Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita mengambil mushaf al-Quran yang diwakafkan ke masjid bagi kegunaan peribadi di rumah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا۟ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا۟ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَیۡءࣲ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِیمࣱ

Maksudnya: “Kamu tidak akan memperoleh pahala kebajikan yang sempurna sehingga kamu menginfakkan sebahagian daripada harta yang kamu sayangi. Apa jua yang kamu infak, maka sesungguhnya Allah mengetahui tentangnya.”

(Surah Ali ‘Imran: 92)

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa hadith ini dijadikan dalil anjuran di sisi fuqaha’ untuk bersedekah dengan segenap cara, antara cara tersebut adalah dengan melaksanakan ibadat wakaf. Diriwayatkan bahawa ayat ini turun kepada Abu Talhah R.A  menyerahkan sebidang taman kebun yang beliau paling sayangi untuk jalan Allah. Namun kisah tersebut secara khusus, terdapat beberapa kemusykilan dalam beberapa sudut keabsahan wakafnya. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

Begitu juga Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW juga bersabda:

إذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah catatan amalan daripadanya kecuali tiga perkara: sedekah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan buatnya.”

Riwayat Muslim (1631)

Imam Zainuddin al-Malibari berkata: “Sabda baginda: “sedekah yang berterusan” di dalam hadith di atas merupakan dalil anjuran untuk melakukan ibadat wakaf di sisi para ulama.” (Lihat Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain, hlm. 400)

Seterusnya, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diperuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Dalam Bahasa Arab pula, wakaf berasal daripada perkataan waqf (وَقَفَ) bererti berdiri atau berhenti. (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359). Imam Ibn al-Rif‘ah ketika mentakrifkan ibadat wakaf mengatakan perkataan lain yang sama erti dengan perkataan wakaf dari sudut bahasa ialah kalimat al-Habs ataual-Tahbis yang bermaksud menghentikan atau menahan. (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 12/3)

Dari sudut istilah pula, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf dalam konteks istilah syara’ sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan, dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa harta yang telah diwakafkan untuk masjid seperti mushaf al-Quran tidak sepatutnya diambil dan dibawa keluar dari masjid untuk kegunaan peribadi. Ini disebabkan oleh fakta bahawa harta yang diwakafkan itu diniatkan untuk kegunaan umum, yang diletakkan di masjid bagi kegunaan jemaah masjid. Oleh itu, adalah tidak wajar bagi seseorang untuk menggunakan harta wakaf untuk kegunaan atau kepentingan peribadi.

Imam Ibn Hajar al-Haitami pernah ditanya tentang air yang disedekahkan untuk tujuan bersuci di masjid, adakah dibenarkan seseorang memindahkannya ke tempat persembunyiannya dan menyimpannya di situ untuk tujuan bersuci, sambil menghalang orang lain daripada menggunakannya dan bagi keperluan di dalam masjid? Dan adakah boleh atau tidak perkara tersebut sekiranya dia tidak menghalang orang lain daripada menggunakannya? Beliau menjawab: “Sesiapa yang menyedekahkan air atau meninggalkan air untuk tujuan bersuci di sebuah masjid, tidak dibenarkan memindahkannya dari tempat itu untuk tujuan kesucian atau tujuan lain, dan menghalang orang lain daripada menggunakannya. Ini kerana air yang telah diinfaqkan adalah haram untuk dipindahkan ke tempat lain yang tidak berkaitan dengannya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 3/266)

Begitu juga Mantan Mufti Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz juga pernah ditanya berkenaan isu ini. Lalu beliau menjawab, tidak dibenarkan mengambilnya dari masjid, sebaliknya hendaklah ditinggalkan di dalam masjid supaya dapat digunakan oleh mereka yang berada di dalamnya, terutamanya para pembaca al-Quran, yang membacanya dan memperoleh manfaat daripadanya. Ini  kerana penempatannya di dalam masjid atau perpustakaan masjid adalah dengan tujuan memberi manfaat kepada manusia. Maka, janganlah mengambil al-Quran yang ada di dalamnya atau buku-buku yang ada di dalamnya.[1]

Demikian juga Mufti Mesir, Dr. Nasr Farid Wasil pernah ditanya berkenaan seseorang yang mengambil mushaf al-Quran yang diwakafkan untuk masjid? Lalu beliau menjawab, seseorang yang mengambil al-Quran yang telah diwakafkan untuk masjid dan membawanya keluar dari masjid adalah dianggap berdosa dan melakukan kesalahan. Ini kerana apabila seseorang mewakafkan al-Quran untuk kegunaan di masjid tertentu, al-Quran tersebut menjadi milik masjid, dan hak milik pewakaf berpindah sepenuhnya kepada masjid melalui niat dan lafaz wakaf itu.

Oleh itu, tidak dibenarkan sesiapa pun mengambil mushaf al-Quran dari masjid untuk dibawa keluar dari masjid. Namun, sekiranya seseorang mengambil al-Quran dan duduk di dalam masjid untuk membaca al-Quran dan tidak membawanya keluar dari masjid serta mengembalikannya ke tempat simpanannya di masjid setelah selesai membacanya, maka tiada dosa baginya dalam keadaan ini bahkan dia akan diberi pahala kerana membaca al-Quran.[2]

Justeru, kami ingin tegaskan sekali lagi bahawa tidak dibenarkan untuk mengambil atau membawa keluar mushaf al-Quran yang telah diwakafkan untuk masjid bagi kegunaan peribadi di luar masjid. Namun, sekiranya seseorang itu mengambil mushaf al-Quran untuk membacanya, sama ada di dalam masjid mahupun di luar kawasan masjid seperti di pekarangan masjid atau dataran masjid, kemudian selepas selesai membacanya dia memulangkannya semula di tempat asalnya, maka tiada dosa baginya dalam keadaan ini, bahkan dia mendapat pahala kerana membaca al-Quran. Hal ini adalah kembali atau bergantung semula kepada niatnya sebagaimana satu kaedah fiqhiyyah menyebutkan:

‌الأُمُورُ ‌بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara dinilai berdasarkan niat.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 8).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

 

Nota hujung:

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/12548/%D8%. Diakses pada 25 April 2024

[2] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/12411/اخذمصحفموقوفمنالمسجد. Diakses pada 1 November 2024.

Leave a Reply