Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat sunnah membaca doa tertentu pada bulan Rejab seperti doa: اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان (Maksudnya: Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadan.)

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Antara kitab-kitab yang menyebut lafaz doa seperti di atas adalah:

Di dalam Musnad Imam Ahmad: Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ، قَالَ: “اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ”. وَكَانَ يَقُولُ: ” لَيْلَةُ الْجُمُعَةِ غَرَّاءُ، وَيَوْمُهَا أَزْهَرُ”.

Maksudnya: Bahawa Nabi SAW apabila masuknya bulan Rejab, Baginda SAW berdoa: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah kepada kami pada bulan Ramadhan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”.

Riwayat Ahmad (2228)

Imam Ibn Sunni, Imam al-Baihaqi, Imam al-Bazzar dan Abu Nu’aim juga menyebut hadith ini di dalam kitab mereka: Diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ قَالَ: “اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ”. قَالَ: وَكَانَ يَقُولُ: “إِنَّ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ لَيْلَةٌ غَرَّاءُ، وَيَوْمَهَا يَوْمٌ أَزْهَرُ”.

Maksudnya: Bahawa Nabi SAW apabila masuknya bulan Rejab, Baginda SAW berdoa: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau pertemukan kami dengan bulan Ramadhan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”.

Riwayat Ibn Sunni dalam Amal al-Yaum wa al-Lailah (1/610), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, (5/348; no. Hadith 3534), al-Bazzar dalam Musnad-nya (13/117; no. Hadith 6496) dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (6/269)

Berdasarkan hadith berikut, terdapat sedikit perbezaan antara riwayat pertama oleh Imam Ahmad dan juga riwayat yang kedua iaitu pada lafaz ( وَبَارِكْ لَنَا ) dan juga ( وَبَلِّغْنَا ) walaupun kedua-dua riwayat ini datang daripada jalur Anas bin Malik R.A.

Hadith ini dihukum dhaif pada sanadnya oleh para ulama’ hadith. Antaranya ialah:

  • Imam al-Nawawi dalam al-Azkar (hlm. 189)
  • Imam Ibn Rejab dalam Lataif al-Ma’arif (hlm. 121)
  • Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (2/165)
  • Syeikh Syu’aib al-Arnaut dalam Tahqiq Sunan Abu Dawud, (4/180)

Al-Haithami berkata: “Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bazzar, dan dalam sanadnya terdapat Zaidah bin Abi al-Ruqad. Al-Bukhari berkata: ‘Dia mungkar al-hadith,’ dan sekumpulan ulama menganggapnya jahil.” (Lihat Majma’ al-Zawa’id, 2/165).

Di dalam sanad hadith ini terdapat dua kecacatan sebagaimana yang dinyatakan oleh ahli hadith:

Pertama: Pada Zaidah bin Abi al-Ruqqad (زائدة بن أبي الرقاد)

Abu Hatim berkata: “Dia meriwayatkan daripada Ziyad al-Namiri daripada Anas hadith-hadith marfu’ yang mungkar, dan kami tidak tahu (sama ada kelemahan itu datang) darinya atau daripada Ziyad.” Al-Bukhari berkata: “Munkar al-hadith.” Al-Nasa’i berkata: “Munkar al-hadith.” Dalam kitab al-Kuna, beliau menyebut: “Dia bukan seorang yang thiqah.” Ibn Hibban berkata: “Dia meriwayatkan perkara-perkara mungkar daripada perawi-perawi masyhur, hadithnya tidak boleh dijadikan hujah, dan tidak ditulis kecuali untuk penelitian sahaja.” Ibn Adi berkata: “Dia diriwayatkan oleh al-Muqaddimi dan yang lain, dengan hadith-hadith tunggal, dan dalam sebahagian hadithnya terdapat perkara yang diingkari.” (Lihat Tahzib al-Tahzib, 3/305-306).

Kedua : Pada Ziyad al-Numairi (زياد النميري)

Ziyad al-Namiri adalah perawi yang lemah; Ibn Ma’in melemahkannya. Abu Hatim berkata: “Tidak boleh dijadikan hujah dengannya.” Ibn Hibban menyebutnya dalam al-Dhu’afa’ dan berkata: “Tidak boleh berhujah dengannya.” (Lihat Mizan al-I’tidal, 2/91).

  • Ibn Ma’in dan Abu Dawud “mendhaifkannya”.
  • Abu Hatim mengatakan: “Ditulis hadithnya tetapi tidak boleh berhujah dengannya”.
  • Ibn Hibban menyatakan di dalam al-Thiqat bahawa dia (Ziyad) tersalah dan di dalam al-Majruhin sebagai munkar al-Hadith. Dia meriwayatkan daripada Anas perkara-perkara yang tidak menyamai hadith daripada orang yang thiqat dan tidak boleh mengambilnya sebagai hujjah”.
  • Al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan dia (Ziyad) adalah “dhaif”.

Adakah Dibenarkan Berdoa Untuk Sampai ke Ramadan Seperti ini?

Sebagaimana yang kita ketahui, Islam sangat menuntut kita agar sentiasa berdoa dalam apa jua keadaan sekalipun, berdasarkan firman Allah SWT dan hadith-hadith Nabi SAW. Lebih-lebih lagi pada waktu yang mustajab untuk berdoa atau pada bulan-bulan yang mempunyai kelebihannya yang tertentu seperti bulan Ramadhan.

Berdoa kepada Allah untuk dipanjangkan umur hingga bertemu Ramadhan adalah dibolehkan. Ibn Rajab berkata: “Dahulu para salaf berdoa kepada Allah selama enam bulan agar dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan, dan selama enam bulan selepas Ramadan agar Allah menerima amalan mereka.” (Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm. 148).

Syeikh Abdul Karim al-Khudair ditanya mengenai hadith ini, dan beliau menjawab: “Hadith ini tidak sahih, tetapi tidak mengapa seorang Muslim berdoa secara umum memohon kepada Allah agar dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan, diberi kekuatan untuk berpuasa dan beribadah di dalamnya, serta diberi rezeki untuk bertemu Lailatul Qadr.”[1]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan dan setelah melihat dan menekuni pendapat para ulama’ berkaitan kesahihan hadith ini, maka kami katakan bahawa hadith ini sanadnya teramat lemah kerana padanya terdapat dua orang perawi yang bermasalah.

Walaubagaimanapun, matan atau teks hadith tersebut tidak mempunyai masalah jika kita ingin berdoa dengannya. Hal ini kerana di dalam berdoa, kita dituntut untuk berdoa dan meminta apa sahaja kepada Allah SWT selagimana perkara yang diminta itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Akhirnya, semoga Allah SWT menerima dan memakbulkan doa kita dan memberi kita peluang untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang akan datang. Amin.

Wallahua’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

[1] https://shkhudheir.com/