Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya perhatikan, sebahagian imam akan berpaling menghadap kepada makmum apabila selesai memberi salam ketika solat. Adakah terdapat panduan daripada Nabi SAW berkenaan hal ini? Mohon pencerahan.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Galakan Zikir dan Doa Selepas Solat Fardhu

Pada asasnya, berzikir dan berdoa selepas solat fardu adalah amalan yang digalakkan. Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat hadis dan athar berkaitan galakan dan kelebihan amalan zikir dan berdoa selepas solat fardhu. Antaranya, hadith daripada Abu Umamah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah pernah ditanya tentang apakah doa yang paling didengari. Lalu Rasulullah SAW menjawab:

جَوْفَ اللَّيْلِ الْآخِرِ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya: “(Doa yang paling didengari ialah) ketika satu pertiga malam yang terakhir dan ketika selesai solat fardu.”

Riwayat al-Tirmizi (3499). Beliau berkata: Hadis ini adalah hadis Hasan.

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنَ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم-كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ

Maksudnya: “Terangkatnya suara (kuat) ketika berzikir adalah apabila orang ramai selesai menunaikan solat fardu. Ianya berlaku pada zaman Rasulullah saw. Maka aku tahu jika mereka selesai menunaikan solat adalah ketika aku mendengar suara mereka berzikir.”

Riwayat al-Bukhari (841) dan Muslim (1346)

Thauban R.A pula meriwayatkan dengan katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلاَتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلاَثًا وَقَالَ  اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila selesai menunaikan solat Baginda beristighfar sebanyak 3 kali seraya menyebut  : اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَام.”

Riwayat Muslim (1362)

Daripada al-Mughirah bin Syu’bah R.A, beliau menulis surat kepada Mu’awiyah:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ إِذَا فَرَغَ مِنَ الصَّلاَةِ وَسَلَّمَ قَالَ : لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلاَ مُعْطِىَ لِمَا مَنَعْتَ وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW apabila Baginda selesai menunaikan solat Baginda mengucapkan : لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلاَ مُعْطِىَ لِمَا مَنَعْتَ وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدّ

Kata Ibn Zubair: “Rasulullah SAW mengucapkannya setiap kali selepas menunaikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (844) dan Muslim (1366)

Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِى دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ فَتِلْكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bertasbih pada setiap kali selepas solat sebanyak 33 kali, bertahmid sebanyak 33 kali dan bertakbir sebanyak 33 kali. Kesemuanya adalah sebanyak 99 kali. Ketika mana sampai ke kali yang ke-100 dia mengucapkan : ‘لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرmaka diampunkan kesalahannya walaupun dosa tersebut sebanyak buih di lautan.”

Riwayat Muslim (1380)

Kesemuanya riwayat ini menunjukkan bahawa amalan berzikir setiap kali selepas solat fardu adalah amalan yang sentiasa dilazimi oleh Rasulullah SAW. Imam al-Nawawi menyebut: “Para ulama bersepakat terhadap keharusan zikir selepas menunaikan solat.” (Lihat al-Azkar, hlm. 57)

Justeru, berdasarkan beberapa riwayat di atas, dapat kita fahami bahawa amalan zikir dan berdoa selepas solat fardu adalah satu amalan yang amat digalakkan.

Imam Berpaling ke Kanan atau ke Kiri

Berdasarkan banyak riwayat dalam masalah ini, para ulama’ menyatakan bahawa disunatkan bagi imam untuk menghadap makmum setelah solat, atau menghadap ke kanan, atau ke kiri, sepertimana dijelaskan dalam beberapa riwayat.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أَكْثَرُ مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَنْصَرِفُ عَنْ يَمِيْنِهِ

Maksudnya: “Aku sering melihat Rasulullah SAW memalingkan wajahnya ke kanan.”

Riwayat Muslim (708)

Manakala dalam riwayat Ibn Mas’ud R.A, katanya:

لَقَدْ رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ كَثِيْرًا يَنْصَرِفُ عَنْ يَسَارِهِ

Maksudnya: “Aku telah melihat Nabi SAW sering menghadap ke kiri.”

Riwayat al-Bukhari (852)

Imam al-Nawawi berkata: Kedua riwayat itu boleh dihimpunkan dengan mengatakan bahawa Nabi SAW pada satu ketika berpaling ke arah kanan dan pada ketika yang lain, berpaling ke arah kiri. Maka masing-masing daripada kedua sahabat tersebut mengatakan apa yang menurut keyakinannya lebih sering. Hanya sahaja Ibn Mas’ud tidak menyukai adanya keyakinan untuk berpaling ke arah kanan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/24)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Kenyataan (Imam al-Nawawi) di atas sesuai dengan athar daripada Anas yang telah disebutkan. Keduanya boleh dihimpunkan melalui cara lain, iaitu hadith Ibn Mas’ud difahami ketika solat di masjid, kerana kamar Nabi SAW berada di sebelah kirinya. Manakala hadith Anas pada keadaan selain itu, seperti ketika safar (perjalanan musafir). Apabila berlaku percanggahan antara keyakinan Ibn Mas’ud dengan keyakinan Anas, maka yang perlu dikedepankan adalah keyakinan Ibn Mas’ud, kerana beliau lebih berilmu dan lebih tua, serta lebih banyak bersama Nabi SAW dan tempatnya lebih dekat kepada Nabi SAW ketika solat daripada Anas. Di samping itu, pada sanad hadith Anas terdapat perawi yang diperbincangkan, iaitu al-Suddi. Selain itu, hadith Ibn Mas’ud telah disepakati kesahihannya, berbeza dengan hadith Anas. Hadith Ibn Mas’ud juga sesuai dengan keadaan, yakni kamar Baginda SAW berada di sebelah kiri masjid seperti yang telah dijelaskan.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar lagi, kedua hadith tersebut juga boleh dihimpunkan dengan cara, yakni: Orang yang mengatakan Baginda SAW sering berpaling ke arah kirinya melihat keadaan Baginda SAW ketika solat. Manakala orang yang mengatakan bahawa Baginda SAW lebih sering berpaling ke arah kanannya melihat keadaan Baginda SAW ketika menghadap makmum selepas salam sesudah solat. Dengan demikian, maka berpaling setelah solat tidak ditetapkan pada arah tertentu. Daripada sini, maka para ulama’ menyukai berpaling ke arah yang dihajatinya. Akan tetapi, mereka mengatakan bahawa apabila kedua arah itu berada pada posisi yang sama, maka arah kanan lebih utama berdasarkan keumuman hadith-hadith yang menegaskan keutamaan mendahulukan yang kanan, sepertimana hadith Aisyah dalam pembahasan tentang taharah.

Ibn al-Manayyar berkata: Di sini terdapat dalil bahawa perbuatan yang hukumnya sunat boleh menjadi makruh apabila tidak ditempatkan sesuai dengan kadarnya, kerana mendahulukan yang kanan disukai dalam segala sesuatu, yakni dalam perkara ibadah. Akan tetapi, kerana Ibn Mas’ud khuatir akan diyakini sebagai suatu kewajiban, maka beliau mengisyaratkan perbuatan itu boleh menjadi makruh. Wallahu a’lam. (Lihat Fath al-Bari, 4/630)

Imam Berpaling Kepada Makmum Selepas Solat

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat hadith yang menunjukkan bahawa Nabi SAW melakukan hal yang sedemikian selepas daripada solat.

Daripada Samurah bin Jundub RA, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى صَلاَةً أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW apabila selesai menunaikan solat, Baginda SAW akan berpaling dengan wajahnya ke arah kami.”

Riwayat al-Bukhari (845)

 Daripada al-Barra’ R.A, katanya:

كُنَّا إِذَا صَلَّيْنَا خَلْفَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَحْبَبْنَا أَنْ نَكُونَ عَنْ يَمِينِهِ، يُقْبِلُ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ

Maksudnya: “Adapun kami telah solat di belakang Rasulullah SAW, kami amat suka untuk berada di sebelah kanannya kerana Baginda SAW akan berpaling kepada kami dengan wajahnya.” 

Riwayat Muslim (709)

Al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan hadith Samurah ini zahirnya menunjukkan bahawa Nabi SAW melazimi hal tersebut. Dikatakan antara hikmah mengadap ke arah makmum adalah untuk mengajar mereka apa yang mereka perlukan kepadanya. Maka hal ini dikhususkan bagi sesiapa yang berada pada keadaan Rasulullah SAW iaitu bagi tujuan mengajar dan memberi peringatan.

Selain itu, dikatakan lagi antara hikmahnya adalah agar orang yang berada di dalam masjid mengetahui bahawa solat telah selesai. Jika imam itu kekal dengan kedudukannya (mengadap ke arah kiblat) maka ini akan memberi gambaran (gambaran salah kepada makmum) seakan-akan dia (imam masih lagi di dalam solat) berada di dalam kedudukan tasyahhud. (Lihat Fath al-Bari, 2/334)

Nabi SAW apabila selesai daripada solat lalu Baginda SAW akan duduk selepas daripada itu. Di samping itu, Baginda SAW menyegerakan berpaling daripadanya dan membaca apa yang telah syariatkan kepada umatnya daripada zikir-zikir dan bacaan selepas daripada solat. Nabi SAW membaca istighfar sebanyak tiga kali apabila selesai daripada memberi salam. Setelah itu Baginda SAW membaca:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ، وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau sejahtera (daripada segala keaiban) dan daripada Engkau datangnya kesejahteraan, bertambah-tambah berkat-Mu, Tuhan Yang  Maha Kuasa lagi Maha Mulia.”

Baginda SAW tidak akan duduk secara mengadap kiblat melainkan dengan kadar yang disebutkan iaitu kadar zikir di atas. Bahkan Baginda SAW akan segera berpaling kepada makmum dan kadang-kadang Baginda SAW akan berpaling ke kanan dan juga ke kiri Baginda SAW. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/285)

Penutup

Berdasarkan keterangan di atas, kami katakan bahawa disunatkan bagi seorang imam itu untuk berpaling kepada makmumnya sama ada ke kanan, kiri atau mengadap kepada muka-muka makmumnya selepas daripada membaca sebahagian zikir sejurus selepas daripada solat.

Selain itu, dinyatakan di dalam kitab al-Mu’tamad bahawa perkara ini penting untuk dilakukan terutamanya pada solat fardhu kerana dibimbangi datang seseorang lalu duduk bersama imam kerana menyangka imam masih lagi di dalam solat. Untuk itu, hal ini akan tercapai apabila imam memalingkan wajahnya ke arah makmum atau dengan berpalingnya imam dan juga berpalingnya seseorang itu daripada kiblat. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’i, 1/316)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

Leave a Reply