Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum orang bukan Islam memasuki Masjid al-Haram? Benarkah mereka dilarang daripada memasukinya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Masjid (مَسْجِد) merupakan nama tempat yang berasal dari perbuatan sujud, dan kalimah masjid boleh dibaca dengan masjid atau masjad. Tapi sebutan yang lebih masyhur adalah bacaan masjid .

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf, masjid ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27)

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” Lihat Taj al-‘Arus, 8/174

Apabila diperhatikan sejarah kewujudan dan kedudukan tanah persekitaran masjid pada masa dahulu berdasarkan definisi masjid dari sudut istilah, di antaranya ada masjid yang hanya berupa tanah lapang yang diberi tanda atau sempadan di sekelilingnya dengan mendirikan tiang-tiang yang dipacakkan tepat pada sempadan berkenaan.

Jika setakat yang ditanda sebagai sempadan itu hanyalah tiang saja yang dijadikan masjid atau disebut masjid oleh orang ramai, atau oleh pewakaf – jika ia masjid wakaf – maka yang berada di luar sempadannya tiada dikira masjid dan tidak berlaku padanya hukum-hakam masjid seperti iktikaf.

Sehubungan dengan ini, kalau ada orang yang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah tempat itu sebagai masjid, iaitu setakat mana luas atau besarnya tempat yang dimaksudkannya sebagai masjid itu, manakala kawasan yang di luarnya tidak turut menjadi masjid. Dalam hal ini Imam al-Zarkasyi ada menyebutkan: “Sekiranya seseorang berkata: “Aku jadikan sebidang tanah ini sebagai masjid, maka menurut kitab Al-Wajiz jadilah ia masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz wakaf.” Lihat Ahkam al-Sajid, hlm. 396

Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi di atas, sekiranya keseluruhan tanah yang diperuntukkan itu telah diwartakan (digazetkan) atau diniatkan sebagai masjid, maka jadilah kesemua tanah yang diniatkan itu masjid, walaupun bangunan masjid belum didirikan. Tetapi jika yang digazetkan sebagai masjid hanya setakat bangunannya sahaja, maka itulah sahaja yang dianggap sebagai masjid, manakala bakinya adalah sebagai harim masjid atau rizab masjid (tanah simpanan untuk masjid dan lain-lain keperluan masjid).

Masjid adalah tempat yang dikhaskan untuk solat lima waktu yang dilakukan secara berterusan padanya. Masjid juga boleh didefinisikan tempat solat di rumah. Hal ini berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha katanya:

أَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِبِنَاءِ الْمَسَاجِدِ فِي الدُّورِ, وَأَنْ تُنَظَّفَ, وَتُطَيَّبَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya dibina masjid-masjid di rumah dan di kampung, serta dibersihkan dan diwangikan.”

Riwayat Abu Daud (455), Tirmizi (594) dan Ibn Majah (758)

Jenis-jenis Masjid

Menurut Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili melalui kitabnya Mausu’ah Qadaya Islamiyyah Mu’asirah, masjid pada asalnya setiap tempat untuk sujud. Kemudian diitlaqkan tempat binaan khusus untuk ibadat dan menunaikan risalah khusus iaitu tempat solat berjemaah.

Masjid mempunyai pelbagai jenis dan nama, antaranya:

Pertama: Masjid Utama yang tiga yang mempunyai hukumnya yang tersendiri, iaitu:

  • Masjid al-Haram di Makkah al-Mukarramah.
  • Masjid al-Nabawi di Madinah al-Munawwarah.
  • Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Kedua: Masjid al-Jamek. Iaitu masjid didirikan solat jemaah, jumaat dan solat-solat seperti khusuf, istisqa’ dan lain-lain. Ia dikenali juga dengan lafaz al-Jamek kerana tempat berhimpun. Kadang-kadang digelar sebagai al-Jamek al-Kabir bagi masjid yang terbesar di satu-satu bandar utama.

Ketiga: Musalla. Ia merangkumi dua jenis:

  • Musalla al-‘Id.Iaitu tempat lapang yang didirikan solat dua hari raya. Biasanya di padang yang boleh memuatkan seramai mungkin penduduk negeri untuk melakukan ibadat solat.
  • Musalla al-Hay. Iaitu masjid yang kecil yang didirikan solat dengan jemaah yang sedikit di sesebuah tempat aau kampong. Ini bertujuan bagi menghidupkan solat berjemaah dengan mudah di samping meninggikan suara azan dan dua kalimah syahadah serta tauhid padanya. Mungkin di tempat kita dikenali sebagai surau.

Realiti di Malaysia pula menunjukkan pembahagian masjid atau tempat ibadat umat Islam dibahagikan kepada beberapa nama. Antaranya:

  • Masjid Negara yang mewakili masjid utama bagi Negara ini.
  • Masjid utama Negara seperti Masjid Putrajaya dan Masjid Sultan Mizan.
  • Masjid Negeri seperti Masjid Wilayah Jalan Duta, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dan lain-lain.
  • Masjid Daerah yang biasanya setiap daerah mempunyai masjid utama. Ghalibnya terletak di pekan atau bandar kecil.
  • Masjid kampung sesetengah tempat dibahagikan kepada masjid jamek dan masjid kampung biasa. Sedangkan sebahagian yang lain hampir sama.
  • Surau Solat Jumaat dimana statusnya adalah surau tetapi diberi kebenaran untuk didirikan solat Jumaat kerana maslahah tertentu.
  • Surau atau musalla dan sebahagian tempat digelar sebagai balasah. Ia hanya untuk solat Jemaah di kampung kecil atau di tempat yang tertentu.

Mutakhir ini banyak juga tempat-tempat seperti bangunan kerajaan, institusi kewangan dan lain-lain telah membina sebuah ruang untuk solat yang dikenali sebagai musalla atau surau. Antaranya seperti Surau Al-Insaf, Menara Maybank, Kuala Lumpur, Surau An-Nur, di Bank RHB, Kuala Lumpur dan lain-lain.

Masjid al-Haram di Kota Makkah

Masjid al-Haram (المسجد الحرام) merupakan sebuah masjid yang terletak di kota Makkah yang dilihat antara tempat yang suci bagi umat Islam di seluruh dunia. Masjid ini juga di dalamnya terletak rumah Allah iaitu baitullah atau dinamakan Ka’bah yang menjadi arah kiblat bagi seluruh umat Islam apabila ingin mengerjakan ibadah solat.

Selain itu juga, nama masjid al-Haram disebut di dalam al-Qur’an di beberapa tempat, antaranya firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ الَّذِي جَعَلْنَاهُ لِلنَّاسِ سَوَاءً الْعَاكِفُ فِيهِ وَالْبَادِ

Maksudnya: “Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalang manusia dari jalan Allah (agama Islam) dan dari memasuki Masjid al-Haram (Makkah) yang Kami jadikan ia sebagai tempat beribadah bagi seluruh umat manusia (yang beriman) sama ada yang menetap di situ atau yang datang berziarah.”

(Surah al-Haj: 25)

Imam Ibn Kathir mengatakan ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT telah menjadikan ia (masjid al-Haram) sebagai tempat ibadah bagi semua manusia dan tidak ada perbezaan antara yang bermukim di tempat tersebut ataupun orang yang tinggal jauh dari tempat tersebut. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/409

Demikianlah jelaslah pada kita bahawa masjid al-Haram merupakan salah satu masjid yang mulia kerana namanya dinukilkan di dalam al-Qur’an yang mulia. Di samping itu juga, masjid al-Haram terletak di dalam tempat yang mulia iaitu Makkah al-Mukarramah.

Tanah Haram merupakan tempat yang Allah SWT mengharamkan beberapa perkara sehingga ke hari kiamat bagi memelihara kesuciannya. Terdapat dua cara penentuan sempadan Tanah Haram. Pertama, melalui jalan lama berdasarkan pandangan-pandangan ulama silam dan kedua mengikut jalan baru melalui lebuh raya.

Perkiraan jarak mengikut jalan lama, ulama berbeza pandangan berkenaan jaraknya. Antaranya, Imam al-Nawawi menyebut: Batas Tanah Haram dari arah Madinah adalah sebelum Tan’im (Tan’im sudah dikira tanah halal) di perkampungan Bani Nifar, tiga batu dari Mekah. Dari arah laluan Yaman pula terletak di hujung Adhaat (tanah berlumpur) Libn – laluan berbukit Libn, tujuh batu dari Mekah. Dari arah laluan Taif terletak di Arafah di lembah Namirah, tujuh batu (dari Mekah). Dari arah laluan Iraq terletak di laluan bukit Maqtha’, tujuh batu. Dari arah laluan Ji’ranah terletak di perkampungan suku Āli Abdullah bin Khalid, sembilan batu. Dari arah laluan Jeddah terletak di tasik A’syasy (sebahagian daripadanya Tanah Halal, sebahagian lain Tanah Haram), sepuluh batu dari Mekah. (Satu batu bersamaan dengan 1.6 meter). Lihat al-Majmu’, 7/463

Manakala perkiraan jarak mengikut jalan baru menggunakan perisian Sistem Kedudukan Sejagat (GPS),

  • Lebuh Raya Jeddah: (21KM): Bermula dari bahagian barat Masjidil Haram pada pintu Raja Fahd melalui lebuh raya Jeddah sehingga bertemu mercu tanda di sisi lebuh raya.
  • Lebuh Raya Laith: (20KM): Bermula dari bahagian selatan Masjidil Haram melalui lebuh raya al-Laith sehinggalah bertemu mercu tanda di sisi jalan.
  • Lebuh Raya Taif – Hada: (14.6KM): Bermula dari bahagian selatan Masjidil Haram melalui lebuh raya (Thaif – Hada) sehinggalah bertemu mercu tanda di sisi jalan berdekatan dengan Universiti Ummu al-Qura.
  • Lebuh Raya Taif – Sail: (13.7KM): Bermula dari bahagian timur Masjidil Haram melalui lebuh raya Thaif sehinggalah bertemu mercu tanda di sisi jalan. Lihat Ahkam al-Haram al-Makki al-Syar’iyyah, hlm. 40

Maka kawasan yang berada dalam lingkungan tanda tersebut termasuk kategori Tanah Haram Mekah. Di dalamnya segala ketentuan hukum syariat yang disebutkan di dalam hadis di atas mesti diikuti.

Hukum Non-Muslim Masuk ke Masjid al-Haram

Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (21/252-253), disebut seperti berikut:

  • Ulama’ Syafi’iyyah dan Hanabilah berpendapat bahawa selain Masjid al-Haram, orang bukan Islam dibolehkan memasuki masjid sekiranya dipersetujui dan mendapat keizinan daripada umat Islam setempat. Adapun jika memasuki Masjid al-Haram, maka hukumnya haram dan hendaklah ditegah.
  • Ulama’ Hanafiyyah membolehkan orang bukan Islam memasuki masjid, sama ada Masjid al-Haram atau masjid yang lain. Hal ini berdasarkan satu riwayat yang menyebut bahawa Nabi SAW menerima utusan Bani Thaqif di dalam masjid, sedangkan mereka ketika itu masih belum masuk Islam. Ini menunjukkan bahawa orang bukan Islam boleh masuk masjid tanpa kecuali, sama ada Masjid al-Haram atau selainnya.
  • Ulama’ Malikiyyah menyatakan bahawa bagi orang bukan Islam, hukumnya makruh memasuki masjid, sama ada Masjid al-Haram atau masjid selainnya, sama ada mendapat persetujuan daripada umat Islam atau tidak, melainkan kerana darurat. Contohnya, seperti membaiki bangunan masjid yang tidak dapat dilakukan oleh umat Islam. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 21/252-253

Selain itu, penjelasan berhubung isu orang bukan Islam memasuki masjid juga ada dijelaskan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/482) seperti berikut: Ulama’ Malikiyyah (Lihat Hasyiyah al-Sowi, 1/178) berkata, ‘Orang bukan Islam perlu ditegah daripada memasuki masjid walaupun mendapat keizinan daripada orang Islam, kecuali kerana darurat pekerjaan. Antaranya kerana kos belanja kerja berbanding orang Islam, dan lebih profesional dalam bekerja. Abu Hanifah menyatakan bahawa orang bukan Islam boleh memasuki semua masjid. Ulama’ Syafi’iyyah juga membolehkan orang bukan Islam memasuki masjid kecuali Masjid al-Haram dan tanah haram Mekah. Dibolehkan bagi orang bukan Islam untuk menginap di dalam masjid walaupun dalam keadaan junub menurut pendapat yang paling sahih, selama mana mendapat persetujuan daripada umat Islam.” Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/482

Justeru, dapat difahami bahawa hampir kebanyakan ulama mengharamkan orang Musyrik memasuki Masjid al-Haram. Dalil bagi jumhur ulama’ ialah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis. Karena itu, janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini (tahun 9 H).

Surah al-Taubah (28)

Imam al-Syafi’e – seperti yang dinukilkan oleh al-Qurtubi – mengatakan bahawa ayat ini melarang orang kafir daripada memasuki Masjid al-Haram, dan tidak masjid selainnya. Ia juga menunjukkan orang Yahudi dan Nasrani boleh masuk ke masjid yang lain selain Masjid al-Haram. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/105) Ibn Hazm dan Imam al-Nawawi juga turut mengemukakan pandangan yang sama dalam hal ini. (Lihat al-Muhalla, 3/162 dan Raudhah al-Thalibin, 1/296)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

 

Leave a Reply