#790: Zikir dalam Hati

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah zikir dalam hati juga diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi. Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya. (Lihat al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245)

Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT. (Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20)

Ibn ‘Allan pula menyimpulkannya sebagai apa yang kita ibadahkan berdasarkan lafaz-lafaz yang ditentukan oleh pembuat syariat (Allah SWT) bertujuan bagi mengagungkan Allah SWT dan memuji-muji-Nya. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah Syarh al-Azkar al-Nawawiyyah, 1/396)

Ini bermakna, zikir pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama. Bahkan ayat-ayat al-Qur’an banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT. Ada antara perintah tersebut berbentuk wajib seperti berzikir mengingati Allah SWT melalui solat lima waktu sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.”

(Surah Taha: 14)

Manakala ayat-ayat yang menyebut tentang perintah berzikir tanpa menyebut bentuk ibadah tertentu adalah tersangat banyak. Cukup dinyatakan di sini ayat 41 dalam surah al-Ahzab yang memerintahkan kita supaya memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT secara umum. Allah SWT berfirman dalam ayat tersebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”

(Surah al-Ahzab: 41-42)

Dengan itu, tidak diragukan lagi kepentingan berzikir kepada Allah SWT. Sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq. Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada Allah SWT disebut sebagai tasawuf. Kerana itu Imam Malik pernah mengatakan bahawa, barang siapa yang berfekah tanpa bertasawuf maka dia telah menjadi fasiq. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 1/478)

Di samping itu, berzikir merupakan suatu ibadah mengingati Allah SWT yang boleh dilakukan sama ada melalui lisan ataupun melalui jantung hati. Zikir menerusi lidah meliputi istighfar, berdoa, berselawat ke atas Rasulullah SAW, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, pembacaan al-Quran dan seumpamanya.

Membaca al-Quran turut termasuk dalam kategori perbuatan zikrullah. Kerana itu kita dapat melihat sebahagian mufassirin menafsirkan perkataan zikir yang terdapat di dalam al-Quran sebagai pembacaan al-Quran. Antaranya seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

MaksudnyaDan sesiapa yang berpaling dari mengingati-Ku maka buat dirinya kehidupan yang sempit dan Kami akan bangkitkan dia pada hari kiamat kelak dalam keadaan buta.”

(Surah Taha: 124)

Imam al-Qurtubi dalam tafsiran beliau ke atas kalimah ‘وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي’ berkata: “Iaitu (berpaling dari) agamaku, membaca kitab-Ku (al-Quran), dan (berpaling) daripada beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 11/258)

Ayat al-Quran dan Hadith Nabawi Berkenaan Tuntutan Berzikir

Antara ayat al-Quran berkaitan tuntutan berzikir adalah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”

(Surah al-Ahzab: 41)

Firman Allah SWT:

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar solat) pada waktu pagi dan petang.”

(Surah al-Insan: 25)

Di sana juga terdapat banyak hadith berkaitan galakan berzikir ini seperti hadith daripada Abu Musa R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”

Riwayat al-Bukhari (6407)

 Daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، قَالَ مَكِّيٌّ: وَأَزْكَاهَا، عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ، فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ ” قَالُوا: وَذَلِكَ مَا هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: ذِكْرُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Tidakkah kamu ingin aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Kata Makki: Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan duit. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung lehermu. Para sahabat berkata: Apakah perkara itu (kami ingin mengetahuinya) wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Azza Wa Jalla.”

Riwayat Ahmad (27102). Syeikh Syu’aib al-Arna’uth menilai sanad hadith ini adalah sahih.

Berzikir di dalam Hati

Dalam menjawab persoalan di atas, berikut kami kongsikan firman Allah SWT:

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً

Maksudnya: “Dan ingatlah Tuhan kamu di dalam diri kamu secara rendah diri dan penuh rasa takut.”

(Surah al-A’raf: 205)

Imam al-Tabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menukilkan pendapat Mujahid yang menyebut: “Mereka diperintahkan untuk mengingatinya (Allah) di dalam dada dengan penuh rendah diri dan juga penuh rasa takut.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 13/354)

Ini bererti perasaan rendah diri dan perasaan takut itu dihadirkan bersama dengan mengingati Allah SWT di dalam hati. Ini bertepatan dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَلِمَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ جَنَّتَانِ

Maksudnya: “Buat mereka yang takutkan maqam Tuhan mereka, ganjaran dua syurga.”

(Surah al-Rahman: 46)

Imam Ibn Abi al-Dunya menukilkan tafsiran Mujahid ke atas ayat ini yang menyebut: “Dia adalah seorang lelaki yang hendak melakukan suatu dosa, kemudian dia mengingati kedudukan Tuhannya, lalu dia pun meninggalkan dosa tersebut.” (Lihat al-Taubah oleh Ibn Abi al-Dunya, hlm. 67)

Maka jelas dari beberapa kenyataan di atas, zikir di dalam hati merujuk kepada mengingati Allah SWT serta merasai kebesaran dan ketinggian kedudukan Allah SWT di dalam jiwanya yang membawa dirinya kepada sikap rendah diri, serta takut kepada Allah SWT.

Daripada Abdullah bin Busr RA berkata: “Seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW: Sesungguhnya syariat Islam terlalu banyak untuk aku amalkan. Justeru tolong beritahu aku untuk aku menjadikan amalan seharianku.” Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَزَالُ لِسَانُكَ رَطْبًا مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya:  “Hendaklah lidah kamu selalu basah dengan berzikir kepada Allah (yakni terus meneruslah berzikir kepada Allah).”

Riwayat al-Tirmizi (3375), Ahmad (3375), Ibn Majah (3793), Ibn Hibban (2317), al-Hakim (1/495). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan bahawa sanad hadis ini sahih. Al-Hafiz Abu Tahir menyatakan sanad hadis ini hasan.

Guru kami, Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Jangan kamu jadikan lidahmu kosong daripada zikrullah. Ini tidak menegah kamu sekalipun kamu sedang melakukan sesuatu pekerjaan, tetapi lidahmu sentiasa zikrullah. Jika sekiranya kamu tidak mampu melakukan dengan lidahmu, maka zikirlah dengan hatimu, iaitu merasakan muraqabatullah.  (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, 1/456)

Imam Maimun Ibn Mihran berkata:

الذِّكْرُ ذِكْرَانِ ذِكْرُ اللهِ بِاللِّسَانِ، وَأَفْضَلُ مِنْ ذَلِكَ أَنْ تَذْكُرَهُ عِنْدَ الْمَعْصِيَةِ إِذَا أَشْرَفْتَ عَلَيْهَا

MaksudnyaZikir itu ada dua. Zikrullah dengan menggunakan lisan (lidah), dan yang lebih afdhal dari itu adalah kamu mengingatinya ketika mana kamu hampir melakukan maksiat.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 4/87)

Berdasarkan nas dan keterangan yang dikemukakan di atas, kami nyatakan bahawa berzikir di dalam hati dalam erti kata mengingati Allah SWT dan mengenangkan kekuasaan serta kebesaran-Nya merupakan suatu sunnah yang dituntut di sisi syarak dan memberikan ganjaran pahala yang besar kepada para pelakunya.

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang memperbanyakkan zikrullah menerusi lisan dan juga melalui jantung hati.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *