#797: Memelihara Dhab

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-64%
Rated 0 out of 5
RM50.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan

Apakah hukum memelihara dhab?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Dhab

Dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai Dhab (ضَبّ) atau nama saintifiknya ialah Uromastyx aegyptia merupakan sejenis biawak yang terdapat di padang pasir. Dari segi sains ia dikelaskan sebagai dalam keluarga cicak. Ia boleh didapati serata Timur Tengah termasuk Mesir, Libya, Palestin, dan lain-lain. Ia sering duduk di kawasan kering dan berbatu.

Dhab membiak secara bertelur dan mempunyai kulit bersisik tebal. Selain itu, ia merupakan sejenis haiwan herbivor — memakan sayur-sayuran yang tinggi kadar air serta kekacang sebagai sumber protein. Ia menghabiskan banyak masanya di dalam lubang yang digalinya untuk menyembunyikan dirinya atau dicelah-celah batu-batu yang selamat untuknya berlindung.[1]

Kamaluddin al-Damiri menyebutkan bahawa Dhab merupakan haiwan darat sebagaimana yang diketahui umum — dalam kalangan masyarakat Arab — dan ia menyerupai biawak (الوَرَلُ). Nama julukannya ialah Abu Hisl (أَبُو حِسْلٍ) dan kata jamaknya ialah Dhibab (ضِبَابٌ) dan Adub (أَضُبٌّ), sebagaimana perkataan Kaff (كَفّ) dan Akuff (أَكُفّ). Manakala Dhab betina pula dipanggil sebagai Dhabbah (ضَبَّةٌ). Pepatah Arab ada menyebut — bagi menggambarkan keengganan mereka melakukan sesuatu —:

لَا أَفْعَلُهُ حَتَّى يَرِدَ الضَّبُّ

Maksudnya: “Aku tidak akan melakukannya sehinggalah Dhab datang — ke air.”

Hal ini kerana Dhab tidak mendatangi air. Ibn Khalawaih menyebutkan bahawa Dhab tidak minum air dan hidup selama 700 tahun atau lebih. Dikatakan ia kencing sekali pada setiap 40 hari dan giginya tidak gugur. Begitu juga, dikatakan giginya itu pula hanya sebaris dan tidak berbahagi-bahagi.[2]

Selain itu, al-Qalyubi juga ada menyebutkan bahawa dhab ialah haiwan yang menyerupai biawak (الوَرَلُ). Ia mampu hidup sekitar tujuh ratus tahun. Ia juga tidak minum air dan kencing sekali pada setiap 40 hari. Di samping itu, dhab betina memiliki dua alat kelamin betina dan dhab jantan juga memiliki dua alat kelamin jantan.[3]

Memelihara Haiwan di dalam sangkar

Membela sesuatu binatang untuk dijadikan haiwan peliharaan adalah dibolehkan di dalam Islam selagi mana tidak berlaku zalim terhadap binatang tersebut serta tiada larangan yang menghalang daripada memelihara binatang-binatang tersebut seperti khinzir dan anjing. Perkara ini boleh dilihat berdasarkan hadis Nabi SAW yang berikut. Daripada Anas bin Malik RA, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ ‏ “‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ‏” نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا‏.‏

Maksudnya: Nabi SAW merupakan insan yang paling baik akhlaknya. Aku mempunyai seorang saudara lelaki yang diberi gelaran Abu Umair – dia berkata: Aku kira dia sudah berhenti daripada meminum susu ibu. Sekiranya Baginda datang, Baginda akan bertanya: “Wahai Abu ‘Umair! Apa yang sedang dilakukan al-Nughair?” iaitu sejenis burung pipit yang selalu dia bermain-main dengannya. Kadang-kala apabila tibanya waktu solat sedangkan Baginda berada di rumah kami, maka Baginda menyuruh untuk disapu (dibersihkan) tikar yang duduk di atasnya, lalu direnjis dengan air. Kemudian Baginda solat dan kami pun berdiri di belakang Baginda, Baginda mengimamkan kami.[4]

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari menyatakan: Berdasarkan hadith ini, dibolehkan membelanjakan harta untuk permainan kanak-kanak pada perkara yang harus dan dibolehkan juga mengurung burung di dalam sangkar dan semisalnya, dan mencukur sayapnya. [5]

Bahkan diwajibkan bagi sesiapa yang memelihara jenis-jenis haiwan yang dibolehkan untuk dipelihara dengan berbuat baik kepada mereka, memberikan mereka makan sebagaimana yang mereka perlukan. Hal ini kerana terdapat peringatan daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya:Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makanan, bahkan tidak membiarkannya memakan serangga-serangga tanah.[6]

Imam al-Khatib al-Syirbini menukilkan bahawa haiwan bahimah ini ialah haiwan yang muhtaram (yang dimuliakan yakni bukan haiwan perosak), tidak terhad kepada haiwan ternakan berkaki empat, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Azraie. Menjadi kewajiban bagi pemilik haiwan berkenaan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan.[7]

Memelihara Dhab

Pada asasnya, jumhur ulama berpendapat bahawa dhab adalah harus untuk dimakan dan tidak makruh. Inilah pendapat mazhab al-Syafi‘i, Malik dan Ahmad. Manakala ulama mazhab Abu Hanifah pula berpendapat hukumnya adalah makruh.[8]

Terdapat banyak hadith yang menunjukkan kepada keharusan untuk memakan dhab. Di antaranya ialah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

أَنَّ أُمَّ حُفَيْدٍ بِنْتَ الحَارِثِ بْنِ حَزْنٍ – خَالَةَ ابْنِ عَبَّاسٍ – أَهْدَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمْنًا وَأَقِطًا وَأَضُبًّا. فَدَعَا بِهِنَّ، فَأُكِلْنَ عَلَى مَائِدَتِهِ، وَتَرَكَهُنَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَالْمُسْتَقْذِرِ لَهُنَّ. وَلَوْ كُنَّ حَرَامًا مَا أُكِلْنَ عَلَى مَائِدَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلاَ أَمَرَ بِأَكْلِهِنَّ

Maksudnya: “Ummu Hufaid binti al-Harith bin Hazn — ibu saudara Ibn Abbas — menghadiahkan minyak sapi, keju, dan dhab kepada Nabi SAW. Kemudian Baginda SAW meminta agar dibawakannya (dhab itu), lalu dimakan di atas tempat hidangannya dan Nabi SAW meninggalkannya seperti orang yang tidak menyukainya (kerana kotor). Sekiranya ia haram pasti tidak dimakan di atas tempat hidangan Nabi SAW dan tidak pula Baginda SAW perintahkan untuk memakannya.”[9]

Imam al-Nawawi menyebutkan, umat Islam telah ijma‘ bahawa memakan dhab adalah halal dan tidak makruh melainkan apa yang dinukilkan daripada ulama mazhab Abu Hanifah yang menyebutkan bahawa hukumnya adalah makruh. Begitu juga al-Qadhi ‘Iyadh ada menukilkan bahawa ada sebahagian ulama berpendapat hukumnya adalah haram. Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa beliau merasakan penisbahan pendapat tersebut kepada mereka — yakni pendapat yang menyatakan haram — adalah tidak benar, dan jika ia benar sekalipun ia dapat dipatahkan dengan nas dan ijma‘ ulama sebelumnya.[10]

Imam al-Nawawi menyatakan lagi di dalam Syarh Sahih Muslim,: “Jika ia termasuk (haiwan) yang bermanfaat (atau beri faedah pada manusia), maka menjualnya adalah sah dan duit jualannya juga halal. Inilah pandangan mazhab kami (al-Syafi’e) dan mazhab kesemua ulamak, kecuali (satu pandangan) yang diriwayatkan oleh Ibnu al-Munzir.”[11]

Justeru, dhab merupakan haiwan yang boleh dimakan, serta boleh dijual beli. Oleh itu, diharuskan untuk memelihara dhab kerana ia memberi manfaat kepada manusia sebagai makanan bagi mereka yang memakannya.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa dhab merupakan haiwan yang halal dimakan, dijual beli. Justeru, harus untuk sesiapa yang ingin memelihara dhab sebagai haiwan peliharaan atau ternakan kerana ia memberi manfaat kepada manusia bagi sesiapa yang ingin memakannya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Dhab. Diakses pada 26 Januari 2022. Lihat juga https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/786434/ustaz-azhar-kini-penternak-dhab. Diakses pada 26 Januari 2022.

[2] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/703.

[3] Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 4/259.

[4] Riwayat al-Bukhari (6203)

[5] Lihat Fath al-Bari, 10/583

[6] Riwayat al-Bukhari (3318), dan Muslim (2242)

[7] Lihat al-Iqna`, 2/482

[8] Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/12.

[9] Riwayat al-Bukhari (5389)

[10] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 13/97-99.

[11] Ibid, 5/420

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *