#735 Waktu untuk Bersahur

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bilakah waktu bermulanya untuk bersahur dan waktu yang paling baik untuk perkara tersebut bagi sesiapa yang ingin berpuasa? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, bersahur termasuk dalam perkara sunat yang digalakkan bagi sesiapa yang ingin berpuasa. Bahkan Ibn al-Munzir menyatakan bahawa umat telah bersepakat bahawa sahur termasuk dalam perkara sunat dan digalakkan, serta tidak berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360)

Di samping itu, Nabi SAW sendiri menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebihan dan keberkatan padanya.  Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya:Bersahurlah, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.

Riwayat al-Bukhari (1923)

Selain itu juga, bersahur ini merupakan pembeza di antara puasa orang islam dan puasa ahli kitab. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin al-‘As R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya:Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.”

Riwayat Muslim (1096)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, maknanya ialah perbezaan yang paling ketara antara puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab adalah bersahur. Hal ini kerana mereka tidak bersahur, sedangkan orang Islam disunatkan untuk bersahur. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/207)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan bahawa waktu bersahur bermula pada tengah malam. Begitu juga Imam al-Nawawi menyebutkan, waktu bersahur adalah di antara tengah malam dan terbitnya fajar. Walau bagaimanapun, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa masuknya waktu sahur adalah pada seperenam akhir malam. Selain daripada itu, maksud sahur itu tercapai dengan sebarang makanan sama ada banyak atau sedikit serta dengan air. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/89; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360; Mughni al-Muhtaj, 2/166; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَسَحَّروا، ولو بجُرْعةِ ماءٍ

Maksudnya:Hendaklah kamu bersahur, sekalipun dengan seteguk air.”

Riwayat Ibn Hibban (3476); Riwayat Abu Nu‘aim dalam Ma‘rifah al-Sahabah (4191); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (17/151) menyebutkan bahawa sanadnya adalah hasan.

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan selainnya telah bersepakat bahawa afdhal untuk melewatkan sahur. Dalam erti kata lain, disunatkan untuk melewatkan sahur sebelum terbit fajar. Kadar melewatkan waktu sahur dengan waktu fajar adalah kira-kira bacaan 50 ayat al-Quran. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360)

Perkara ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Zaid bin Thabit R.A, beliau berkata:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

Maksudnya:Kami bersahur bersama Nabi SAW. Kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku (Anas) bertanya: ‘Berapakah lama (tempoh masa) antara azan dan sahur?’ Beliau (Zaid) menjawab: ‘Kadarnya (kira-kira membaca) lima puluh ayat’.

Riwayat al-Bukhari (1921)

Menurut Imam al-Nawawi, maknanya ialah jarak antara kedua waktu tersebut dalam anggaran bacaan 50 ayat al-Quran, dan hadith ini mengandungi galakan untuk melewatkan sahur sehingga sebelum waktu fajar. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana yakni bukanlah ayat yang terlalu panjang, mahupun ayat yang terlalu pendek. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/208-209; Fath al-Bari, 4/138)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa waktu sahur adalah bermula pada pertengahan malam sehingga sebelum terbitnya fajar. Selain itu, disunatkan juga untuk melewatkan sahur dan ia termasuk dalam perkara yang afdhal.

Walau bagaimanapun, kami berpendapat bahawa waktu afdhal tersebut adalah berbeza mengikut individu dan jenis makanan atau juadah yang dimakan ketika bersahur sebagaimana dapat difahami kadar masa yang diambil untuk membaca 50 ayat al-Quran juga adalah berbeza bagi setiap individu. Justeru, dicadangkan sekiranya juadah sahur itu berat seperti nasi dan seumpamanya, maka makanlah lebih awal kira-kira 30 minit sebelum masuknya waktu Subuh. Manakala jika juadah tersebut ringan seperti kurma, air atau sebagainya, boleh mula makan kira-kira 15 minit sebelum azan Subuh.

Kemudian, kita juga disunatkan untuk berhenti makan lebih awal sedikit daripada masuknya waktu Subuh — yakni terbitnya fajar sadiq — dalam kira-kira 10 atau 5 minit sebagai langkah berhati-hati dan untuk bersiap-siap bagi menunaikan solat Subuh. Namun, pada waktu imsak ini jika masih ada yang makan atau minum, perbuatan tersebut tidak memudaratkan puasanya pada hari tersebut kerana ia masih dalam waktu yang dibenarkan untuk bersahur sehinggalah masuknya waktu Subuh. Meskipun begitu, kami mengambil kesempatan di sini, mencadangkan agar sahur itu diselesaikan sebelum masuknya waktu iaitu sebelum azan Subuh agar tidak timbul syubhah (keraguan).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *