Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kesan dari penyusuan terhadap hubungan kekeluargaan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Mengikut Kamus Dewan edisi keempat, penyusuan adalah perihal (perbuatan) menyusui, sedangkan penyusu pula ialah orang yang menyusui. (Lihat Kamus Dewan hlm. 1553)
Penyusuan dikenali dengan ridha’ (الرِّضَاع) atau radha’ (الرَّضَاع) dan dimaksudkan dengan radh’an (رَضْعًا), ridha’an (رِضْعًا), dan radha’an (رَضَاعًا) iaitu menghisap susu, ardha’ah (أَرْضَعَة) dengan maksud menyusu bayi. Pada istilah syarak ialah nama untuk pengaliran susu wanita atau apa yang terhasil daripada susunya dalam perut bayi dengan syarat-syaratnya.
Terdapat definisi yang lain hampir sama dengan definisi di atas. Antara lafaz yang hampir sama dengan radha’ah ialah hadhanah (penjagaan). Hal ini kerana terdapat beberapa keadaan seorang penjaga juga dalam masa yang sama ialah penyusu kepada anak yang dijaga. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238)
Dalil Disyariatkan Penyusuan
Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran, antaranya:
Firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَنْ تَرَاضٍ مِنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا وَإِنْ أَرَدْتُمْ أَنْ تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُمْ مَا آتَيْتُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyususan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertawakkallah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.
(Surah al-Baqarah: 233)
Al-Qurtubi berkata: “Ini menunjukkan bahawa anak apabila masih menyusu maka ibu berhak dalam hadhanahnya lebih daripada bapa.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 3/160)
Firman Allah SWT
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّى يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ
Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani idahnya itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya, kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikan kepada mereka upahnya, dan berundinglah di antara (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.
(Surah al-Talaq: 6)
Al-Qurtubi berkata: “Isteri yang diceraikan, maka bagi anak-anak mereka hendaklah bapa-bapa memberi upah atas penyusuan mereka.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/168)
Kesan Penyusuan Terhadap Hubungan Kekeluargaan
Jika seorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya, bayi itu menjadi anak susuannya dan suaminya pula menjadi bapa susuan anak tersebut. Kesan penyusuan ini kepada hubungan kekeluargaan adalah sebagaimana berikut:
- Anak susuan haram berkahwin dengan ibu susuan dan keturunannya, seperti keturunan ibu sendiri. Keturunan ibu susuan yang haram dikahwini adalah seperti berikut:
- Saudara perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah ibu saudara sebelah ibu susuan.
- Anak perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah saudara susuan.
- Cucu perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah anak perempuan kepada saudara susuan.
- Ibu kepada susuan kerana dia ialah nenek susuan.
Seperti keturunan bapa sendiri, keturunan bapa susuan yang haram dikahwini adalah seperti berikut:
- Saudara perempuan kepada bapa susuan kerana mereka ialah ibu saudara sebelah bapa susuan.
- Anak perempuan kepada bapa susuan, sekalipun dengan isteri yang lain kerana mereka ialah saudara susuan.
- Cucu perempuan kepada bapa susuan, kerana mereka ialah anak perempuan kepada saudara susuan.
- Ibu kepada bapa susuan, kerana dia ialah nenek susuan.
- Ibu susuan dan keturunannya haram berkahwin dengan anak susuan dan keturunannya. Ini kerana jika ibu susuan diandaikan sebagai ibu sendiri kepada anak susuan, sudah tentu mereka semua merupakan keturunan yang haram dikahwini.
Sebagaimana anak susuan tidak boleh berkahwin dengan anak perempuan ibu susuan kerana dia merupakan saudara susuannya. Begitu juga, cucu lelaki susuan daripada anak perempuan ibu susuan bapanya kerana dia merupakan ibu saudara susuan sebelah bapa dan begitulah seterusnya.
iii. Ibu susuan dan keturunannya harus berkahwin dengan ahli keluarga anak susuannya, seperti saudara lelaki, bapa dan bapa saudara sebelah bapa kerana mereka ialah orang asing daripada ibu susuan dan keturunannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/201)
Akhir kalam, semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Wallahu a‘lam