#33: Khadhir; Nabi Allah atau Wali Allah

-40%

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Rawatib

Rated 0 out of 5
RM3.00
-100%
Rated 0 out of 5
RM0.00
-44%
Rated 0 out of 5
RM20.00
-25%

Soalan:        

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Khadhir yang diceritakan dalam al-Quran merupakan seorang nabi atau wali Allah dan orang soleh? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kisah mengenai Khadhir ini ada dirakamkan dalam al-Quran dalam surah al-Kahfi, daripada ayat 60 sehingga ayat 82. Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا سُمِّيَ الخَضِرُ أَنَّهُ جَلَسَ عَلَى فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ، فَإِذَا هِيَ تَهْتَزُّ مِنْ خَلْفِهِ خَضْرَاءَ

Maksudnya:Sesungguhnya dia dinamakan Khadhir kerana dia duduk di atas pakaian kulit yang diperbuat daripada bulu binatang yang berwarna putih, tiba-tiba pakaian itu bergerak-gerak kerana tumbuh tumbuhan hijau yang tumbuh di bawahnya.”[1]

Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat mengenainya. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa Khadhir ialah salah seorang nabi daripada nabi-nabi Allah. Pendapat ini dipegang oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, Ibn Hajar al-Haitami, Ibn Hazm, Syihabuddin al-Ramli, al-Syatibi, al-Qurtubi, Ibn ‘Atiyyah al-Andalusi, Muhammad al-Amin al-Syanqiti, Yusof al-Qaradhawi dan ramai lagi.[2] Pendapat ini adalah berdasarkan kepada beberapa dalil. Di antaranya adalah firman Allah SWT:

فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا

Maksudnya:Lalu mereka (Nabi Musa AS dan pembantunya) mendapati seorang hamba (Khadhir) daripada hamba-hamba Kami yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu daripada sisi Kami.”[3]

Al-Amin al-Syanqiti menyebutkan, hamba yang disebutkan dalam ayat di atas ialah Khadir A.S berdasarkan ijmak para ulama dan petunjuk daripada nas-nas yang sahih berkenaan perkara tersebut daripada kalam Nabi SAW. Rahmat dan ilmu ladunni ini dinyatakan oleh Allah SWT sebagai kurniaan-Nya kepada Khadir, tetapi tidak dijelaskan adakah kedua-duanya itu merupakan rahmat kenabian dan ilmunya atau rahmat kewalian dan ilmunya? Sesungguhnya para ulama telah berbeza pendapat mengenai Khadir, adakah dia seorang nabi, rasul, wali atau malaikat? Akan tetapi difahami daripada beberapa ayat bahawa rahmat yang dimaksudkan itu ialah rahmat kenabian dan ilmu ladunni itu pula ialah ilmu wahyu — yakni wahyu yang diberikan kepada Khadir A.S.[4] Tambahan lagi, di antara dalil yang jelas menunjukkan bahawa rahmat dan ilmu ladunni — yang dikurniakan kepada hamba-Nya Khadhir — adalah dari jalan kenabian dan wahyu berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ

Maksudnya:Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut akal fikiranku sendiri.”[5]

Dalam erti kata lain, “Aku tidak melakukannya menurut akal fikiranku sendiri, akan tetapi berdasarkan perintah Allah ‘Azza wa Jalla.” Justeru, dia melakukannya menurut perintah Allah ‘Azza wa Jalla dan perintah Allah itu hanya dapat dicapai melalui jalan wahyu kerana tidak ada cara bagi mengetahuinya yakni perintah-perintah Allah dan larangan-larangan-Nya melainkan dengan wahyu daripada Allah SWT, lebih-lebih lagi berkenaan membunuh jiwa yang tidak berdosa dan merosakkan kapal dengan melubangkannya kerana sebarang pelanggaran terhadap nyawa manusia dan hartanya, adalah tidak dibenarkan melainkan dengan wahyu daripada Allah SWT.[6]

Selain daripada itu, al-Qurtubi juga ada menyebutkan, Khadhir ialah seorang nabi di sisi majoriti ulama. Namun, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa dia ialah seorang lelaki soleh dan bukannya seorang nabi. Walau bagaimanapun, ayat al-Quran jelas menunjukkan bahawa Khadhir ialah seorang nabi kerana perbuatan-perbuatan yang dilakukannya, tidak boleh dilakukan melainkan dengan panduan wahyu Allah SWT. Tambahan lagi, seorang manusia juga tidak akan menuntut ilmu atau mengikuti seseorang itu melainkan kepada mereka yang lebih tinggi kedudukannya — dari sudut ilmu — dan tidak harus bagi seseorang yang bukan berstatus nabi untuk memiliki kedudukan yang lebih tinggi daripada nabi. Selain itu, terdapat juga dalam kalangan mereka yang berpendapat Khadhir ialah malaikat yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk Nabi Musa A.S mengambil daripadanya ilmu batin. Meskipun begitu, pendapat yang sahih ialah pendapat yang pertama — iaitu Khadhir ialah seorang nabi.[7]

Di samping itu, al-Qurtubi juga ketika menafsirkan ayat 82 daripada Surah al-Kahfi — sebagaimana ayat di atas — menyatakan bahawa Khadhir tidak melakukan semua perkara seperti yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi mengikut kehendaknya sendiri, tetapi bertindak mengikut wahyu yang diterimanya daripada Allah SWT. Maka, jelaslah bahawa sesungguhnya Khadhir merupakan seorang nabi.[8] Demikianlah juga Ibn ‘Atiyyah al-Andalusi menyatakan bahawa perkataan Khadhir iaitu “وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي” menunjukkan dia ialah seorang nabi.[9]

Walau bagaimanapun, terdapat juga dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa Khadhir ialah seorang wali Allah atau lelaki solah. Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Sa‘di bahawa hamba Allah yang ditemui oleh Nabi Musa A.S itu bukanlah seorang nabi, tetapi dia ialah seorang lelaki soleh kerana dia telah disifatkan sebagai seorang hamba Allah, yang dikurniakan dengan rahmat dan diberi ilmu pengetahuan, dan tidak disebut bahawa dia dikurniakan risalah kenabian. Jika benarlah dia ialah seorang nabi, nescaya perkara tersebut akan disebut sepertimana halnya ke atas nabi-nabi lain.[10] Selain daripada itu, di antara hujah mereka yang berpendapat bahawa Khadhir ialah seorang lelaki soleh adalah kerana sifats eorang nabi adalah menyampaikan dan pergi kepada mad‘u. Justeru, berbeza keadaannya dengan Khadhir, yakni Nabi Musa A.S yang pergi kepadanya untuk menuntut ilmu daripadanya.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa Khadhir ialah seorang nabi sebagaimana pendapat majoriti ulama. Hal ini kerana berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan kefahaman daripadanya, jelas menunjukkan bahawa semua perbuatan yang dilakukan oleh Khadhir sangat berkait rapat dengan jalan wahyu yang dikurniakan kepada para nabi-Nya. Lebih-lebih lagi, al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani ada menyebutkan bahawa sebahagian ulama besar mengatakan bahawa ikatan pertama yang dirosakkan oleh mereka dalam kalangan zindiq adalah mengenai status Khadhir sebagai seorang nabi kerana mereka dalam kalangan zindiq itu akan segera menabur bibit-bibit fitnah atau kejahatan berkenaan status Khadhir yang bukan sebagai seorang nabi bahawa wali adalah lebih baik daripada nabi.[12]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

 

[1] Riwayat al-Bukhari (3402)

[2] Lihat Fath al-Bari, 1/221; Fatawa al-Hadithiyyah, hlm.93, al-Muhalla, 1/71; Fatawa al-Ramli, 4/222; al-Muwafaqat, 2/507; Adwa’ al-Bayan, 3/322-323; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 11/16; al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz, 3/537; Fatawa al-Mu‘asirah, 1/161-163.

[3] Surah al-Kahfi: 65

[4] Lihat Adwa’ al-Bayan, 3/322.

[5] Surah al-Kahfi: 82

[6] Lihat Adwa’ al-Bayan, 3/322.

[7] Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 11/16.

[8] Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 11/39.

[9] Lihat al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz, 3/537

[10] Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 482.

[11] Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 3/325.

[12] Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 2/248.

Leave a Reply

Your email address will not be published.