Soalan:        

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Baru-baru ini, saya ada membuat pesanan ayam goreng bahagian kepak dari sebuah kedai. Ketika memakannya, saya tidak perasan yang saya termakan bulu-bulu halus ayam yang berbaki pada kepak tersebut. Justeru, apakah hukumnya makan bulu ayam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya — yakni makan dan ambil manfaat daripadanya, — bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk — yakni kotor dan jijik — seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu — yakni untuk dimakan dan diambil manfaatnya — adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80)

Pada asasnya, sembelihan yang dilakukan pada haiwan yang halal dimakan, menunjukkan bahawa haiwan itu harus untuk dimakan secara keseluruhannya — yakni meliputi seluruh bahagian atau anggotanya yang lain selagi mana tiada nas dalil yang menyatakan sebaliknya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/153)

Abu al-Husain Yahya bin Abu al-Khair ada menyatakan bahawa tidak ada sesuatupun daripada bahagian anggota haiwan halal yang disembelih menjadi najis disebabkan oleh sembelihan yang dilakukan. Sebaliknya, kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis. (Lihat al-Bayan, 1/80)

Begitulah juga menurut mazhab Syafi‘i bulu daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci berdasarkan nas al-Quran dan ijmak ummah. Imam al-Haramain dan selainnya menyebutkan bahawa pada asalnya ia diqiaskan sebagai najis seperti mana baki anggota haiwan lain yang terpisah ketika masih hidup. Akan tetapi umat bersepakat ke atas kesuciannya kerana keperluan mereka kepadanya bagi menghasilkan pakaian dan hamparan, serta bulu-bulu daripada haiwan yang disembelih tidak mencukupi bagi perkara tersebut. Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, sekiranya terpisah bulu-bulu daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya ketika masih lagi hidup, sama ada secara sendirinya atau dicabut, maka terdapat perbezaan pendapat mengenai hukumnya dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Pendapat yang sahih berkenaannya sebagaimana diputuskan oleh Imam al-Haramain, al-Baghawi dan jumhur bahawa ia adalah suci. (Lihat al-Majmu‘, 1/241)

Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menjelaskan dengan lebih lanjut bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup, hukumnya adalah seperti bangkainya. Dalam erti kata lain, haiwan yang hidup itu, sekiranya bangkainya adalah suci maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai suci. Sekiranya bangkainya adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai najis. Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang adalah suci, manakala haiwan selainnya adalah dianggap najis. Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan. Hukumnya adalah suci secara ijmak para ulama. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/235)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa bulu haiwan daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci sebagaimana pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Justeru, tidak mengapa memakan bulu ayam selagi mana tidak memudaratkan atau membahayakan kesihatan. Hal ini kerana ia kembali kepada hukumnya yang asal iaitu halal untuk dimakan. Lebih-lebih lagi bulu itu merupakan cabang daripada bahagian haiwan yang disembelih, maka harus untuk dimanfaatkan atau dimakan sebagaimana bahagian-bahagiannya yang lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

Leave a Reply