Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah menunaikan ibadah umrah dan menyempurnakan ihram, tawaf, dan sa’i. Namun, saya telah mencabut sedikit kulit kering pada bibir selepas selesai sa’i di Safa dan Marwah sebelum mencukur rambut. Selepas itu, saya terus mencukur rambut dengan menyangka bahawa tahallul boleh dilakukan sama ada dengan memotong kuku, mengambil kulit, atau mencukur rambut. Adakah saya dikenakan kifarah atas perbuatan ini?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Ibadah melakukan umrah adalah sangat dituntut bagi mereka yang berkemampuan. Hal ini kerana antara kelebihannya adalah diampunkan dosa antara keduanya sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا
Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya.”
Riwayat Bukhari (1773) dan Muslim (1449)
Antara rukun yang wajib dilakukan oleh seorang jemaah bagi menyempurnakan satu ibadah umrah ialah:
- Niat umrah serta berihram.
- Tawaf umrah sebanyak tujuh pusingan.
- Sa’ie umrah di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.
- Bercukur atau bergunting.
- Tertib
Oleh itu, jika seseorang itu melaksanakan kesemua rukun-rukun yang dinyatakan seperti di atas maka sempurnalah baginya satu kali umrah. Sebaliknya, jika rukun-rukun di atas tidak dilakukan atau dilakukan secara tidak lengkap maka umrahnya adalah tidak dikira dan dikenakan dam jika melanggar mana-mana larangan dalam berihram. Allah SWT berfirman:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Kerjakanlah ibadat haji dan umrah dengan sempurna dan lengkap, secara lahiriyah. Ia dilakukan dengan menunaikan syariat dan rukun menurut yang sepatutnya. Sementara secara batiniah, ia dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT dan bukan dengan tujuan untuk mencari sumber pendapatan menerusi dagangan atau menarik pujian orang dan nama. Meskipun begitu, dibenarkan berdagang dilakukan secara ikhlas, tetapi tujuan sebenar ke Makkah bukan untuk berdagang.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/393)
Mencabut Kulit Ketika dalam Ihram
Tahallul dalam ibadah umrah dilakukan dengan mencukur atau memendekkan rambut, bukan dengan memotong kuku atau mengambil kulit. Mencukur atau memendekkan rambut adalah salah satu rukun umrah.
Dalam menjawab persoalan di atas, memotong kuku termasuk dalam larangan ihram. Ia tidak boleh dilakukan sebelum tahallul. Jika dilakukan dengan sengaja dan mengetahui hukumnya, maka fidyah dikenakan. Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, disebutkan: “Dilarang bagi orang yang ihram untuk memotong kuku, berdasarkan qiyas kepada mencukur rambut kerana kedua-duanya termasuk bentuk berhias dan menghilangkan kesan kusut.”(Lihat al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah, 2/159).
Manakala, mencabut kulit bukanlah termasuk larangan dalam ihram. Imam Ibn Qudamah menyebutkan: “”Sekiranya seseorang mencabut bahagian kulitnya yang terdapat rambut, atau memotong jarinya yang mempunyai kuku, maka tiada kewajipan fidyah ke atasnya. Ini kerana ia telah hilang secara bersamaan dengan perkara lain, maka tidak diwajibkan denda ke atasnya.” (Lihat al-Kafi, 1/497).
Dalam Hasyiah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj, disebutkan: “Sekiranya seseorang mengikis kulit kepalanya, atau memotong tangannya, atau sebahagian jarinya, yang pada kulitnya terdapat rambut atau kuku, maka tiada kewajipan fidyah ke atasnya. Ini kerana kedua-duanya dianggap sebagai perkara yang tidak disengajakan atau tidak bertujuan untuknya.” (Lihat Hasyiah al-Jamal, 2/512).
Mungkin terdapat kekeliruan antara larangan ihram dan larangan bagi orang yang berkorban, kerana orang yang ingin berkorban dilarang mengambil rambut, kuku, atau kulit dari awal Zulhijjah sehingga selesai berkorban, berdasarkan hadith daripada Ummu Salamah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتُمْ هِلَالَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ
Maksudnya: “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan seseorang ingin berkorban, maka janganlah dia mengambil rambut atau kukunya.”
Dan dalam lafaz yang lain:
إِذَا دَخَلَتْ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلَا يَمَسَّ مِنْ شَعْرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا
Maksudnya: “Apabila masuk sepuluh hari pertama Zulhijjah, dan salah seorang daripada kamu ingin berkorban, maka janganlah dia menyentuh rambut dan kulitnya sedikit pun.”
Riwayat Muslim (1977)
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menjelaskan perbezaan larangan ihram dan larangan bagi orang yang berkorban, katanya: Perbezaannya jelas dari beberapa aspek berikut:
- Larangan bagi orang yang sedang ihram hanyalah mengambil rambut kepala, manakala bahagian lain dilarang berdasarkan qiyas. Namun, hadith ini (iaitu larangan bagi orang yang berkorban daripada mengambil rambutnya) adalah umum, meliputi rambut kepala dan selainnya.
- Orang yang ihram tidak dilarang mengambil sebahagian daripada kulitnya, sedangkan larangan ini berlaku bagi orang yang berkorban.
- Orang yang sedang ihram tertakluk kepada larangan lain selain hal ini. Oleh itu, larangan ihram lebih berat dan lebih menuntut, sehingga diwajibkan fidyah atasnya. Adapun bagi larangan mengambil rambut bagi orang yang berkorban, ia tidak dikenakan fidyah.” (Lihat Syarh al-Mumti‘, 7/489).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa mencabut kulit termasuklah di bibir bukanlah larangan dalam ihram, dan oleh itu, tindakan mengambil kulit pada bibir ketika ihram tidak dikenakan sebarang fidyah atau hukuman. Namun, perbuatan mencukur rambut, mencabut rambut dan bulu atau memotong kuku sebelum tahallul termasuk dalam larangan ihram.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”