah badal haji sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan badannya sekiranya dia masih hidup.
  2. Meninggal dunia dan tidak sempat menunaikan ibadah haji. Maka wajib ke atas warisnya untuk menunaikan haji ke atasnya, sekiranya dia seorang berkemampuan dari segi kewangan.

Begitu juga harus menunaikan haji ke atas orang lain sama ada yang telah meninggal dunia ataupun yang uzur berpanjangan pada haji sunat.[5]

Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ

Maksudnya:Seorang wanita daripada (kabilah) Juhainah datang kepada Nabi SAW lalu berkata: ‘Sesungguhnya ibuku pernah bernazar untuk mengerjakan haji, namun dia belum mengerjakan haji sehinggalah dia wafat. Adakah aku boleh mengerjakan haji sebagai wakilnya?’ Baginda menjawab: ‘Ya, kerjakanlah haji sebagai wakilnya. Apakah pandanganmu bahawa jika ibumu mempunyai hutang, adakah engkau akan melunaskannya? Tunaikanlah hak Allah, kerana sesungguhnya hak Allah lebih berhak untuk dipenuhi.’[6]

Hadith yang lain pula, seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Bapaku telah meninggal dunia, sedangkan dia belum lagi mengerjakan haji. Bolehkah aku menunaikan haji bagi pihaknya?” Baginda bersabda:

أَرَأَيْتَ لَوْ كَانَ عَلَى أَبِيكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ بالوفاء

Maksudnya: “Bagaimanakah sekiranya bapa kamu berhutang, adakah kamu akan melunaskannya?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda lagi: “Hutang terhadap Allah lebih berhak ditunaikan.”[7]

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ الفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ، فَجَعَلَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ، وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَصْرِفُ وَجْهَ الفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الآخَرِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا، لاَ يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ، أَفَأَحُجُّ عَنْهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، وَذَلِكَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ

Maksudnya:Al-Fadhl membonceng tunggangan Rasulullah SAW, lalu datang seorang wanita daripada suku Khath‘am, lalu al-Fadhl melihat ke arah wanita tersebut, dan wanita itu melihat ke arahnya. Nabi SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke sisi (arah) lain. Lalu wanita itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas para hamba-Nya untuk menunaikan haji. Aku mendapati bapaku seorang yang sudah tua, sehingga tidak mampu untuk menunggang haiwan tunggangan. Adakah aku boleh melaksanakan haji untuknya?’ Baginda bersabda: ‘Ya (boleh).’ Demikian (perkara ini) berlaku ketika Baginda melaksanakan haji wada‘.[8]

Hadith di atas mengandungi penjelasan bahawa diharuskan untuk melakukan badal haji bagi seseorang yang telah meninggal dunia. Inilah pendapat para ulama dalam kalangan sahabat Nabi SAW dan selain mereka seperti al-Thauri, Ibn al-Mubarak, al-Syafi‘i, Ahmad dan Ishaq. Manakala Malik pula berpendapat bahawa sekiranya seseorang itu berwasiat agar ditunaikan haji bagi pihaknya, maka lakukanlah haji untuknya.

Selain itu, pada hadith tersebut juga terdapat kelonggaran untuk menunaikan fardhu haji bagi orang yang masih hidup tetapi telah tua dan tidak mampu lagi untuk menunaikan fardhu haji dengan sendiri. Ini merupakan pendapat Ibn al-Mubarak dan al-Syafi‘i. Di samping itu juga, ia mengandungi penjelasan bahawa seorang perempuan boleh menunaikan fardhu haji untuk pihak lelaki atau perempuan. Begitu juga seorang lelaki boleh menunaikan haji bagi pihak perempuan atau lelaki. Tidak terdapat sebarang nas yang menyanggahi perkara ini.[9]

Syarat Badal Haji Yang Sah

Walaupun syarat badal haji diharuskan tetapi hendaklah menepati syarat-syarat seperti berikut:

  1. Tidak sah badal haji bagi yang mampu untuk melakukannya sendiri.
  2. Boleh dilakukan upah haji ini kepada mereka yang sakit tak sembuh, lumpuh atau kepada mereka yang meninggal dunia.
  3. Badal haji tidak sah kepada orang fakir kerana ketiadaan wang, ia hanya untuk orang yang lumpuh atau sakit atau tidak berdaya dan tak sembuh daripada penyakitnya itu.
  4. Tidak harus seseorang itu melakukan badal haji kepada orang lain kecuali dia telah menunaikan haji untuk dirinya sendiri.
  5. Boleh bagi wanita ambil badal haji untuk lelaki dan sebaliknya.
  6. Bila mati seseorang itu dan dia memiliki wang, maka selayaknya dia dihajikan dengan diupah kepada orang lain dengan menggunakan wangnya sama ada dia berwasiat ataupun tidak.
  7. Sebaiknya badal haji itu dilaksanakan oleh anaknya, kerabatnya dan saudara mara yang terdekat dengannya. Jika dilakukan oleh orang lain, maka hukumnya adalah harus.
  8. Tidak boleh seseorang yang diwakilkan itu, mewakilkan pula kepada orang lain kecuali dengan syarat ia diberitahu kepada pemberi amanah tersebut dan dia bersetuju dengan tindakan itu.
  9. Perlu diwakilkan atau diupah haji itu kepada seorang yang baik, jujur, amanah dan berilmu untuk melaksanakan badal haji tersebut.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa hukum mengupah haji (badal haji) bagi pihak mereka yang telah meninggal dunia yang tidak sempat untuk menunaikan haji ketika hidup adalah dibolehkan syarak, namun hendaklah menepati sebagaimana syarat-syarat yang telah disebutkan di atas.

Demikianlah juga, adalah lebih baik dan afdhal, jika waris sendiri yang melaksanakan badal haji tersebut bagi pihak yang meninggal dunia atau yang diwakilkan. Sekiranya tiada waris terdekat yang boleh melaksanakannya, barulah mengupah orang lain untuk melaksanakannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah Ali ‘Imran: 97

[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/123.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/124.

[4] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/27.

[5] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2098

[6] Riwayat al-Bukhari (1852)

[7] Riwayat Ibn Hibban (3992); al-Nasa’i (2639)

[8] Riwayat al-Bukhari (1513)

[9] Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/637.

-29%

Siri Kematian

eBook 7 Siri Kematian

Rated 0 out of 5
RM30.00
-17%
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
-58%
RM50.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
-60%

Kajian Ilmiah

Fiqh Banjir

Rated 0 out of 5
RM2.00

Leave a Reply

Your email address will not be published.