Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum makan landak? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”
(Surah al-Baqarah: 168)
Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya — yakni makan dan ambil manfaat daripadanya, — bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya. Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk — yakni kotor dan jijik — seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu — yakni untuk dimakan dan diambil manfaatnya — adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80)
Definisi landak
Landak ialah haiwan yang mempunyai bulu yang panjang, lembut dan duri yang kuat keras di belakang, sisi dan ekornya. Duri landak adalah bulu kejur yang panjang, tajam yang bercantum (tumbuh bersama). Landak mempertahankan dirinya dengan menyerang musuh dengan ekornya yang berduri. Duri landak mudah tertanggal dan melekat pada daging penyerang. Duri baru tumbuh untuk menggantikan duri yang telah tanggal. Landak tidak boleh melepaskan duri pada musuhnya seperti yang disangka oleh sesetengah orang. Pada sesetengah jenis landak, hujung setiap durinya diliputi dengan unjuran kecil menghala ke belakang yang dinamakan cangkuk. Cangkuk ini mencangkuk daging mangsa dan durinya sukar untuk dicabut. Mangsa landak boleh mati akibat jangkitan yang disebabkan oleh kuman pada duri landak atau akibat kerosakan pada organ penting. Duri landak boleh tersangkut pada rahang mangsa, menjadikan mangsa tidak dapat membuka mulut lalu menyebabkan kelaparan. Fisher, anggota famili wesel, menyerang landak dengan menterbalikkannya.
Landak adalah rodensia, haiwan menggerogot. Ahli biologi mengelaskannya sebagai landak Dunia Lama dan landak Dunia Baru. Landak Dunia Lama tinggal di Afrika, Asia Tenggara, India, selatan Itali, dan negara-negara Balkan. Kebanyakan jenis landak Dunia Lama membesar sehingga kira-kira 70 sentimeter panjangnya, termasuk ekornya. Landak berjambul di Eropah mempunyai duri sehingga 30 sentimeter panjangnya. Landak berjambul betina melahirkan purata tiga ekor anak seperinduk dua kali setahun. Landak Dunia Lama tinggal dalam lubang dalam tanah dan tidak memanjat pokok.
Landak Dunia Baru tinggal di Amerika Utara dan Amerika Selatan. Haiwan ini banyak menghabiskan masa di atas pokok. Beberapa landak Amerika Selatan, yang dikenali sebagai coendous, boleh bergayut dengan menggunakan ekornya. Landak Amerika Utara panjangnya kira kira 65 sentimeter dan beratnya kira-kira sembilan kilogram. Durinya yang berwarna putih kekuningan, panjang dari lima hingga lapan sentimeter. Bulunya berwarna hitam keperangan. Landak Amerika Utara, tinggal terutamanya di hutan pokok pain. Ia memakan tumbuh-tumbuhan hijau dan kulit pokok. Ia kerap memanjat pokok untuk menanggalkan kulit pokok dari bahagian atas pokok. Dengan cara ini ia boleh mematikan pokok. Landak betina Amerika Utara melahirkan seekor anak pada musim bunga. Anaknya lahir dengan duri yang lembut, yang menjadi keras kemudian. Landak Amerika Utara sering tersalah panggil dengan nama hedgehog. Hedgehog sebenar tinggal hanya di Hemisfera Timur. Daging landak Amerika Utara boleh dimakan, tetapi tidak ramai orang menganggapnya sedap. Dari segi pengelasan saintifik. Landak Dunia Lama membentuk famili Hystricidae. Manakala landak Dunia Baru membentuk famili Erethizontidae. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (terj. DBP), 12/69-70)
Hukum makan landak
Mengenai hal ini, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:
أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 1)
Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:
وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ
Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”
(Surah al-Jathiyah: 13)
Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ
Maksudnya: “Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”
Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).
Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2)
Selain itu, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum memakan landak. Menurut Imam al-Nawawi, landak halal untuk dimakan dan tidak makruh memakannya di sisi ulama mazhab Syafi‘i, Malik dan jumhur ulama. Imam Ahmad pula berpendapat, landak haram untuk dimakan, manakala ashab Abu Hanifah pula memakruhkannya. Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, landak termasuk dalam jenis haiwan yang halal dimakan kerana ia tidak dianggap jijik oleh orang Arab. Oleh itu, apa-apa yang dianggap sebagai makanan yang baik-baik oleh orang Arab, maka ia adalah halal. Begitu juga apa-apa yang dianggap buruk oleh mereka, maka ia adalah haram. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/12; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2794)
Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Manakala ulama dalam kalangan mazhab Hanbali pula berpendapat, landak adalah haram untuk dimakan. Di dalam al-Syarh al-Mumti‘ dinyatakan bahawa pengharamannya adalah disebabkan oleh ia dianggap jijik oleh orang Arab. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144; al-Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 15/25)
Selain itu, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa beliau ditanya berkenaan hukum memakan landak. Lalu beliau membaca ayat:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah’.”
(Surah al-An‘am: 145)
Kemudian seorang lelaki tua yang berada di sisinya berkata: Aku mendengar Abu Hurairah R.A berkata:
ذُكِرَ عندَ النَّبيِّ ﷺ، فقالَ: إنَّها خبيثَةٌ مِن الخبائِثِ
Maksudnya: “Disebutkan di sisi Nabi SAW (berkenaan hukum landak), lalu Baginda bersabda: ‘Itu adalah sesuatu yang buruk di antara yang buruk.’”
Maka, Ibn Umar pun berkata: “Jika Rasulullah SAW menyebutkan sedemikian maka ia adalah sebagaimana yang disebutkan.”
Riwayat Abu Dawud (3799) dan Ahmad (8954)
Seterusnya, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sanadnya adalah lemah. Dinukilkan daripada al-Baihaqi, beliau menyebutkan bahawa hadith ini tidak diriwayatkan melainkan dengan sanad ini, dan dalam sanadnya terdapat perawi yang lemah. Selain itu, Sayyid Sabiq juga ada menyebutkan bahawa hadith ini daripada riwayat Isa bin Numailah dan dia ialah seorang perawi yang dhaif — yakni lemah. Tambahan lagi, al-Syaukani mengatakan bahawa hadith ini tidak boleh mengkhususkan hukum landak daripada dalil-dalil umum yang menghalalkannya. Justeru, berdasarkan apa yang disebutkan oleh al-Syaukani ini, menunjukkan bahawa ia adalah halal untuk dimakan. Begitu juga Imam Malik, Abu Thaur, dinukilkan daripada Imam al-Syafi‘i dan al-Laith bahawa tidak mengapa memakannya kerana orang Arab menganggapnya sebagai makanan yang baik-baik dan hadith yang menyatakan ia termasuk dalam jenis benda yang buruk adalah lemah. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Hanafi pula berpendapat, hukum memakannya adalah makruh. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/11; Fiqh al-Sunnah, 3/275)
Kesimpulannya:
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa landak termasuk dalam haiwan yang halal untuk dimakan sebagaimana pendapat jumhur ulama. Selain itu landak merupakan makanan yang dianggap baik-baik dan tidak dianggap jijik, sama ada oleh orang Arab mahupun masyarakat Islam di dalam negara kita.
Manakala hadith yang menyatakan mengenai pengharamannya pula tidak boleh dijadikan hujah kerana ia dinilai lemah. Justeru, hukum landak kembali kepada hukum asalnya iaitu harus dan halal untuk dimakan selagi mana tidak ada dalil yang menyatakan sebaliknya atau memudaratkan pemakannya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H